UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 9 Oktober 2012

Loji air susut, lebih 30,000 terutama pesawah bakal terjejas?


Loji Pembersihan Air Sungai Sireh menyusut sejak seminggu lalu sehingga melebihi paras kritikal.

Lebih 30,000 pengguna air terutamanya pesawah di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam dikhuatiri terjejas kerana Loji Pembersihan Air Sungai Sireh di sini berdepan penyusutan lebih 50 peratus di terusan utama Sungai Sireh sejak seminggu lalu.

Difahamkan, keadaan itu menyebabkan pengeluaran air dari loji itu mula berkurangan daripada 21 juta liter sehari (JLH) kepada 16 JLH dan ketika ini pengeluaran air di loji terbabit terpaksa ditampung oleh beberapa loji lain.

Ekoran itu, paras air di Terusan Besar Sungai Sireh mencapai tahap kritikal iaitu 3.34 meter berbanding paras normal melebihi empat meter dan menyebabkan air sungai itu terpaksa disedut menggunakan pam kerana paras air yang susut.

Difahamkan juga, penyusutan air di terusan utama Sungai Sireh berpunca daripada taburan hujan yang berkurangan di kawasan tadahan air, musim kemarau dan penggunaan air untuk tanaman padi di kawasan Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar.

Seorang pesawah, Ahmad Maidin Hussin, 60, berkata, pihaknya sedia maklum isu berhubung penyusutan air di terusan utama Sungai Sireh di sini yang jelas dapat dilihat dan turut bimbang sekiranya air terus kering jika krisis ini berterusan.

“Saya juga terkejut melihat paras air terlalu rendah sehingga boleh menyebabkan loji yang ada di sini terjejas. Jika masih berterusan, mungkin menimbulkan banyak masalah kepada pengguna.

“Mungkin pesawah di Sawah Sempadan tidak terjejas kerana musim menanam sudah berakhir dan kini hanya menunggu kerja menuai pada 20 Oktober nanti, namun turut bersimpati dengan nasib pesawah di Sekinchan kini tengah menanam padi,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Hussien Abdul Shukor, 43, berkata, sejak seminggu lalu, bekalan air di kawasan sawahnya di Sungai Sireh mula berkurangan apabila paras air di terusan berkenaan yang menjadi sumber utama bekalan mulai menyusut.

“Kebanyakan pesawah di sini terpaksa guna air simpanan dan parit, namun kami bernasib baik apabila tanaman padi di kawasan ini sudah hampir masa untuk dituai dan tidak memerlukan air banyak,” katanya yang mengusahakan sawah seluas 2.4 hektar.

Bagi seorang petani, Rosmi Ahmad, 57, berkata, dia juga terpaksa menggunakan air dalam tong untuk mengusahakan tanaman keladi dan jika sumber air sungai terus menyusut, dikhuatiri tanamannya akan musnah.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Md Khairi Selamat ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini pihaknya belum menerima laporan mengenai masalah terbabit dan akan memberi penjelasan selepas ini.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan