UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 7 Oktober 2012

Politik bayang-bayang pembangkang?


Inilah Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang disiarkan oleh sebuah blog yang dikatakan diambil daripada sumber dalaman PKR.

Sebutlah apa juga istilah bayangan, gila bayang atau mengejar bayang-bayang sememangnya ia tidak boleh dipisahkan dengan pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Sejak 2008 lagi, pakatan pembangkang sememangnya sudah digerakkan untuk melaksanakan politik bayangan atau bayang-bayang apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggegarkan negara dengan impian 16 September pada tahun itu.

Pada masa itu, Anwar yang teruja dengan kemenangan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat apabila menguasai 84 kerusi Parlimen menguar-uarkan ke seluruh dunia bahawa kerajaan akan berubah tangan.

Anwar 'membayangkan' bahawa kira-kira 30 ahli Parlimen BN akan berpaling tadah untuk menyertai pembangkang dan sekali gus membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.

Bagaimanapun apa yang dikatakan oleh Anwar hanyalah sekadar mengejar bayang-bayang, impian berkenaan tidak tercapai. Tidak ada seorang pun ahli Parlimen BN yang melompat parti.

Apa yang sebaliknya berlaku dan tidak pernah terbayang di fikiran pakatan pembangkang ketika itu ialah mereka akan kehilangan penguasaan kerajaan negeri di Perak, apabila terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri daripada PKR dan DAP menjadi wakil rakyat Bebas.

Tumbangnya kerajaan pakatan pembangkang di negeri tersebut menyebabkan ramai pemimpinnya menjadi gila bayang dengan kedudukan selama 11 bulan yang pernah mereka kecapi.

Namun begitu, semua itu tidak menjejaskan usaha pakatan pembangkang untuk mula hidup dalam bayangan bagi memburu kuasa politik dengan menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRY13) sebagai sasaran bagi menamatkan pemerintahan BN.

Di mana-mana sahaja mereka membayangkan bahawa pakatan pembangkang akan mampu menawan Putrajaya. Pelbagai janji mereka taburkan untuk mempengaruhi rakyat.

Mereka membayangkan kepada rakyat bahawa merekalah pilihan terbaik untuk menggantikan BN biar pun rakyat sudah boleh membayangkan apa yang akan berlaku jika mereka memerintah negara.

Corak pemerintahan di negeri-negeri di bawah penguasaan mereka menyebabkan rakyat boleh membayangkan kekalutan yang akan berlaku kepada negara jika pakatan pembangkang memerintah.

Namun pakatan pembangkang tidak pernah berputus asa untuk terus mengejar bayang-bayang politik mereka. Bagaimanapun ketika mereka bersungguh-sungguh berbuat demikian dalam masa yang sama mereka juga bagaikan takut bayang-bayang sendiri.

Apa sahaja yang berlaku ke atas pemimpin-pemimpin atau pentadbiran mereka akan dianggap satu konspirasi oleh UMNO, BN dan media prokerajaan.

Pakatan pembangkang tidak pernah mahu mengakui kelemahan mereka, sebaliknya mereka lebih suka hidup dalam dunia penafian dan bayangan kononnya mereka sempurna dan hebat.

Akibat takut kepada bayang-bayang juga, pembangkang sehingga ke hari ini tidak mahu mendedahkan Kabinet bayangan mereka. Sebaliknya, mereka lebih bersedia memaparkan bajet bayangan yang didakwa jauh lebih baik berbanding Bajet 2013 yang dibentangkan oleh kerajaan BN.

Memanglah sesiapa pun boleh membayangkan apa yang akan mereka lakukan jika mereka mempunyai kuasa tetapi bagi pakatan pembangkang, rakyat sudah menyaksikan bagaimana kelam-kabutnya mereka apabila diberi kuasa memerintah beberapa negeri.

Kini mereka kembali melaksanakan politik mengejar bayang-bayang untuk memburu kuasa memerintah negara.

Walaupun mereka mengerti kerjasama dalam pakatan pembangkang ibarat mengejar bayang-bayang sahaja kerana realitinya, perbezaan ideologi dan arah tuju perjuangan akan menjadi penghalang utama mereka berada dalam satu kapal, namun buat sementara perkara itu diketepikan.

Mereka berusaha menanam keyakinan kepada rakyat untuk bersama-sama memburu bayang-bayang itu dengan menjanjikan pelbagai perkara.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama mereka tidak boleh menafikan sehingga ke hari ini, hukum hudud bagaikan bayangan ngeri untuk DAP sehingga Pas yang selalu membayangkan mampu melaksanakan hukum berkenaan terkapai-kapai.

Walaupun Pas telah membayangkan siang dan malam kepada penyokong-penyokong mereka bahawa hukum hudud tidak pernah dilupakan namun mereka tetap diburu bayangan ngeri akibat penentangan DAP manakala PKR pula sentiasa menyokong pendirian DAP.

Begitu juga apabila ketiga-tiga parti mengambil jalan selamat dengan tidak mahu menyentuh soal Kabinet bayangan biar pun sudah ada pemimpin PKR membayangkan siapa dalam kalangan mereka yang dikatakan layak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Tentulah bayangan sedemikian tidak digemari oleh DAP dan Pas kerana mungkin masing-masing merasakan lebih layak mempunyai lebih ramai anggota Kabinet berbanding PKR.

Apatah lagi muncul pula senarai Kabinet bayangan pakatan pembangkang seperti mana disiarkan oleh blog papagomo.com yang menunjukkan PKR menguasai 13 jawatan, Pas (10) dan DAP (8).

Tidak apalah kalau pakatan pembangkang mahu menafikan senarai itu ada kaitan dengan mana-mana pemimpin mereka, namun semua itu terjadi kerana pakatan pembangkang takut dengan bayang-bayang untuk menyenaraikan barisan Kabinet, jika impian mereka menjadi kerajaan.

Apa pun tidak kisahlah sama ada diburu oleh bayang-bayang, sentiasa hidup dalam bayangan atau gila bayang untuk menubuhkan kerajaan tetapi apa yang pasti mereka tidak berhak menyeret rakyat hidup dalam politik bayang-bayang mereka.

Masa depan negara tidak boleh dirancang apatah lagi diuruskan melalui bayang-bayang atau bayangan sahaja. Sebaliknya, perkara itu perlu dilaksanakan secara realiti dan bukannya mengajak rakyat untuk membayangkan sesuatu yang tidak pasti.

Berdasarkan kepada hujah itu adalah diharapkan rakyat tidak akan terpengaruh dengan politik bayang-bayang pembangkang.

Kerajaan BN sejak merdeka lagi, tidak pernah mengajak rakyat untuk membayangkan sesuatu yang tidak pasti.

Sebaliknya apa yang dilakukan adalah melalui tindakan berdasarkan realiti semasa dan bukannya memburu bayang-bayang.

Apa pun, kita percaya politik bayang-bayang pembangkang akan berterusan sehinggalah PRU13 berlangsung. Bagaimanapun politik seumpama itu tidak akan ke mana.

Bak kata lirik lagu Bayangan Gurauan nyanyian kumpulan Mega, ''Di dalam jaga ku tercari-cari; Di dalam tidur termimpi-mimpi..''

Demikianlah politik pakatan pembangkang sentiasa mencari dan sentiasa bermimpi tetapi tidak pernah menjadi realiti.-UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan