UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 27 Februari 2014

Di mana air...Oh! Selangorku?

Penghuni Flat Kenari blok F terpaksa mengangkat air yang dibekalkan oleh Syabas berikutan ketiadaan bekalan air di kawasan perumahan mereka di Taman Impian Ehsan, Balakong, baru-baru ini.

Sudah berminggu-minggu penduduk Selangor berhadapan dengan krisis air. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apabila bekalan air terputus, kehidupan seharian terjejas. Rutin hidup terganggu kerana fikiran asyik memikirkan mana mahu dapatkan air untuk kegunaan rumah. Terutama untuk keperluan asas seperti memasak dan membersihkan diri.

Yang peliknya, ini bukan masalah baharu. Saban tahun fenomena rakyat terpaksa mengusung baldi menunggu ketibaan lori tangki yang membawa air, boleh dikatakan perkara biasa.

Setiap tahun krisis air ini pasti akan berlaku. Sepatutnya masalah ini sudah boleh dijangka dan langkah-langkah wajar jangka pendek dan jangka panjang boleh diambil jika pihak terbabit ikhlas untuk memastikan kebajikan rakyat terjaga.

Krisis air yang dihadapi oleh rakyat Selangor sejak beberapa minggu lalu ternyata menyusahkan setiap penduduk tanpa mengira fahaman politik. Persoalan yang timbul di sini, adakah langsung tidak ada penyelesaian jangka panjang dalam memastikan krisis ini tidak terus berulang? Atau disebabkan ego politik, ada pihak sanggup mengetepikan kepentingan rakyat asalkan mereka dilihat tidak bergantung kepada Kerajaan Pusat?

Setiap kali krisis air ini berulang, tentunya kita akan terkenang kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang jika dilaksanakan pasti dapat membantu mengatasi krisis air di Selangor. Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor. Sasarannya adalah untuk merawat 1.89 bilion liter air mentah sebelum disalurkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Berdasarkan perancangan, Langat 2 yang sepatutnya mula dibina pada 2012 adalah penyelesaian kepada penderitaan rakyat Selangor yang kini terpaksa berhempas-pulas pagi petang, siang malam demi memastikan rumah mereka ada air walau setitik. Tetapi disebabkan ego politik, kerajaan Selangor berdolak-dalik dan tidak serius dalam menyelesaikan kemelut ini. Akibat kelewatan ini, kos pembinaan dianggarkan meningkat kepada RM4.14 bilion walaupun kos asal adalah RM3 bilion.

Episod tarik tali semakin jelas apabila pada Mac 2008, Kerajaan Selangor mula diperintah oleh DAP-PKR-Pas.

Misalnya, pada 2010, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan angkuh menafikan negeri itu akan berdepan dengan krisis air 2014. Penafian Khalid itu bermakna secara tidak langsung Selangor menolak projek Langat 2 malahan beliau juga tanpa memikirkan kepentingan masa depan rakyat membuat rumusan sendiri bahawa bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur mampu memenuhi permintaan pengguna hingga 2019.

Tetapi sekarang baru 2014, rakyat Selangor telah merasa kesan daripada keangkuhan kerajaan negeri.

Pada 8 Ogos 2010, apabila berlaku masalah air di Selangor walaupun ia negeri yang diperintah pakatan pembangkang, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk meneruskan projek Langat 2.

Projek itu untuk kepentingan penduduk dan rakyat Selangor secara keseluruhannya. Tetapi Abdul Khalid enggan memberikan perintah Kelulusan Pembangunan (DO) terhadap projek tersebut dan menggesa Kerajaan Pusat tidak perlu tergesa-gesa untuk melaksanakan Langat 2.

Akibatnya setiap kali krisis air muncul, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang dijadikan kambing hitam. Syabas yang dituduh menjadi punca kepada krisis air ini seperti kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Dr. Xavier Jayakumar pada Julai 2012 yang menuduh krisis air berlaku akibat salah tadbir pengurusan dan ketidakcekapan pihak Syabas.

Perlu diingat, Syabas hanyalah selaku pengendali pengagihan air di Selangor. Tugasnya membekalkan dan mengagihkan bekalan air terawat. Bukan memastikan ketersediaan bekalannya. Kuasa Syabas ini adalah mengikut Seksyen 191 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Jangan lupa bahawa Kerajaan Selangor mempunyai 30 peratus saham dalam Syabas menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Kerajaan Selangor sebagai pemilik aset air negeri mengikut Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, bertanggungjawab memastikan ketersediaan bekalan air terawat di loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tetapi seperti biasa, dengan mengetepikan kepentingan rakyat, Menteri Besar Selangor mengulangi tuduhan bahawa dakwaan akan berlakunya masalah kekurangan air hanyalah rekaan Barisan Nasional semata mata untuk menakut-nakutkan rakyat Selangor.

Beliau juga menegaskan pembinaan Langat 2 tidak perlu jika Syabas boleh mengatasi masalah kebocoran air (Non-Revenue Water Wastage) yang dianggarkan berjumlah 1.5 juta liter sehari (30% daripada jumlah bekalan sehari) berbanding cuma 1.3 juta yang mampu dikeluarkan oleh loji Langat 2.

Pada Jun 2013, Kerajaan Persekutuan mengulangi amaran bahawa gangguan bekalan air berskala besar dijangka berlaku di Selangor yang akan menjejaskan lebih enam juta pengguna. Hal ini kerana jumlah takungan air di hampir semua 34 pusat pemprosesan air bersih berada pada tahap terendah. Tahap yang dibenarkan (recommended minimum reserve) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah antara 10 sehingga 15 peratus.

Ekoran itu, pada Ogos 2013, Kabinet memberi tempoh kepada Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan kemelut pengambilalihan pentadbiran air antara kerajaan negeri dan pemegang konsesi sebelum Kerajaan Persekutuan bertindak campur tangan memandangkan kegawatan air bukan hanya memberi kesan kepada bekalan tetapi juga pelaburan dan projek pembangunan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut SPAN, sejumlah 768 permohonan yang diterima dari Januari 2012 sehingga Disember 2013 untuk projek pembangunan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan bekalan air. Hanya 51 permohonan diterima sepanjang 2014. Secara tidak langsung ini menutup peluang pekerjaan penduduk setempat.

Pada awal Januari lalu, Abdul Khalid memaklumkan bahawa kerajaan negeri gagal memeterai sebarang perjanjian untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air dan beliau juga bersetuju melaksanakan projek pembinaan Langat 2 yang tertangguh sejak lima tahun lalu.

Jika diteliti semua fakta di atas, krisis yang menyeksa rakyat ini ada penyelesaiannya. Tetapi disebabkan ego pihak tertentu, maka kepentingan rakyat tidak dipedulikan.

Yang menjadi mangsa ialah rakyat. Masa berlalu dan akhirnya rakyat juga menderita.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan