UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 23 April 2010

P94 Hulu Selangor : Apa Hak Nik Aziz Pertikai Titah Sultan Sharafuddin!


Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tidak menggunakan masjid untuk berkempen apabila menyatakan perbuatan berkenaan tidak salah.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW pada masa lalu. "Siapa ajar tidak boleh cakap politik dalam masjid. Ini ajaran karut yang ditinggalkan Inggeris dan digunakan oleh Muslim.

"Sungguh dukacita, inilah politik, ini kerja saki baki ajaran penjajah Barat yang mengasingkan agama dan politik," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. Beliau berada di sini bagi membantu calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Semalam, Sultan Sharafuddin menitahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid untuk kempen pilihan raya berkenaan. Sebelum ini, Pas didapati menggunakan masjid untuk berpolitik termasuklah ketika khutbah Jumaat. Nik Abdul Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri ahli agama, ahli politik, panglima perang, menteri kewangan, menteri sosial dan baginda sendiri menyampaikan politik di dalam masjid.

Mengenai kempen pilihan raya yang berlangsung, beliau menuduh BN melakukan tindakan memalukan apabila mendakwa parti tersebut melakukan serangan peribadi ke atas Zaid. UMNO (BN) tak ada modal, calon ini merupakan calon parti, jika mereka ada modal, seranglah parti, jangan serang tubuh (peribadi), ini kerja bodoh macam budak-budak. "Jika calon parti A lawan B, jadi lawanlah parti, jangan dok serang tubuh macam budak kecik kalau dia boleh bertumbuk, dia bertumbuk jika tidak dia cebik (mimik muka) dia nak buat hujah tak boleh jadi menyerang peribadi," katanya.

Sebelum itu : JAIS larang Nik Aziz gunakan masjid, surau ceramah politik

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak akan membenarkan pihak yang berkepentingan politik termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menyampaikan ceramah atau kuliah Maghrib di masjid-masjid dan surau di Hulu Selangor. Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang pengunaan masjid untuk kepentingan politik.

Katanya, sebagai jabatan yang melaksanakan titah Sultan Selangor, adalah wajar pihaknya mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan masjid dan surau sebagai tempat menyebarkan anasir perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam. "Kita telah memberi arahan dan amaran kepada nazir masjid supaya tidak membenarkan individu yang ada kaitan dengan parti politik termasuk Nik Abdul Aziz untuk mengadakan kuliah atau ceramah yang diselitkan dengan politik di masjid dan surau di Hulu Selangor.

"Sebagai pemimpin, mereka perlu faham serta menghormati titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan pengunaan masjid dan surau untuk tujuan politik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor. "Kita tidak benarkan aktiviti politik seumpama ini dibuat di masjid dan surau, jika kita dapati mereka melanggar arahan ini, tindakan boleh dikenakan ke atas mereka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Hulu Selangor, Mahmud Karim semalam yang mendakwa pakatan pembangkang menggunakan masjid dan surau untuk meraih sokongan daripada pengundi Melayu yang merupakan 53 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar di Parlimen itu.

Dakwa Mahmud, tindakan pakatan pembangkang itu terus dilakukan walaupun terdapat tentangan daripada penduduk di kawasan Parlimen berkenaan termasuk menggunakan speaker masjid bagi mengadakan ceramah sehingga lewat malam. Sungguhpun larangan itu telah nyatakan oleh JAIS, beberapa pemimpin pakatan pembangkang dikatakan akan menggunakan tempat ibadat itu untuk mengadakan ceramah dan kuliah yang tentunya diselitkan dengan isu politik.

Dalam pada itu, Muhammed Khusrin memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai pelanggaran arahan tersebut buat masa ini. Namun, beliau meminta semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya membuat laporan kepada JAIS secepat mungkin bagi memudahkan jabatan itu mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita telah letakkan pegawai kita untuk memantau masjid dan surau di Hulu Selangor. Setakat ini, kita tidak ada terima apa-apa laporan termasuk aduan daripada orang ramai. "Kita amat harapkan semua pihak yang mempunyai maklumat supaya terus laporkan segera kepada JAIS," ujarnya.

Untuk rekod dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, pakatan pembangkang termasuk Pas melakukan serangan peribadi ke atas calon BN. Perbuatan itu paling teruk dilakukan ketika Pilihan Raya Kecil di Kuala Terengganu dan Permatang Pasir di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Kedua-dua kawasan itu ditandingi oleh calon Pas.

Komen : Penang Wasabi tidak berasa hairan apabila Nik Aziz mempertikaikan titah Sultan Selangor kerana memang sikap beliau tidak menghormati pihak Istana. Lihatlah apa yang berlaku di Kelantan apabila Nik Aziz tidak pernah melawat sultan ketika baginda sultan menerima rawatan di Singapura!

Diharap Nik Aziz bertanggungjawab dengan apa yang beliau katakan ini, "Siapa ajar tidak boleh cakap politik dalam masjid. Ini ajaran karut yang ditinggalkan Inggeris dan digunakan oleh Muslim."Sungguh dukacita, inilah politik, ini kerja saki baki ajaran penjajah Barat yang mengasingkan agama dan politik". Adakah kenyataan ini ditujukan kepada baginda Sultan Selangor! Diharap penduduk-penduduk Hulu Selangor dan juga umat Islam dinegara ini dapat menilai apa yang telah dicakapkan oleh Nik Aziz.

Mungkin Nik Aziz telah lupa akan pepatah Melayu yang mengatakan ' masuk kandang lembu menguak, masuk kandang kambing mengembek' kerana Nik Aziz adalah seorang ' Islam "? Jangan disebabkan KUASA, maka ugama disalahgunakan.

Juragan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan