UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 11 Jun 2012

Pas Kedah rakus teroka balak, tarah bukit!




Masalah kemusnahan alam sekitar dan 'kesengsaraan' penduduk di Baling, Kedah akibat pembalakan berleluasa di Hutan Simpan Gunung Inas sejak dua tahun lalu seolah-olah dibiarkan begitu sahaja meskipun pelbagai pihak sudah banyak kali menyuarakannya.

Kerajaan negeri yang meluluskan aktiviti pembalakan itu dengan alasan untuk memajukan kira-kira 5,000 hektar tanah di hutan simpan berkenaan bagi pelaksanaan projek Ladang Sejahtera, menganggap tiada isu berbangkit kerana ia dibuat mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan.

Sedangkan kesan buruk akibat kegiatan berkenaan semakin hari dikatakan semakin serius.

Cukup menyedihkan melihat Hutan Simpan Gunung Inas, di sini yang merupakan tulang belakang sistem ekologi bagi penduduk daerah Kedah Tengah dan Selatan menghadapi kemusnahan akibat kegiatan pembalakan tidak terkawal.

Hutan yang dahulu dilitupi dengan rimbunan menghijau pelbagai jenis pokok dan tumbuhan menjadi semakin gondol ekoran aktiviti pembalakan atas alasan untuk memajukan tanah.



Difahamkan, 5,000 hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Inas, Baling yang berkeluasan kira-kira 15,000 hektar akan diteroka bagi pelaksanaan projek Ladang Sejahtera dengan tanaman getah berklon balak.

Ini bermakna, satu pertiga daripada kawasan gunung yang kaya dengan khazanah alam sekitar itu terpaksa ditarah dan dibersihkan bagi memberikan laluan kepada projek tersebut.

Tahun ini sahaja seluas 400 hektar kawasan hutan simpan itu ‘dibersihkan’ untuk projek berkenaan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) dengan kerjasama anak syarikat perbadanan negeri.

Ladang Sejahtera yang dibangunkan itu juga dikatakan sebagai ganti kepada penebangan semua pokok di kawasan gunung berkenaan namun, timbul persoalan adakah tanaman getah berklon balak tersebut dapat menggantikan kemusnahan hutan yang kaya dengan khazanah alam itu.

Bahkan, pelaksanaan projek dipersoalkan banyak pihak memandangkan ia sepatutnya boleh dibangunkan di kawasan tanah pamah bagi memastikan pembangunan secara lestari.



Sesetengah pihak turut mendakwa pembukaan ladang itu hanya alasan kerajaan Pas Kedah bagi mewajarkan balak pelbagai saiz dapat dikeluarkan dari kawasan gunung berkenaan bagi menambah pendapatan kerajaan negeri.

Meskipun kerajaan Pas Kedah mempertahankan tindakannya membuka Ladang Sejahtera di kawasan berkenaan, hakikatnya kegiatan pembalakan yang diberi nama jolokan ‘cuci hutan’ oleh penduduk itu telah mengakibatkan kerosakan ekosistem alam serta membawa banyak kesan buruk.

Rata-rata penduduk di sekitar kawasan itu yang ditemui baru-baru ini marah dan kecewa dengan kegiatan pembalakan berkenaan yang telah menjelaskan kehidupan mereka.

Seorang penduduk, Abdul Razak Che Ahmad, 51, dari Kampung Iboi berkata, bekalan air ke kediaman mereka dari sumber hutan simpan berkenaan menjadi kekuningan dan berkeladak akibat pembalakan berleluasa sejak dua tahun lalu.

Keadaan itu, katanya, menjejaskan kehidupan lebih 2,000 penduduk di Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bok Bak dan Kampung Padang Empang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan air dari sumber sungai untuk menjalankan aktiviti harian seperti mandi dan memasak.

“Apakah wajar sumber alam yang memberi kemudahan kepada penduduk seperti bekalan air masyarakat dikorbankan semata-mata hendak melaksanakan projek Ladang Rakyat?" kata Abdul Razak.



Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Iboi berkata, penduduk sedar kepentingan pembangunan yang mahu dibawa tetapi pengambilan balak secara berleluasa menyebabkan penduduk terutama dari lima kampung berkenaan menanggung kesulitan.

“Bekalan air masyarakat yang disalurkan kepada sekolah turut terjejas. Projek yang membawa kepada kemusnahan hutan itu perlu dihentikan segera demi kebaikan rakyat dan masa depan generasi akan datang," katanya.

Hanafiah Wan Teh, 42, dari Kampung Iboi berkata, sumber pendapatan penduduk kampung dari kawasan rekreasi Lata Chelak sudah tertutup apabila orang ramai tidak berminat ke situ selepas airnya tidak lagi jernih.

Menurutnya, begitu juga Empangan Iboi yang pernah menjadi juara sungai angkat peringkat negeri pada 2009 semakin terbiar dan tidak lagi dikunjungi orang ramai kerana airnya yang keruh.

“Menteri Besar tak usah bercakap soal pembangunan dan kemajuan untuk rakyat tetapi tidak pernah turun padang untuk melihat sendiri kepayahan penduduk akibat pembalakan secara berleluasa ini," katanya.

Di samping itu, penduduk yang memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual hasil hutan dan tangkapan ikan mengeluh kerana mereka kini sukar mencari rezeki akibat penggondolan hutan dan keadaan air sungai yang sentiasa kekuningan.-UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan