UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 24 Februari 2010

Menjuarai isu rakyat!

KESUNGGUHAN Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak mendekati rakyat pelbagai kaum terutama rakyat biasa semakin hari semakin menyerlah. Tanpa mengenal erti penat dan lelah terutama dalam keadaan cuaca yang panas terik sekarang, Najib tetap bersemangat turun padang menemui dan beramah mesra dengan rakyat di seluruh pelosok tanah air.

Tidak kira rakyat yang hanya bekerja sebagai kelindan lori, penjaja, peniaga pasar malam, nelayan dan orang kampung, kesemuanya menerima sapaan mesra Najib dalam lawatan rasmi dan tidak rasmi yang telah diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Itulah rutin tugas Najib yang benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat dengan mendengar dan melihat sendiri permasalahan mereka sejak hari pertama bertugas sebagai PM keenam pada 3 April 2009.

Tidak kira umur, keturunan, warna kulit dan agama, kesemua rakyat di kawasan yang dilawatinya bersyukur kerana pasti ada 'habuan' yang bakal diraih mereka. Terbaru, penduduk Sarawak tentu gembira apabila Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk melaksanakan projek infrastruktur di beberapa kawasan pedalaman Sarawak.

Selepas melihat sendiri apa masalah utama penduduk Sarawak, Najib meluluskan peruntukan itu untuk kebajikan rakyat Bumi Kenyalang terutama di pedalaman. Ia membuktikan bahawa Najib tidak sekadar cakap kosong, sebaliknya menunaikan setiap janji yang diucapkan.
"Najib bukan cakap kosong tetapi dia melaksanakan dan mengotakan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat. Inilah yang rakyat mahu,"kata Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Khairul Anwar Rahmat kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Menurutnya, sambutan hangat rakyat pada setiap kali Perdana Menteri melakukan lawatan menunjukkan rakyat menerima keikhlasan Najib dalam mendekati mereka. Katanya, ia bukan sekadar slogan yang kerap dicanang di sana dan sini, sebaliknya setiap apa yang telah dijanji dan dikatakan, akan ditunaikan seberapa segera.

Sebelum ini, kita diuar-uarkan dengan slogan Mesra Rakyat, namun ia sekadar tinggal slogan sahaja kerana tidak banyak dilakukan untuk mencapai misi tersebut. Menurutnya, jika sebelum ini kebanyakan pemimpin lebih selesa berada di pejabat berhawa dingin dan sekadar mengarahkan pegawai untuk bertemu rakyat bagi mendapatkan maklumat tentang apa yang diperlukan, maka langkah Najib mendekati rakyat itu harus dicontohi dan dijadikan amalan.

"Terdapat pegawai yang beri laporan tidak tepat dan menunjukkan semuanya okey sehinggalah berlakunya tsunami politik. "Apabila ini berlaku, barulah dapat tahu bahawa rakyat tak puas hati terhadap banyak perkara. Jadi, langkah Najib sekarang memang tepat di kala BN sedang bertungkus lumus memenangi semula hati rakyat," tambahnya.

Sebagai generasi muda berusia 30-an, Khairul mendapati Najib ialah seorang pemimpin yang ikhlas mendekati rakyat. Menurutnya, keikhlasan itu dibuktikan menerusi kesungguhan Najib mengembara di seluruh negara untuk bertemu rakyat termasuk di sekitar kawasan Kuala Lumpur pada April tahun lalu.

"Bayangkan Najib sarapan di Chow Kit, kemudian tengah hari berada di Kedah dan pada malamnya pula, Najib sudah menjejak kaki ke Sarawak. "Bukan calang-calang orang boleh buat kesemua itu dalam masa 24 jam. Tetapi Najib boleh. Kualiti dan kemampuan itulah yang rakyat mahu ada pada setiap pemimpin di peringkat bahagian, cawangan dan Parlimen," ujarnya.

Selain itu, katanya, program Juara Rakyat itu merupakan satu isyarat daripada PM terhadap semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) supaya mereka juga turun ke bawah mendekati rakyat. "Kalau semua wakil rakyat buat macam itu, nescaya tidak akan ada masalah untuk rakyat kembali ke pangkuan BN," katanya.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, Juara Rakyat tidak retorik dan menjuarai isu rakyat bukan sekadar kesungguhan melakukannya, sebaliknya benar-benar ikhlas dalam memenangi hati rakyat. Setakat hari ini, pengisian program Juara Rakyat yang dilancarkan pada 9 Januari lalu terbukti tidak terhad kepada usaha membantu orang Melayu sahaja, malah semua kaum turut mendapat manfaat.

Walaupun Juara Rakyat lahir daripada inisiatif UMNO, namun ia kini dirangka dengan semangat memperjuangkan nasib kaum-kaum lain selaras dengan gagasan 1Malaysia. Justeru, setiap parti komponen BN perlulah mendokong tema yang sama dalam program anjuran mereka.

Pegawai Eksekutif Yayasan Pemulihan Sosial, G. Vimalah Nair berkata, beliau masih teringat ucapan Najib di Batu Caves, Selangor sempena sambutan perayaan Thaipusam yang lalu.
Di celah-celah ribuan orang ramai, Vimalah perasan wajah-wajah yang dilihatnya pada sambutan itu menunjukkan riak kagum terhadap intipati ucapan Najib yang banyak menyentuh tentang penyatuan.

"Nada suara Najib datang daripada hatinya yang ikhlas untuk melihat rakyat Malaysia bersatu. Ia tidak hanya diucapkan di mulut, tetapi dibuktikan melalui program Juara Rakyat," katanya.
Selain itu, Najib juga membuktikan bahawa beliau seorang yang berjiwa rakyat kerana sering mengungkapkan perkataan toleransi dalam percakapannya.

Menurutnya, dalam sebuah negara berbilang kaum, itulah yang perlu diberi perhatian oleh setiap pemimpin dan Najib sentiasa menekankan betapa sikap toleransi penting dalam memastikan misi dan visi yang disasarkan oleh negara dalam menuju negara maju dan harmoni dapat dicapai.

JM...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan