UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 12 Jun 2010

Cauvinisme zaman kolonial!

GAGASAN 1Malaysia ingin menyatukan rakyat sebagai orang Malaysia. Namun dasar-dasar pembinaan bandar Kuala Lumpur jelas membina kembali zaman kolonial dan meneguhkan cauvinisme asing. Hanya di zaman kolonial sahaja, orang bermigrasi sebagai buruh dan tinggal di kawasan kecil sendiri, lalu membina China town, little India ataupun enclave (kawasan terkepung) asing.

Malaysia sudah berdekad mengintegrasi dengan pendatang asing untuk menjadi rakyatnya. Dengan peruntukan undang-undang kerakyatan sejak 1948, semua pendatang telah diintegrasi menjadi rakyat Tanah Melayu, dan kemudian Malaysia. Keturunan mereka terus menjadi rakyat dengan sebab perjalanan undang-undang. Tidak harus ada lagi rujukan orang yang dinamakan 'orang India' atau 'orang Cina', jika berlandaskan integrasi melalui perundangan kerakyatan itu.

Justeru, adalah sesuatu yang anakronistik dan ketinggalan zaman untuk membina little India di abad 21 ini. Lebih anakronistik lagi adalah kerana sudah beratus little India wujud sejak lebih 150 tahun kehadiran Inggeris sebagai penaung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Di semua bandar di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, terdapat enclave little India dengan 'jalan India' di banyak bandar. Di Kuala Lumpur sendiri, bukan hanya Brickfield sudah lama menjadi tumpuan pedagang India, bahkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Lebuh Ampang, Jalan Ipoh dan hampir seluruh Sentul serta Batu Caves.

Kehadiran pelbagai little India di Kuala Lumpur itu belum lagi mengira kewujudan mereka di bandar Klang, Pelabuhan Klang dan semua bandar besar di Tanah Melayu dari Johor Bahru, Melaka, Seremban, Ipoh, Taiping, Georgetown dan Alor Setar serta Kuching, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Jadi, amat mengecewakan pada zaman 1Malaysia ini, kita terus membina budaya asing dan enclave asing yang hanya dapat meneguh dan memperkasa cauvinisme budaya asing. Apakala sebuah kawasan atau territory didiami dan dianggap sebagai wilayah 'asing', sekali gus kita membina dua hal yang amat buruk iaitu membataskan interaksi antara kaum dengan penumpuan satu etnik dan budaya dalam satu kawasan, dan peneguhan sikap cauvinisme dalam sikap 'milik' itu termasuk sikap in-group dan out-group mereka yang terlibat. Keadaan ini tidak membantu untuk membangun 'penerimaan' dalam konteks 1Malaysia.

Dasar itu adalah amat 'jahil' dan anakronistik dalam zaman di mana kita disuruh 'menerima' antara satu sama lain dan bukan sekadar 'toleransi'. Penerimaan tidak dapat berlaku jika ada kelompok yang terus meneguhkan jati diri 'asing' yang amat mengasingkan dan tidak bergerak ke arah integrasi melalui interaksi, komunikasi serta membina hubungan erat dan intim dengan orang lain.

Enclave kelompok khusus pasti membina sikap in-group dan keterasingan. Hal itu tidak sekali akan maju dan bergerak ke arah integrasi atau pergaulan yang erat. Selama fenomena ini digalakkan dan disokong dengan rasmi, maka ia akan hanya memunculkan fragmentasi masyarakat dan perpecahan bangsa melalui 'kebanggaan' kelompok atau etnosentrism. Selama itulah juga, ia akan mengekalkan sikap prasangka atau prejudis orang luar kelompok terhadap kawasan itu. Inilah natijah yang selamanya mahu dielakkan.

Keadaan ini sudah berlaku di Brickfield sendiri apakala sekumpulan lelaki yang menentang tindakan polis melarang mereka melakukan kegiatan haram. Di semua kawasan yang didominasi oleh sebuah kelompok sahaja seperti ini, maka ia akan hanya melayan nafsu dan keperluan anggota kelompok sama sendiri dengan sedikit sekali kehadiran atau kedatangan orang lain untuk memecahkan cauvinisme mereka.

Bahawa alasan untuk membina little India atau lebih tepat little Madras sebagai penggalak pelancongan adalah satu alasan yang amat serong. Adalah amat bodoh untuk menghujahkan bahawa orang India akan datang untuk melihat little Madras di Kuala Lumpur, pada hal negara India atau Madras itu sendiri beratus kali ganda hebatnya daripada Brickfields.

Malah hujah untuk membina tarikan pelancong melalui enclave India adalah alasan sama sekali terpesong jauh daripada cita-cita perpaduan dan integrasi rakyat Malaysia. Di Jalan Bukit Bintang, telah muncul barisan restoran Asia Barat. Namun itu bukan bandar Arab, hanya sekadar memberi kemudahan makanan kepada pelancong mereka.

Jadi, apa yang harus berlaku ialah membuka semua bandar kepada kehadiran semua golongan masyarakat terutama kedatangan Bumiputera yang selama ini terasing dan terbiar di perkampungan mereka di luar bandar, hulu dan pedalaman, dan bukan membina pusat budaya asing yang akan hanya menyebabkan alienasi kaum.

Masalah utama bandar adalah fenomena ketidakseimbangan kependudukan daripada pelbagai kaum, terutama kelompok Bumiputera. Bandar masih merupakan lanjutan zaman kolonial, dengan dominasi dan hegemoni asing dari bukan Melayu. Keadaan ini mesti dipecahkan. Hal ini mempunyai implikasi serta natijah pembangunan, kemajuan dan perpaduan serta integrasi bangsa yang amat parah dan buruk.

Oleh kerana kekurangan kawasan yang didiami oleh Bumiputera di tengah-tengah bandar, maka mereka terpaksa berada di tengah kawasan 'asing' apakala bermigrasi ke bandar. Akibatnya, mereka terpaksa mengalami anomie dan alienasi serta terpinggir di bandar. Mereka menjadi penghuni setinggan. Atau, kini penghuni perumahan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kes sekumpulan belia dari Sabah yang terkandas kerana ingin mencari rezeki dan nasib di Kuala Lumpur adalah contoh yang amat jelas dan pahit akan nasib Bumiputera yang bermigrasi ke bandar kosmopolitan Kuala Lumpur yang didominasi oleh orang Cina dan orang India. Ini adalah gambaran masa depan nasib keterasingan dan penindasan Bumiputera di kota-kota besar di Malaysia.

Lebih daripada hal di atas adalah implikasi politik yang amat runcing dan buruk. Dominasi kaum Cina dan India di bandar serta usaha parti politik tertentu untuk meneguhkan kekuasaan mereka di bandar akan membawa padah yang amat kejam pada masa hadapan.

Jika kita sayangkan negara dan mahu mencapai cita-cita persatuan melalui gagasan 1Malaysia, ketepikan pembinaan dasar pembangunan bandar seperti little India.

Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ialah Ahli Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena). Kini beliau bertugas di Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan