UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 28 Jun 2010

Lagi spekulasi: Empat ADUN Selangor didakwa keluar ‘protes’ Khalid!

Meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai mengadakan sesi pemukiman dengan melakukan rombakan kecil di sebalik desas-desus wujudnya desakan mahu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan, hari ini wujud spekulasi baru mendakwa empat ADUN parti itu akan keluar kerana beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Desas-desus baru ini mendakwa empat ADUN iaitu Haniza Mohd Talha dari kawasan Taman Medan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Sri Muda) sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.
Khabar angin ini mula tersebar sejak pagi tadi.

Selain SMS, beberapa panggilan yang diterima The Malaysian Insider mendakwa keempat-empat wakil rakyat berkenaan mahu meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati Khalid, menteri besar penggal pertama, dikekalkan. SMS itu berbunyi “empat ADUN PKR Selangor dikhabarkan akan meletak jawatan kerana tidak bersetuju Khalid kekal sebagai MB.”

Nik Nazmi merupakan bekas setiausaha politik Khalid. Beliau digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa bulan depan. Amirudin memberitahu The Malaysian Insider, beliau dan rakan-rakannya menghormati keputusan pucuk kepimpinan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

“Tidak, tidak... sebelum saudara tanya saya jawab soal dulu, tidak. Setakat ini tiada apa-apa, kami kekal dengan PKR,” kata Amirudin sebaik sahaja dihubungi The Malaysian Insider.

“Semuanya sudah bersetuju, kami menghormati Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi PKR Selangor manakala Tan Sri Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor... ini diumumkan pada pertemuan Majlis Pimpinan Pusat semalam dan semua terima” kata Amirudin sambil menambah, beliau dan Nik Nazmi makan malam tadi bersama dan tidak membincangkan apa-apa, kononnya “akan keluar PKR.”

“Saya tidak tahu mengapa secara tiba-tiba benda ini wujud balik,” kata Amirudin lagi.

Menerusi ruangan twitter, Nik Nazmi berkata: “saya baru terima panggilan daripada pemberita, bertanya sama ada saya salah seorang daripada empat ADUN berkenaan yang mahu meletakkan jawatan.” “Satu lagi penipuan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata tidak tahu-menahu apa-apa cerita sebenar.

“Ini kali kedua saya mendengar benda yang sama.

“Saya menafikan... perang saraf biasanya macam inilah,” kata beliau.

Di akhir sesi pemukiman dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR petang semalam, Naib Presiden Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Pelantikan itu berkuat kuasa petang semalam.

Wan Azizah ketika membuat kenyataan itu berkata pelantikan Azmin adalah bagi menggantikan Khalid yang juga Menteri Besar Selangor. “(Tindakan) ini setelah dipohon oleh Tan Sri yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuat kuasa serta-merta,” katanya semalam.

Sebelum ini Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Khalid yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menafikan tindakannya berundur daripada mengetuai PKR Selangor disebabkan tekanan daripada pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Khalid dan Azmin menjadi tumpuan selepas timbulnya desas-desus mengatakan wujud gerakan daripada sekumpulan puak di dalam PKR Selangor yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar. Kumpulan itu juga dikatakan mahu mendesak Khalid agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Sumber : The Malaysian Insider

Juragan Malawati..

1 ulasan:

  1. Website http://mybloghub.my/ mula beroperasi pertengahan Januari tahun ini, dalam tempoh hanya 5 bulan telah mencecah 600,000 pengunjung. Purata pengunjung harian adalah antara 6,000 ke 7,000 (kurang sedikit pada hujung minggu). Ruang iklah sebelah kiri website kini dibuka. Boleh tambah bilangan pengunjung ke blog yang mengiklan. Satu bulan hanya RM1,500. Jika berminat email ke: mybloghub@yahoo.com

    BalasPadam