Oleh : Suzaini Bin Sulaiman
KUALA SELANGOR : 30 Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) Kuala Selangor sepakat menyertai UMNO dengan menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Kuala Selangor Datuk Amiruddin Setro bertempat di rumah Pengerusi JKKP Kampung Bukit Kuching merangkap Ketua UMNO Cawangan Bukit Kuching, Noh Buang kelmarin.
Sharudin Mohd. Nri , 31, bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS cawangan Kuala Parit membuat keputusan untuk menyertai UMNO bersama lebih 30 pemuda di Kampung Bukit Kuching setelah merasa perjuangan Pas sudah terpesong semenjak parti ini bergabung dengan Pakatan Rakyat (PR) yang disertai DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Pada hari ini kami sepakat menyertai UMNO kerana kami sebagai bangsa Melayu merasa tertindas kerana hak kita tidak diperjuangkan dan kebanyakan pemimpinnya tidak sepakat serta ada yang mempunyai kepentingan peribadi didalam parti.
"Lebih mengecewakan lagi masjid pun dijadikan tempat berpolitik sedangkan UMNO tidak pernah berbuat demikian," katanya yang telah menyertai PAS semenjak berumur 18 tahun.
Sharudin berkata sebelum ini PAS dilihat benar-benar memperjuangkan Islam tetapi semenjak Selangor diperintah Pakatan Rakyat, PAS seolah hilang pedoman hinggakan masjid turut dijadikan lokasi berpolitik.
"Kami menyertai UMNO dengan harapan dapat menyatukan bangsa melayu dan memperjuangkan Islam kerana parti inilah yang dilihat mampu melakukannya.
"Saya benar benar kecewa dengan senario politik PAS sekarang semenjak parti ini bergabung dengan Pakatan Rakyat yang menyebabkan bentuk perjuangan mereka kabur dan umpama "Lalang Ditiup Angin" hinggakan saya rasa perjuangan terhadap Islam seolah olah diketepikan demi perjuangan Pakatan Rakyat," katanya.
Beliau juga meragui sekiranya Pas di dalam Pakatan Rakyat menang didalam pilihanraya tetapi mempunyai majoriti yang rendah dan mampukah PAS memerintah dan bolehkah Islam dan bangsa Melayu diperjuangkan.
Sementara itu, Amiuddin Setro merangkap ADUN Kawasan Jeram mengulas persitiwa bersejarah ini berasa bersyukur kerana mereka membuat keputusan yang bijak kerana memilih UMNO sebagai parti yang menyatukan bangsa melayu dan menegakkan Islam.
"Pemuda di kampung ini telah timbul kesedaran mereka tentang pentingnya mempejuangkan Islam dan bangsa Melayu.
"Ini adalah satu penghijrahan yang baik sempena bulan Syawal yang mulia ini dan berharap semua pemuda meneruskan halatuju generasi melayu yang akan datang," katanya.
Amiruddin menjelaskan UMNO Kuala Selangor mengamalkan prinsip "Yang muda disayangi dan yang tua dihormati".
"Semoga lebih ramai belia di kampung ini menyertai UMNO kerana hanya parti inilah yang dilihat mampu memperjuangkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu," katanya.
Juragan Malawati..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan