UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 5 Ogos 2012

Unisel didakwa berhutang RM15 juta?



Universiti Selangor (Unisel) didakwa berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tunggakan bayaran itu melibatkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik penuh kerajaan negeri Selangor tersebut.

Saya difahamkan Unisel sudah mengutip yuran daripada pelajar, tetapi kenapa tidak bayar kepada kontraktor (JNSB)? Mana pergi duit itu? Apabila tidak bayar selama beberapa bulan dan jika kontraktor tutup asrama, yang jadi mangsa ialah pelajar.

Ini jelas menunjukkan kelemahan kerajaan negeri Selangor, nak urus Unisel pun tidak reti, macam mana nak urus negeri. Menteri Besar Selangor dan Unisel kena jawab perkara ini, kalau benar-benar ikhlas, bayarlah hutang kontraktor dan jangan susahkan pelajar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Agrobank berjumlah RM170,087.43 kepada Lembaga Zakat Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noh mengulangi cabarannya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar mendedahkan laporan kewangan Unisel yang gagal dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Residen Komuniti JNSB Noor Ashikeen Mohd. Stap ketika dihubungi menjelaskan tindakan menutup pejabat pengurusan asrama ketika sesi pendaftaran bermula adalah disebabkan pekerja syarikat itu tidak menerima gaji dalam tempoh yang lama sehingga menjejaskan urusan seharian.

Beliau berkata, JNSB tidak berniat menimbulkan masalah dan meminta semua pihak memahami beban yang ditanggung syarikat itu berikutan tiada bayaran untuk melangsaikan gaji pekerja, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.

Memang ramai yang seolah-olah menyalahkan JNSB, tetapi hakikatnya, pihak pengurusan Unisel gagal melangsaikan tunggakan bayaran yuran penyelenggaraan bagi tempoh 17 bulan dan bayaran asrama yang dikendalikan JNSB untuk tempoh lapan bulan.

Memang penuntut sudah membayar yuran asrama kepada Unisel, tetapi bayaran itu tidak sampai ke tangan JNSB, menyebabkan insiden ini berlaku," katanya.

Noor Ashikeen berkata, apabila masalah itu dibawa kepada pihak atasan JNSB, mereka tidak dapat memberi jaminan berhubung pembayaran gaji yang boleh dibuat dan beliau difahamkan sehingga kini, masih tiada perbincangan antara Unisel dan JNSB bagi mengatasi masalah tersebut.

Pihak pengurusan Unisel mengambil sikap mendiamkan diri menyebabkan kami kian tertekan dan keadaan itu menuntut kami untuk bercuti. Memang diakui sebelum ini, masalah yang sama turut berlaku sehingga pekerja gagal menerima gaji untuk tempoh dua bulan, namun akhirnya dibayar secara berperingkat.

Namun kini, kesabaran kami sudah sampai ke kemuncaknya dan apabila tiada jalan penyelesaian diambil, kami terpaksa menutup pejabat dan menunggu keputusan yang dibuat pihak atasan JNSB dan Unisel," katanya. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan