UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 27 September 2010

Anwar semakin terdesak!

Anwar Ibrahim dikatakan semakin terdesak dengan kekalutan yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila secara tiba-tiba mengemukakan teori kemungkinan wujudnya ‘Kuda Trojan’ dalam parti berkenaan.

Sambil mencabar Penasihat PKR itu mendedahkan siapa yang dimaksudkan `Kuda Trojan’ itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, tindakan Anwar bertujuan menutup kelemahan diri sendiri.

“Anwar kini terdesak apabila semakin ramai pemimpin dan ahli PKR menentang rancangannya. Jadi untuk mengelakkan kelemahan ini dikesan dan menjadi modal politik, seperti biasa dia menggunakan taktik mengalih isu melalui dakwaan terdapat ‘Kuda Trojan’.

“Teori ini tidak lain bertujuan menyelamatkan calon kesayangannya, Azmin Ali dan kalau benar beliau seorang yang bermaruah serta tidak berbohong, saya cabar dedahkan siapa ‘Kuda Trojan’ yang dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam yang meminta ahli PKR supaya berhati-hati dengan kemungkinan wujudnya ‘Trojan Horse’ yang menyelinap dalam parti tersebut semata-mata untuk meraih pangkat dan kedudukan.

Istilah ‘Trojan Horse’ diambil berdasarkan kelicikan dan kejayaan tentera Greek menawan kerajaan Troy melalui taktik pembinaan sebuah kuda kayu yang besar bagi membolehkan tentera mereka bersembunyi di dalamnya sebelum melancarkan serangan mengejut ke atas kota tersebut.

Menurut Mohd. Zahid, Anwar perlu mendedahkan siapa dan berapa ramai ‘Trojan Horse’ kerana orang ramai dan ahli parti ingin mengenali siapa sebenarnya yang menyelinap ke dalam PKR bagi tujuan menghancurkan parti tersebut.

“Beliau perlu dedahkan, apakah ‘Trojan Horse’ itu adalah individu-individu yang tidak selari dengan perancangannya atau adakah mereka ini terdiri daripada pihak yang menentang Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden,” soalnya.

Mengenai hasrat Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR, Mohd. Zahid berkata, parti itu kini menjadi sebuah organisasi politik yang mengamalkan amalan nepotisme paling dahsyat dalam negara.

Katanya, sehingga kini belum pernah lagi dalam politik negara suami, isteri dan anak menerajui sebuah parti tetapi sejarah tersebut dicipta oleh PKR yang kononnya menentang amalan nepotisme dan kronisme.

“Saya percaya Anwar bukan sahaja akan menjadi pengurus kempen kepada Azmin tetapi beliau juga akan menggunakan sepenuh pengaruh untuk memastikan Nurul Izzah menang,” ujarnya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan