UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 1 September 2010

Ke mana hukum hudud Pas?

SUDAH jelas dan nyata kini, matlamat Pas untuk memperjuangkan hukum hudud sudah berakhir.

Penegasan dan penentangan yang diberikan oleh beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang sudah memberi isyarat bahawa cita-cita Pas dalam soal itu sudah berkubur.

Pas kini perlu mengakui keberadaan mereka bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan tersebut semata-mata untuk mencari kuasa politik.

Parti itu sudah tidak berhak lagi bercakap soal melaksanakan hukum hudud atau memperjuangkan negara Islam. Pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Zulkifli Noordin bahawa pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika berjaya memerintah negara ini, sudah menjadi bukti bahawa cita-cita Pas sudah berkubur.

Oleh itu, tidak perlulah lagi Pas hendak bersandiwara termasuk terus melemparkan tuduhan kepada UMNO bahawa parti itu mengamalkan semangat kebangsaan. Jika pakatan pembangkang ditakdirkan memerintah Malaysia, Pas hanya menjadi 'pak turut' kepada PKR dan DAP sekali gus hanya akan menyebabkan mereka terikat dengan kesepakatan bersama iaitu terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Pas seharusnya tidak perlu berdolak-dalih atau membuat kenyataan bahawa pelaksanaan hukum hudud tetap menjadi keutamaan mereka kerana dasar mempertahankan Perlembagaan sedia ada sudah dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

"Itulah hakikatnya! Itulah faktanya! Bahawa perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar dan persetujuan bersama pakatan pembangkang.

"Itu hanya mimpi Pas, kata pemimpin pembangkang (yang lain)! Mimpi yang Pas tidak akan dapat capai selagi bersama pakatan pembangkang.

"Saya percaya ramai ahli akar umbi Pas tidak tahu yang undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan, negara Islam tidak akan ditubuhkan serta Perlembagaan sekular sedia ada akan terus diamalkan jika pembangkang memerintah," kata Zulkifli.

Apa yang lebih malang kepada sebuah parti seperti Pas yang dilihat terlalu ingin berkuasa di peringkat pusat, ialah awal-awal lagi sudah diberi amaran bahawa mereka tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini.

Penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim contohnya sudah menegaskan bahawa untuk melaksanakan hukum hudud, Pas perlu mendapatkan kerusi paling banyak di Parlimen dan ia juga perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang lain. Persoalannya adakah PKR dan DAP akan merelakan Pas dominan dalam pakatan atau lebih tepat lagi memiliki kerusi paling banyak dalam Parlimen?

Adakah DAP yang menentang keras pelaksanaan undang-undang Islam akan membuka laluan kepada Pas. Begitu juga PKR, apakah Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tunduk dengan desakan Pas atau akan memenuhi permintaan DAP.

Kita tidak harus lupa bahawa Anwar lebih rapat dengan DAP berbanding dengan Pas. Kesediaan DAP memberikan peluang kepada Anwar untuk terus menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat telah menyebabkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhutang budi dengan DAP.

Malahan dalam senario politik sekarang, di mana kedudukan undi orang Melayu terpecah, Anwar lebih rela bersahabat rapat dengan DAP bagi meraih undi bukan Melayu berbanding dengan Pas.

Kita juga percaya dalam mengekalkan kekukuhan dalam pakatan Anwar lebih percaya kepada DAP berbanding Pas, memandangkan sebahagian pemimpin Pas masih berpegang teguh kepada pendirian bahawa apa pun berlaku, hak keistimewaan kedudukan orang Melayu dan umat Islam dipertahankan.

Berdasarkan hakikat itu, Pas tidak perlu melutut apatah lagi terus tunduk kepada PKR dan DAP. Pas mempunyai kekuatan sendiri dan masih lagi menjadi parti alternatif kepada orang Melayu. Pas perlu jujur kepada ahli-ahlinya dan orang Melayu. Mereka perlu secara terbuka mengakui bahawa perjuangan untuk melaksanakan hukum hudud dan menegakkan negara Islam sudah tiada lagi dalam kamus perjuangan politiknya.

Janganlah ada di kalangan pemimpin parti itu yang cuba berdolak-dalik dengan mengatakan hukum hudud tidak pernah menjadi keutamaan mereka sebelum ini. Selama ini hukum hududlah yang menjadi pelaris kepada Pas untuk meraih undi daripada orang Melayu. Malahan ramai orang Melayu menyokong Pas kerana percaya parti itu benar-benar ingin menegakkan perjuangan Islam.

Pemimpin-pemimpin Pas perlu mengakui bahawa perjuangan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti adalah semata-mata untuk merebut kekuasaan dan meneruskan misi sejak tahun 1951 iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Pas tidak boleh lagi terus memberi harapan palsu kepada pengikut setianya bahawa perjuangan Islam menjadi teras utama politik mereka.

''Saya yakin dan percaya kebanyakan ahli akar umbi Pas memang ikhlas bersama dengan parti itu kerana percaya pada perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

''Klimaksnya apabila satu Kenyataan Bersama dikeluarkan baru-baru ini memperkukuhkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam," katanya.

Justeru sudah sampai masanya, Pas bertindak jujur dalam meraih undi dan sokongan dalam pilihan raya. Janganlah berkobar-kobar bercakap kononnya hendak melaksanakan hukum hudud kerana ia adalah satu perbuatan politik yang tidak bermoral.

Akui sahaja selagi Pas masih menjadi pak turut dan ibarat melukut di tepi gantang di dalam pakatan pembangkang selagi itulah cita-cita murni mereka hanya sekadar menjadi slogan.

Perjuangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud sama seperti slogan 'membangun bersama Islam' tiada apa-apa makna sebaliknya hanya sekadar halwa telinga sahaja, pelaksanaannya terlalu banyak kecacatan.

Jika Pas masih lagi tidak faham permainan politik yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP, ingatlah kembali kata-kata Zaid iaitu: ''Awak perlu menang dua per tiga dulu, kemudian baru kita boleh bercakap, kalau tidak ia hanya teori politik. Tok guru ada mimpi, saya pun ada mimpi. Contohnya impian saya ingin terbang ke bulan, tidak salah bercakap, saya boleh lakukan atau tidak bergantung kepada keadaan.''

Semoga pemimpin-pemimpin Pas akan memahami mesej berkenaan. Jangan sampai nanti Pas ibarat menang sorak kampung tergadai apabila pengikut setia dan jentera partinya, siang malam bertungkus-lumus berkempen tetapi orang lain yang menikmati kemenangan!

ZULKIFLEE BAKAR - UM

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan