UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 30 April 2010

Khalid akur dengan desakan : Nama Jalan Barat kekal !

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim berkata, nama Jalan Barat tidak akan ditukar kepada Jalan V. David buat masa ini. Katanya, kerajaan negeri bagaimanapun akan menamakan Jalan V. David sempena memperingati pejuang hak pekerja pada tahun 70-an itu di satu jalan lain.

“Ia akan dibuat setelah pembangunan semula bandaraya Petaling Jaya dilaksanakan. Kita sedang meneliti pelannya. “Beberapa jalan akan ditukar namanya tetapi buat masa ini, Jalan Barat kekal,’’ katanya.

Sebelum itu : Jalan Barat ditukar kepada nama tokoh DAP

Jalan Barat di Petaling Jaya, dekat sini akan dikenali sebagai Jalan Dr. V. David, bekas pemimpin DAP yang juga aktivis kesatuan sekerja di negara ini.

Penukaran nama jalan itu akan disempurnakan secara rasmi oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersempena sambutan Hari Pekerja esok.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), G. Rajasekaran berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memenuhi permintaan MTUC untuk mengabadikan nama mendiang pada sebatang jalan raya.

Katanya, permohonan itu adalah bagi menghargai jasa David terhadap perjuangan kesatuan pekerja. "Sesungguhnya seluruh gerakan kesatuan pekerja berasa amat bangga dengan keputusan Kerajaan Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

David yang berasal dari Jalan Klang Lama, di sini dipilih sebagai Ahli Parlimen Datuk Keramat, Pulau Pinang pada 1969 atas tiket parti Gerakan. Mendiang kemudian menyertai DAP dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Damansara setelah mengalahkan Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam pada 1978.

David kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Puchong selama dua penggal bermula 1986 juga atas tiket DAP. Mendiang juga merupakan aktivis gerakan kesatuan sekerja dan pernah menjadi Setiausaha Agung MTUC dari 1976 hingga 1992. David meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada Julai 2005 kerana serangan angin ahmar.

Sementara itu : Keputusan Selangor dibantah

Langkah kerajaan negeri Selangor menukar nama Jalan Barat di sini ke Jalan Dr. V. David sempena sambutan Hari Pekerja esok dibantah oleh segelintir pihak terutamanya bekas penduduk di kawasan tersebut. Bagi mereka, isu yang kini menjadi pertikaian bukannya penukaran nama jalan itu, sebaliknya nama individu yang dipilih iaitu Dr. V. David.

David dilabelkan sebagai seorang yang tidak layak diberi penghormatan seumpama itu kerana dia dikatakan pernah menimbulkan pelbagai kontroversi ketika menjadi pemimpin salah sebuah parti pembangkang. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Damansara pada tahun 1978 dan Puchong untuk dua penggal berturut-turut pada tahun 1986 dan 1990.

David juga dikatakan pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat pada tahun 1958, selain pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1964, 1969 dan 1987. Petang ini, kira-kira 30 penduduk berkumpul berhampiran Hilton Petaling Jaya di sini hari ini untuk melahirkan rasa tidak puas hati dengan penukaran nama itu.

Bagaimanapun, perhimpunan itu hanya bertahan selama 5 minit apabila polis meminta kumpulan penduduk itu beredar. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Muhamed berkata, polis terpaksa meminta mereka berbuat demikian sebelum keadaan menjadi kecoh.

"Semua kumpulan penduduk itu memberi kerjasama ketika diminta meninggalkan tempat itu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Difahamkan, beberapa lagi kumpulan akan membuat tindakan yang sama pagi esok - menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri.

Jalan Barat merupakan antara jalan utama di bandar raya Petaling Jaya yang dipisahkan oleh Jalan Utara dan Jalan Sultan. Antara premis yang terdapat di jalan tersebut adalah Hilton, Wisma MCIS Zurich, Wisma Thrifty dan Jabatan Pendaftaran Negara.

David yang juga bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan bekas Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan (TWU) selama lebih tiga dekad meninggal dunia pada 2005 akibat serangan angin ahmar.

Juragan Malawati..

1 ulasan: