UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 23 Jun 2012

Faekah mengaku hantar surat?




Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin mengaku menghantar surat agar sebuah firma guaman yang mempunyai hubungan keluarga dengannya ‘dipertimbangkan’ menjadi panel peguam di syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Bagaimanapun beliau mendakwa, surat itu dihantar bersama beberapa surat firma guaman lain yang turut berminat menjadi panel guaman di PNSB dan syarikat milik kerajaan negeri lain.

“Kesemua surat permohonan daripada firma guaman itu dihantar kepada pejabat Menteri Besar dan saya telah hantar surat kepada PNSB untuk memanjangkan permohonan tersebut termasuklah surat daripada firma guaman anak saudara saya.

“Itu adalah amalan biasa apabila ada syarikat yang menghantar permohonan kepada Menteri Besar untuk mendapat peluang perniagaan di syarikat milik kerajaan negeri dan kita panjangkan kepada syarikat tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai serangan yang dibuat terhadapnya oleh pihak yang bertelagah dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berdasarkan blog sel13.com semalam, Faekah yang selama ini dilihat sentiasa membayangi Abdul Khalid didakwa terlibat menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri bagi memberi peluang perniagaan kepada sebuah firma guaman yang dikatakan ada hubungan keluarga dengannya.

Blog tersebut turut menyertakan dua salinan surat iaitu yang pertama didakwa dihantar firma guaman tersebut kepada Faekah dan yang kedua didakwa merupakan surat Faekah sendiri kepada syarikat milik kerajaan negeri tersebut.

Dalam pada itu, Faekah menolak dakwaan beliau menggunakan pengaruhnya agar firma guaman berkenaan mendapat peluang perniagaan di PNSB.

Katanya, ini kerana selepas menghantar surat tersebut pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada PNSB untuk membuat penilaian dan keputusan.

“Selepas hantar surat itu saya tidak membuat sebarang susulan kerana kalau mahu saya boleh menghubungi syarikat tersebut atau Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Omar untuk minta tolong.

“Saya tidak buat begitu dan jika firma guaman itu menjadi panel di PNSB pun, bukan kerana saya," katanya.

Tambah Faekah, walau apa pun tafsiran yang dibuat beliau tidak merasakan tindakannya menghantar surat kepada PNSB itu adalah salah.

“Saya bersedia untuk disiasat dan saya juga cadangkan supaya maklumat yang tepat diperoleh daripada PNSB mengenai isu yang berbangkit termasuk adakah firma anak saudara saya itu mendapat sebarang perniagaan daripada PNSB setakat ini," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan