UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 27 Mac 2012

Bicara kes Mat Sabu fitnah polis, bermula 11 Jun!


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu akan dibicarakan selama lima hari bermula 11 Jun depan di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin hari ini dengan kehadiran peguam Amirul Fairuzzeen Jamaluddin yang mewakili Mohamad.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 22 Februari lalu menolak permohonan Mohamad untuk mengetepikan pertuduhan di Mahkamah Sesyen itu atas dakwaan tersebut.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Ahli politik pembangkang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam, 21 Ogos tahun lalu.

Mohamad bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.










Juragan Malawati..

Isnin, 26 Mac 2012

Wee Ka Siong ditumbuk, siapa yang sebenarnya samseng sekarang!

Kecewa tindakan Dong Zong

Persatuan Jawatan­kuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) perlu bertanggungjawab terhadap Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong ditumbuk dalam perhimpunan pendidikan Cina di Kajang, kelmarin.

Presiden Gagasan Anti Pe­nyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan sedemikian bukan contoh yang baik dalam negara ini.

Menurutnya, hasrat Dong Zong menjadi pertubuhan pendidikan ekstrem cina di negara ini, tidak mencapai apa-apa matlamat, kecuali menjadikan bangsa Melayu dan India lebih berwaspada dengan corak politik pendidikan pertubuhan itu.

“Rentak perang dimainkan oleh mereka membawa maksud pelbagai dan tidak menguntungkan Cina keseluruhannya.

“Pertubuhan itu dilihat mahu mendekatkan sistem pendidikan negara ini menghampiri sistem aparteid yang dibuat dan ditolak oleh semua bangsa di dunia ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tegasnya, jurang besar pendidikan tidak menyumbang kepada negara aman, stabil dan makmur.

“Kaum Cina wajar mencari pendekatan lebih baik dan selamatkan dunia pendidikan negara ini daripada Dong Zong,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Loh Seng Kok berkata, tindakan peserta perhimpunan terhadap Wee mengecewakan dan menunjukkan tanda-tanda kesopanan rakyat di negara ini dirosakkan. Menurutnya, tindakan sedemikian bertujuan melepaskan perasaan tidak berpuas hati mereka mengenai kekurangan guru sekolah Cina di di Sekolah Rendah Cina.

“Sebelum ini, mereka berjanji untuk mengadakan perhimpunan secara aman tetapi tindakan mereka pada hari tersebut berlandaskan emosi mencemarkan majlis itu.

“Sebagai rakyat di negara ini, kita harus bertoleransi dalam membantu menyelesaikan masalah yang menjejaskan pendidikan Cina,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Wee, yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, telah menyatakan kesediaannya untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.

“Mereka tidak perlu terburu- buru kerana keganasan tidak membantu menyelesaikan masalah. Isu pendidikan bukanlah mudah kerana ia memerlukan masa dan usaha untuk menyelesaikannya,” katanya.

Loh berkata, penyokong pendidikan Cina perlu menunggu dengan sabar untuk melihat lapan pelan penyelesaian yang akan memberikan berita baik kepada mereka dalam masa terdekat.-SH

Juragan Malawati..

Jumaat, 23 Mac 2012

Adun BN pelik Pengurus Besar YS terima layanan istimewa!


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Abdul Shukor Idrus mempersoalkan mengapa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sering memberi keistimewaan kepada Pengurus Besar Yayasan Selangor (YS), Ilham Marzuki.

Beliau mendakwa, sejak Ilham dilantik sebagai pengurusan besar, pelbagai kontroversi dikaitkan dengan beliau termasuk Laporan Audit Dalaman SUK yang mencadangkan kontrak beliau ditamatkan, namun dipertahankan oleh Abdul Khalid.

Menurutnya, pelantikan Ilham didakwa tidak telus dan membelakangkan keputusan Jawatankuasa Pemilihan yang tidak menyenaraikan nama Ilham sebagai calon menjawat jawatan tersebut.

“Alasan diberi oleh menteri besar adalah Ilham perlu diberi peluang kerana baru menjawat jawatan dan tidak boleh dipertanggungjawab sepenuhnya.

“Inilah bahaya kalau menyerahkan kuasa kepada orang yang bukan ahlinya,” katanya pada sesi perbahasan sidang Dun, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan pendedahan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), Mac lalu mendapati Ilham telah membuat perbelanjaan RM1.4 juta bagi empat projek tidak berfaedah.

“Malah, pengurus besar sendiri telah mengakui kesilapannya kerana meluluskan peruntukan tersebut tidak mengikut tata cara kewangan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, beliau enggan dipersalahkan sepenuhnya kerana keputusan itu turut dipersetujui oleh pasukan Pengurusan Tertinggi Yayasan,” katanya.

Menurutnya, berhubung dakwaan Ilham bahawa berlaku pembaziran RM500 juta pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), Abdul Shukor menegaskan Ilham perlu bersedia berdepan saman balas sekiranya dakwaan tersebut tidak benar.

“Selaras dengan kod etika tadbir urus baik korporat, rakyat menuntut menteri besar dan Selcat mengambil tindakan tegas kepada pengurus besar atas kelemahannya,” katanya.

Juragan Malawati..

Khamis, 22 Mac 2012

Selangor tetap rampas tanah YBK!


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) tetap dengan keputusan untuk tidak memulangkan semula tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang dirampas sebelum ini.

Menurut beliau, keputusan itu kekal meskipun YBK sebelum ini telah melunaskan tunggakan cukai sebanyak RMM5.7 juta dengan bantuan Yayasan Melaka pada 2010.

Ini disebabkan katanya, kerajaan negeri tidak menerima pembayaran tersebut kerana ia dibuat oleh Yayasan Melaka dan bukannya YBK sendiri selaku pemilik tanah berkenaan.

“Kita tidak akan pulangkan (tanah YBK yang dirampas) kerana pihak yang membayar tunggakan cukai tanah itu (Yayasan Melaka) bukan pemilik tanah. Itu perlu kita semak kerana kalau begitu cara pembayarannya, kita ada masalah besar daripada segi pemilikan.

“Saya hendak ingatkan kepada pemilik tanah (di Selangor), cukai tanah mesti dibayar. Kalau ada tanah tetapi tidak bayar cukai sampai 10 tahun, tanah mereka boleh jadi ada peluang untuk dirampas kerajaan negeri,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini semalam.

Pada 14 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program transformasi membasmi kemiskinan di negeri itu menghadapi kekangan ekoran sikap kerajaan negeri yang ditadbir oleh pembangkang bertindak merampas tanah milik yayasan itu sebelum ini.

Tindakan dibuat pada 3 Februari 2010, apabila kerajaan negeri mengambil keputusan merampas 191 hektar tanah milik YBK Selangor di Serendah, dekat sini meskipun tunggakan cukai sebanyak RM5.7 juta telah dilunaskan oleh yayasan itu dengan bantuan Yayasan Melaka.

Bagaimanapun, kerajaan negeri enggan menerima bayaran tunggakan berkenaan dan memulangkannya semula kepada Yayasan Melaka.

Abdul Khalid dalam satu laporan media sebelum ini memberikan alasan bahawa YBK telah gagal mematuhi beberapa peraturan ditetapkan oleh kerajaan negeri termasuk membayar cukai tanah secara berperingkat-peringkat mengikut tempoh yang dibenarkan.

Juragan Malawati..

Selasa, 20 Mac 2012

KHALED SERABAI MENGKHIANATI RAKYAT SELANGOR?


Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor semalam mengadakan perjumpaan dengan dua operator air antarabangsa - Suez Environment yang berpangkalan di Perancis dan Wessex Water dari United Kingdom. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk mendapatkan pandangan pengurusan air yang cekap sebagai persediaan Kerajaan Negeri mengambilalih industri air.

Jika ini bukan bukti mentaliti dijajah yang masih membelenggu fikiran pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR), maka ia adalah bukti bahawa PR mempunyai agenda tersembunyi dan dengan sengaja menolak mentah-mentah penyelesaian yang boleh dicapai yang ditawarkan oleh kerajaan pusat tetapi meminta ‘nasihat’ pakar asing bagi mengatasi masalah ini.

Pakar asing tersebut dikatakan bersedia berkongsi kepakaran dalam pengurusan air bagi memastikan model kerajaan Negeri bukan saja cekap dan berkesan malah boleh dibekalkan pada tarif yang munasabah.

Logiknya, tidak mungkin mereka tidak ‘bersedia’ untuk apa saja jika ia bermakna membawa keuntungan kepada syarikat mereka.

Tindakan Khalid ini bukan sahaja menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat Selangor tetapi ia juga dilihat sebagai pengkhianatan terhadap negara kerana beliau secara terang-terangan menggambarkan kepada pakar luar tersebut bahawa kerajaan pusat bersikap tidak telus dan syarikat pengurusan air yang ada di negara ini tidak mahir belaka.

Malah beliau dengan ‘khianatnya’ berkata “kes di Selangor bukan soal apa yang anda boleh lakukan tetapi siapa yang anda kenal."

Pakar-pakar tempatan telah membentangkan masalah air yang bakal melanda Selangor jauh lebih awal sebelum ini. Lanjutan dari itu, kerajaan pusat telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk menangani masalah ini.


Untuk tujuan itu, fasa awal projek air bernilai RM8.65 bilion itu telah diluluskan oleh kerajaan Selangor semasa di bawah perintah Barisan Nasional, tetapi fasa berikutnya terhenti selepas Pakatan Rakyat menguasai Selangor dalam pilihan raya umum 2008.

Kerajaan negeri Selangor menawarkan sebanyak RM5.7 bilion untuk membeli kesemua syer-syer bukan milik kerajaan negeri dalam SYABAS, Puncak Niaga, SPLASH dan ABBAS dan berjanji untuk menurunkan tarif air sebanyak 24%. Logiknya bagaimana kerajaan negeri mahu menurunkan tarif sebanyak 24% sedangkan untuk membeli keseluruhan aset ini sahaja kerajaan negeri perlu membuat pinjaman sebanyak RM5.7 bilion?

Kerajaan negeri Selangor juga telah mengadakan perbincangan dengan syarikat dari Timur Tengah sebagai pilihan untuk menguruskan air Selangor dan syarikat tersebut bersedia menawarkan sehingga RM20 bilion bagi mengambil alih pengurusan air di lembah Klang. Tetapi, ini pasti bermakna tariff air akan meningkat dengan drastik sekali. Tidak mungkin kerajaan negeri dapat membekalkan air dengan murah setelah menghabiskan RM20 billion untuk tujuan itu?

Kerajaan Persekutuan telah membayar pampasan bagi pengambilan tanah untuk menampung penyaluran air mentah dari Pahang dan semua syarat permohonan telah dipenuhi. Untuk itu, kerajaan Persekutuan memerlukan kebenaran kerajaan Selangor untuk memulakan kerja-kerja pembinaan melalui empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Ampang, Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Subang.


Kerajaan Pusat juga telah beberapa kali membuat rundingan dengan kerajaan Selangor mengenai isu berkenaan termasuk mengenai pelan pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor tetapi masih tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri Selangor.

Khianatnya kerajaan negeri Selangor ini sehingga mereka sanggup mengarahkan semua Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah supaya menghalang sebarang kerja-kerja pembinaan laluan paip penyaluran air dari negeri Pahang dilakukan.

Kerana ingin mengaut keuntungan licik, sama ada melalui perlantikan pakar asing atau apa saja, Khalid sanggup membiarkan rakyat Selangor menderita sedangkan beliau tahu yang bekalan air akan terus susut sehingga 13.4% jika penyelesaian tidak dilakukan dengan segera iaitu menyiapkan projek kerajaan pusat tersebut sebelum Jun 2014.

Justeru, tidak ada cara lain untuk rakyat Selangor menyelamatkan diri dari terus dikhianati oleh Menteri Besar sendiri. Caranya ialah mengembalikan Selangor ini kepada kerajaan pusat melalui pilihanraya nanti.

Mungkin ada yang menganggap artikel ini sebagai bahan kempen pilihanraya namun, sama ada ia bahan kempen atau tidak, ia hanya membawa fakta kebenaran semata-mata. Sesungguhnya nasib rakyat Selangor berada di tangan sendiri. Klik di sini.










Juragan Malawati..

Isnin, 19 Mac 2012

BN ‘Yakin rampas semula Selangor’!


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini secara terbuka mengakui keyakinan beliau yang Selangor akan kembali dirampas Barisan Nasional (BN) semakin bertambah selepas melihat fenomena gelombang biru yang ditunjukkan rakyat negeri itu.

Perdana Menteri yang teruja dengan sokongan padu lebih 20,000 penduduk setiap kali beliau turun padang di Selangor berkata, jika itu gelombang yang ditunjukkan, ia bererti rakyat sudah bersedia pada bila-bila masa untuk kembali memberi kepercayaan kepada BN.

“Saya lihat hari ini satu kehadiran yang sangat meriah, sangat bersemangat dan cukup menyakinkan saya sebagai Pengerusi BN Selangor. Tahap keyakinan saya kini semakin bertambah dan kalau inilah gambarannya, insya-Allah Selangor kembali ke pangkuan BN.

“Sudah cukup empat tahun pembangkang tadbir Selangor. Adakah janji ditunaikan? Adakah pentadbiran mereka betul,” katanya di hadapan lebih 20,000 penduduk semasa berucap sempena program Perdana Menteri Bersama Rakyat, di sini semalam.


Hadir sama Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed; Presiden PPP, Datuk M. Kayveas dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Sempena program bersama rakyat itu, Perdana Menteri turut bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana dan RM100,000 lagi kepada surau As-Sakinah, kedua-duanya di Puchong.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, beliau sudah tidak sabar untuk menyerahkan kembali tapuk Pengerusi Perhubungan BN Selangor kepada anak jati negeri itu dan percaya ia akan menjadi kenyataan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Namun, beliau sekali lagi mengingatkan pemimpin BN Selangor agar bersatu serta menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon pada PRU nanti dan jangan sesekali mengkhianati kepercayaan yang kini diberi rakyat, kerana ia hanya merugikan parti sendiri.

“Kalau bersatu kita boleh menang sebab dasar kerajaan sudah cukup cantik, maknanya apa yang kita buat untuk rakyat hari ini sudah cantik sama ada dasar mahu pun pelaksanaannya, kalau yang di atas bersatu (pemimpin BN) tiada sebab kita tak boleh menang,” katanya.-UMO

Juragan Malawati..

Rabu, 14 Mac 2012

BN Selangor dedah bukti komplot PKR guna khidmat Yahudi untuk jatuhkan kerajaan!



Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang ada kaitan dengan Yahudi untuk memenangi pilihan raya di negara ini.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, bukti-bukti yang sebahagiannya diterima daripada sumber dalaman PKR itu menunjukkan parti tersebut menjalin kerjasama dengan Konrad Adeneur Foundation (KAF).

Beliau berkata, KAF merupakan sebuah pertubuhan yang membantu golongan neo-konservatif Yahudi melalui sebuah jawatankuasa yang dikenali American Jewish Committee (AJC) dan dipercayai menerima dana daripada National Endownment for Democracy (NED) yang juga didakwa turut mempunyai pertalian dengan Anwar.

''Bukti yang ada menunjukkan Penasihat parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar sememangnya menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan luar, selain menerima dana serta latihan bagi membolehkan mereka menguasai negara ini,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam membantu PKR, KAF dikatakan menggerakkan operasi di negara ini melalui dua pendekatan yang dikenali sebagai 'dialog politik' termasuk ceramah dan 'pembangunan media' untuk merealisasikan agenda tersebut.

Selain itu, katanya, selain KAF, salah satu cabang di bawah NED iaitu National Democratic Institute for International Affairs (NDI) didakwa turut terlibat secara langsung membantu PKR dan Anwar dari segi dana dan buah fikiran untuk menguasai politik di negara ini.

''NDI didakwa turut menyediakan buku panduan yang menggariskan pendekatan dan kaedah untuk PKR memenangi pilihan raya.

''Kita ada bukti, dokumen serta surat-surat rasmi yang mengaitkan pembabitan Anwar mengenai perkara ini. Malah, buku panduan yang diterbitkan NDI itu turut diterjemah kepada beberapa bahasa iaitu bahasa Melayu, Tagalog, bahasa Indonesia dan Thailand.

''Apa tujuan NDI menghasilkan buku panduan itu yang seolah-olah menjadi 'kitab' kepada pakatan pembangkang khususnya PKR. Apa rasionalnya pihak asing memberi panduan kepada PKR untuk menguasai politik negara ini kalau tidak disusuli dengan agenda-agenda tertentu," katanya.

Dakwa Mohd. Zin lagi, berdasarkan buku panduan yang dikenali sebagai 'Buku Panduan Perancangan Kempen Politik' antaranya menyentuh mengenai pendekatan menyebarkan dakyah bahawa kononnya Malaysia tidak mempunyai kebebasan media dan beragama.

Buku panduan itu, dakwa beliau, turut menerbitkan prakata daripada individu yang dikenali sebagai 'Stephanie Lynn' yang merupakan Pengarah Program Kanan NDI dan bertanggungjawab menguruskan program-program agensi itu di Malaysia dan Myanmar.

Pada masa yang sama, Mohd. Zin turut menjelaskan gerakan Anwar dan agensi asing itu bermula selepas pilihan raya umum 2004.

''Ia kemudiannya berlanjutan bagi menghadapi pilihan raya umum 2008 dan berterusan menerusi gerak kerja untuk pilihan raya umum akan datang,'' katanya.

Pada masa yang sama, beliau mendakwa, kaedah yang dilancarkan oleh Anwar dan agensi asing itu turut melibatkan pendekatan 'kempen kebencian' bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN termasuk menyentuh isu-isu sensitif.

''Contoh paling nyata ialah mereka secara halus menggunakan isu Hindraf bagi membangkitkan kemarahan rakyat. Begitu juga pada pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini apabila pemimpin-pemimpin PKR tidak jemu menggunakan isu Kristian bagi mewujudkan perpecahan rakyat berbilang kaum.

''Anwar sendiri pernah mengucapkan mengenai 'Arab Spring' bagi memberi idea kepada rakyat bahawa 'Malaysia Spring' akan berlaku. Beliau menggunakan pengaruh golongan muda dan contoh-contoh kejatuhan rejim di negara-negara Asia Barat untuk menghasut rakyat membenci pemimpin mereka. Semua itu merupakan idea dan buah fikiran KAF dan NDI," tegasnya.

Kata beliau, kempen kebencian itu dilihat amat berbahaya dan berunsurkan subversif yang boleh menggugat keselamatan rakyat dan negara.

''Berdasarkan maklumat yang diterima, KAF juga turut menaja ejen-ejen yang terpilih dalam pakatan pembangkang untuk mengikuti latihan meliputi penyusunan propaganda; gerak kerja unit khas DUN (Dewan Undangan Negeri) dan pasukan Khas; Perisian SisMap (sistem pangkalan data) serta menggodam e-mel individu yang disasarkan terutamanya agensi kerajaan," katanya.-UMO

Juragan Malawati..

Isnin, 12 Mac 2012

Pas bakal berdepan undi protes penyokong sendiri!


Pas bakal menghadapi undi protes daripada penyokong setianya sendiri jika tersalah mengambil perkiraan antara golongan ulama atau membiarkan kumpulan 'Anwarinas' yang menyokong Anwar Ibrahim menguasai parti itu.

Ia memandangkan kemelut dalaman parti itu boleh membawa perpecahan yang besar. Pas kini berada di persimpangan, satu adalah golongan Anwarinas dan satu lagi pejuang tradisional yang terdiri daripada golongan ulama.

Pas perlu berhati-hati supaya tidak terkeluar daripada landasan perjuangan menegakkan negara Islam semata-mata hendak memenuhi matlamat politik, sekiranya mereka menyimpang kepada Anwarinas, penyokong tradisional pastinya akan kecewa kerana itu bukan matlamat asal perjuangan parti!

Kita lihat cengkaman Anwarinas semakin kuat dalam Pas kerana percanggahan antara dua kumpulan itu begitu ketara dan kesan itu bukan setakat di peringkat tempatan malah nasional.

Kita boleh nampak Datuk Dr. Hasan Ali (bekas Pesuruhjaya Pas Selangor) yang membela Islam, Melayu dan Raja telah dipaksa keluar manakala Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah) ditekan kerana lebih mengutamakan kitab al-Quran daripada Buku Jingga.

Kemelut yang berlaku ini pasti mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan pejuang tradisional dan mereka berkemungkinan memberi undi protes sekiranya keadaan ini berterusan!

Amaran ini sudah dinyatakan oleh seorang pemimpin tegar Pas semasa dalam satu ceramah di Saujana Utama, Sg. Buloh baru-baru ini dimana mereka memberi amaran bahawa jika seorang penyokong kumpulan Anwarinas yang menjadi calon pilihanraya 13 nanti, maka jangan harap calon itu akan mendapat undi dari ahli-ahli Pas yang lain!

Pas sebenarnya berada dalam kecelaruan berikutan kemasukan kumpulan Anwarinas yang mahu mengambil tampuk tertinggi parti daripada golongan ulama. Kecelaruan itu memang boleh dilihat oleh orang luar yang berfikiran kritikal dan rasional, tetapi bagi penyokong fanatik Pas, mereka akan tetap menyokong parti itu walau di bawah sesiapa pun!

Mengikut ulasan Dr.Hasan Ali terdapat 70% pengikut kumpulan Anwarinas ataupun dipanggilnya 'Parasit' berada didalam Pas sekarang, manakala selebihnya adalah pengikut tradisional ( ulama )! Jadi siapakah penyokong fanatik sebenar dalam Pas sekarang? Wallahuallam.









Juragan Malawati..

Suruhanjaya Diraja dan Kertas Putih - Jawapan untuk Penyelewengan Pasir Selangor, bukan Debat!


Kenyataan Media GAPS

Apalah sebenarnya matlamat pentadbiran kerajaan Dap, Pkr, Pas Selangor ? Menjalankan tugas dengan tanggungjawab atau menjalankan tugas dengan penyelewengan.

Dari hari pertama Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar hingga ke hari ini, Selangor tidak pernah kering dari dilanda pelbagai isu dan skandal. Rakyat masih ingat bagaimana isu pembinaan ladang babi moden yang dicadangkan dilaksanakan di Sepang dengan menjadikan matlamat Selangor sebagai pengeluar babi yang utama di rantau ini.

Yang terbaru adalah berita benar Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor yang akan berhadapan dengan tuduhan berkhalwat di Mahkamah Syariah Pahang apabila ditemui berada disebuah bilik hotel bersama dengan bini orang pada pukul 230 pagi.

Skandal Pasir, skandal Yayasan Selangor, skandal PKNS, skandal PKPS adalah antara barisan isu yang masih menjadi tandatanya rakyat.


Yb Seri Muda yang digelar pengundinya sebagai RAJA PASIR dalam kenyataan nya mendesak agar Noh Omar Timbalan Pengerusi BN Selangor berdebat dengan beliau berkenaan isu pasir. Untuk apa debat ini? Untuk selesaikan isu pasir dan penyelewengan lain atau untuk terus berpolemik dalam kerangka politiking yang tiada batas yang semakin jelek dilihat rakyat.

GAPS yang pernah dicela oleh Suhaimi dalam sidang-sidang Dun yang lalu ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kedangkalan ahli Yang Berhormat ini.

Cadangan GAPS adalah Khalid Ibrahim wajar menubuhkan sebuah Suruhanjaya diRaja bagi menyiasat skandal-skandal Pasir, Pkns, Yayasan Selangor, Pkps, kontrak sampah, skandal Anti Perlantikan SUK Selangor dan skandal seks yang melibatkan Exconya, Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri dan Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor.

Setidak-tidaknya Khalid Ibrahim wajar punyai inisiatif untuk membentangkan Kertas Putih Skandal Penyelewengan Kerajaan Negeri Selangor dalam sidang Dun yang akan datang, bagi membersihkan kerajaan pimpinannya dari cemuhan rakyat selepas dia bergelar Bekas Menteri Besar Selangor selepas PRU 13 ini.

Hamidzun Khairuddin
Presiden
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)

Rabu, 7 Mac 2012

Mohon Maaf… Najib Contoh Pemimpin Bertanggungjawab!

Sikap merendah diri yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membuat permohonan maaf bagi pihak Barisan Nasional (BN) atas kesilapan lalu menunjukkan beliau sebagai pemimpin yang bertanggungjawab.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Al-quran dan As-sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Ustaz Fadlan Othman berkata sikap berkenaan amat dituntut di dalam Islam dan ianya merupakan sikap terpuji.

Menurut beliau itulah antara sikap yang perlu ada pada seseorang pemimpin yang bukan sahaja mengaku kesilapan, malah turut berjanji untuk memperbetulkan kesilapan yang lalu demi kepentingan semua pihak.

“Bagi saya secara keseluruhannya tidak kira sesiapa itulah yang perlu kita amalkan kerana Islam menuntut perkara sedemikian rupa. Seseorang pemimpin yang bertanggungjawab adalah melihat kelemahan yang ada dan berusaha untuk memperbaikinya semula.

“Berbanding dengan mereka yang tahu ada kesilapan tetapi masih lagi mengabaikanya untuk baik pulih kesilapan itu, ianya adalah ciri-ciri pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Kita seharusnya bersyukur dengan pemimpin yang bertanggungajwab seumpama itu,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Ustaz Fadlan seterusnya memberikan peringatan terhadap mereka yang hanya tahu sekadar berjanji dan tidak menunaikannya sepertimana yang diungkapkan kerana itu sebahagian daripada tanda-tanda orang munafiq.

“Kepada mereka yang sekadar berjanji tetapi tidak menunaikannya ingatlah….Ayat 1 Surah Al-Maidah yang bermaksud Wahai orang-orang yang beriman sempurnakanlah perjanjian-perjanjian…Manakala hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud empat tanda orang munafiq…Apabila berjanji sering mungkir janji….

“Kita masa bercakap bukan main hebat tetapi jika kita tidak laksanakan masyaallah…Itulah yang kita perlu elakkan dan jadilah pemimpin yang bertanggungjawab dan bukannya pemimpin yang sekadar berjanji semata-mata” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib baru-baru ini memohon maaf bagi pihak BN atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah pada pilihanraya umum lalu tetapi berjanji akan membetulkannya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. -MediaUMNO

Juragan Malawati..

Selasa, 6 Mac 2012

Tidak wajar Pas kutip BR1M!


Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan tindakan Pas meminta ahlinya menyerahkan sebanyak 10 peratus daripada wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterima, sebagai perbuatan yang sangat tidak wajar.

Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang melaung-laungkan prinsip negara berkebajikan, Pas sepatutnya menasihatkan golongan miskin menggunakan ...wang bantuan secara berhemah dan untuk tujuan kebaikan.

“Pas tidak patut memaksa mereka menyerahkan bantuan yang diterima untuk kepentingan parti pula. Buatlah cara lain, kasihanilah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2012 pada Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.

Beliau mengulas entri blog Taiping Central kelmarin yang mendedahkan surat pekeliling Setiausaha Pas Kawasan Taiping, Razali Ab. Razak mengenai kutipan derma daripada ahli-ahli Pas yang mendapat bantuan BR1M untuk dimasukkan ke dalam tabung pilihan raya.

Surat bertarikh 1 Disember 2011 itu bertajuk ‘Rayuan sumbangan derma one off RM50 atau 10 peratus daripada ganjaran pemberian daripada kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) sebanyak RM500 kepada mereka yang bekerja dan berpencen pada bulan Disember 2011 untuk ‘tabung pilihan raya N16 Kamunting’.


Semalam, Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain tidak menafikan perkara tersebut dan menyatakan ia mungkin sebahagian daripada cara Pas Cawangan Kamunting untuk menggalakkan ahlinya bersedekah.

Abu Bakar turut menegaskan, tidak wujudnya paksaan untuk ahli cawangan itu menyerahkan wang bantuan tersebut.

Menurut Zambry, rakyat perlu menilai perjuangan Pas yang kononnya memperjuangkan konsep negara berkebajikan tetapi tergamak mengambil kesempatan terhadap golongan miskin demi kepentingan politik.

Tindakan Pas Kamunting itu jelas beliau, menunjukkan parti itu dalam keadaan terdesak untuk menghadapi pilihan raya umum sehingga sanggup mengambil wang yang diberikan kerajaan kepada golongan miskin untuk menampung agenda politik.

“Mereka sudah tiada jalan lain. Jadi, mereka gunakan orang miskin yang kita bantu bagi tujuan kepentingan politik mereka dan apabila minta komen, katanya Pas menggalakkan ahlinya bersedekah dan mereka tidak ada rasa bersalah langsung,” katanya.-UMO

Juragan Malawati..

Ahad, 4 Mac 2012

Sekali lagi MB Selangor serlah manipulasi perakaunan untuk tunjuk positif kewangan Selangor!


Kenyataan Media GAPS

Cerita MB Selangor tipu daya rakyat Selangor terus terserlah apa selangorkini akhbar milik regim ini melapurkan PKPS, sebuah agensi pertanian di Selangor berjaya meningkatkan simpanan tetap kepada RM 114 juta tahun lalu berbanding RM 8.3 juta tahun 2008.

Ternyata lapuran media rasmi kerajaan negeri itu adalah satu pembohongan apabila cerita sebenar peningkatan untung luar biasa itu adalah disebabkan penjualan tanah milik syarikat itu di Sarawak. Ianya bukan lah dari kecekapan MB itu mentadbir negeri Selangor.

Keuntungan dari penjualan harta negeri adalah corak peniagaan pak pandir dan pak kaduk yang tidak menambah baik upaya ekonomi negeri.

Insiden pak kaduk dan pak pandir ini juga terserlah dalam isu Pasir Selangor yang mana MB pernah berjanji dalam sidang Dun Selangor, penubuhan KSSB akan memberikan pulangan RM 150 juta setahun kepada kerajaan negeri pada tahun 2009. Namun setahun selepas itu syarikat monopoli pasir Selangor itu cuma berjaya membuat keuntungan kurang dari RM 15 juta sahaja.

Yang lebih anih dalam isu pasir ini adalah kegagalan MB menjelaskan kepada rakyat mengenai kegagalan pentadbiran nya mencapai target yang dijanjikan.

Ternyata lah dalam kedua-dua isu ini manipulasi perakaunan menjadi asas utama untuk MB Selangor memberikan angka positif dalam pentadbiran. Sedangkan secara realiti nya Negeri Selangor berada dalam ambang kejatuhan prestasi ekonomi yang sangat membimbangkan.

Sejak beberapa tahun ini di Selangor, hanya sektor ekonomi rumah urut, sarang pelacuran dan kedai judi sahaja yang meningkat beratus kali ganda. Manakala sektor ekonomi yang lain nya berada dalam garis merah yang amat membimbangkan. Hampir 4 tahun sudah Dap, Pkr dan Pas memerintah Selangor, secara realitinya inilah cerita ekonomi yang mereka telah capai.

Hamidzun Khairuddin
Presiden
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)

Juragan Malawati..

Jumaat, 2 Mac 2012

Adakah ianya disengajakan?...Kalimah Allah SWT Dipermainkan Oleh Kerajaan Selangor!


Siapa yang harus dipertanggungjawabkan dengan tersisihnya khalimah Allah dari jata kerajaan negeri Selangor? Bagaimana ianya boleh terlepas dari pandangan pihak berkuasa tempatan? Adakah ini petanda kuasa Islam di Selangor ini kian terhakis? Bila jadi begitu pihak-pihak yang berkenaan boleh berbuat sesuka hati terhadap kalimah Allah SWT.

Tidak berpuas hati dan kecewa. Itu yang digambarkan penduduk Taman Universiti Indah dekat sini apabila mendapati kalimah ALLAH pada logo Kerajaan Negeri tidak berada di tempat sepatutnya dan dipamerkan pada papan iklan Kempen 20 meter Air padu Percuma di Jalan Putra Permai, di sini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Universiti Indah, Hasan Nodin Andak berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh seorang penduduk petang kelmarin sebelum melihat sendiri apa yang didakwa.

Katanya, beliau terkejut apabila mendapati kalimah ALLAH yang tertera menggunakan huruf Jawi itu berada di bahagian kanan ‘kaki’ logo sedangkan ia sepatutnya berada di bahagian kiri atas selari dengan perkataan ‘dipelihara’.

“Bagaimana pihak berkenaan boleh terlepas pandang mengenai perkara ini. Ia sudah tentu menimbulkan sensitiviti kepada masyarakat lain yang beragama Islam.

“Kami memang rasa kesal dengan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang sebelum ini pernah berjanji untuk mengubah bendera Malaysia dengan bertindak mengubah logo Kerajaan Negeri dahulu apabila berjaya memerintah negeri ini,” katanya.

Hasan berkata, pihak yang memaparkan iklan gergasi perlu bertanggungjawab kerana perkara seperti itu boleh menimbulkan keadaan tidak diingini.

“Sepatutnya mereka lebih peka kerana iklan besar dilihat oleh ribuan orang setiap hari. Menyedihkan selepas tiga bulan barulah kami menyedari perkara ini.

“Kesal dengan apa yang berlaku, kami membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan, petang semalam (kelmarin),” katanya.

Seorang lagi wakil penduduk, Abd Kadir Selamat berkata, pihaknya mempersoalkan bagaimana perkataan ALLAH boleh terkeluar daripada logo Kerajaan Negeri apabila dicetak dan dipapar di papan iklan gergasi.

Menurutnya, perkara itu dilihat sebagai satu propaganda untuk membuang agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

“Ini bukan perkara yang boleh dikatakan tidak disengajakan, pada saya ia memang disengajakan kerana bukankah sepatutnya apabila sesuatu papan iklan perlu diperiksa perkataannya dahulu,” katanya yang difahamkan papan tanda memapar kempen sama dipacakkan di tempat lain di negeri ini.

Abd Kadir berkata, apa yang berlaku adalah akibat pihak berkenaan tidak mendalami hal-hal agama serta tidak peka dengan perkara itu.

“Adakah kerana hendak memberitahu Kerajaan Negeri memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat, mereka tergamak mengalihkan kalimah ALLAH yang menggambarkan Islam dari tempat sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superin­tendan Abd Razak Elias berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan. Beliau berkata, selepas me­ne­rima laporan, pihaknya memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) .

“Semalam anggota pihak majlis bertindak menurunkan iklan kempen berkenaan,” katanya. Sementara itu, tinjauan mendapati iklan gergasi di Seri Kem­bangan dan Puchong Perdana diturunkan oleh MPSJ.

INI LAH KESAN NYA APABILA ISU KALIMAH ALLAH DIBENARKAN SEMUA BANGSA DAN AGAMA MENGGUNAKAN NYA......JIKA SALAH GUNA JADI LAIN.....BILA MENGGUNAKAN NYA JUGA JADI LAIN.....!!!!

Juragan Malawati

Khamis, 1 Mac 2012

Pemuda PAS mahu Dr.Zulkefly minta maaf!

Dewan Pemuda Pas menggesa Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad agar menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf berikutan responsnya bahawa parti itu bersedia menerima seorang Timbalan Presiden Pas daripada kalangan bukan Islam.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Titiwangsa, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, perkara-perkara yang besar dan melibatkan dasar parti perlu diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi parti sama ada muktamar tahunannya atau Majlis Syura Ulama selain memerlukan pindaan Perlembagaan Pas. Katanya, langkah-langkah itu memerlukan proses yang panjang dan persetujuan kepemimpinan tertinggi parti dan semua ahli.

"Bukan semudah itu untuk melontarkan sesuatu pandangan yang besar apabila melibatkan dasar dan perlembagaan parti.

"Beliau sepatutnya merujuk Perlembagaan Pas serta kepemimpinan tertinggi terlebih dahulu sebelum melontarkan pandangan kerana boleh menimbulkan satu polemik yang meresahkan ahli di peringkat bawahan," katanya dalam kenyataan hari ini. Menurut Mohd Shahir, natijah dari kenyataan Dzulkefly semalam, pengundi Melayu juga sudah mula mempertikaikan kenyataan beliau dengan menganggap Pas telah menggadaikan prinsip perjuangannya.

Kelmarin, Dzulkefly membuat kenyataan itu ketika menjadi panel dalam Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk 'Mengapa Undi Melayu Pecah?' sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Menurut beliau dalam Islam, terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah, contoh yang boleh berubah adalah perkara politik. Katanya, Pas tidak terlalu taksub dengan berkeras mengatakan orang bukan Islam tidak boleh memegang jawatan tertinggi parti. Ujar, Mohd Shahir, perlembagaan parti dengan jelas menggariskan syarat bahawa ahli mestilah beragama Islam.

Katanya, sebagai sebuah parti Islam yang meletakkan dasar dan matlamat perjuangannya Islam, sudah tentu mereka yang mendukungnya juga mesti terdiri daripada orang-orang Islam.

Sementara itu, Mohd Shahir berkata, amat sukar bagi sebuah parti yang memperjuangkan Islam menerima kepemimpinan tertingginya daripada kalangan bukan Islam.

"Sepatutnya sebagai pimpinan Pas di peringkat pusat, beliau perlu berfikir dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan dan berbincang dengan kepemimpinan Pas Pusat supaya kenyataan beliau selari dengan dasar parti," katanya.

"Kami berharap Dr Dzulkefly Ahmad lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan yang berkaitan dengan dasar dan hala tuju Pas," katanya.-SH

Sila lihat artikel sebelum ini :

http://belantan.blogspot.com/2012/02/jawatan-timbalan-presiden-pas-dilelong.html

Juragan Malawati