UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 10 April 2010

PRK P94 - HULU SELANGOR : Jaja isu bukan strategi cerdik!

MEMANG diakui Barisan Nasional (BN) ada banyak isu untuk dijadikan modal semasa berkempen untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Tetapi jangan lupa pakatan pembangkang juga ada isu untuk dijaja.

Bukan setakat ada, mereka sedang berusaha mencipta pelbagai isu lagi yang boleh saja menangkap fikiran dan menjadi tarikan di kalangan para pengundi di Hulu Selangor.

Kelicikan pakatan pembangkang sememangnya terbukti dalam setiap pilihan raya kecil selepas catatan prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dua tahun lepas. Fakta itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Mereka hanya menunggu masa yang tepat dan sesuai untuk menabur modal tersebut - yang pasti boleh memberi kesan kepada saraf para pengundi tanpa mengenal bangsa dan agama.

Bak kata Datuk S. Nallakarupan yang merupakan bekas sahabat rapat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ada banyak agenda gila. Agenda gila itu semestinya diturunkan kepada barisan kepemimpinan pakatan pembangkang dan ahli-ahli yang masih mendendangkan lagu setia berbakti dan berkhidmat demi parti. Peliknya agenda gila itu diterima pakai di kalangan segelintir rakyat.

Rakyat percaya apa yang Anwar kata, rakyat terpesona dengan kepetahan Anwar terutamanya apabila mengaitkan Israel dengan Malaysia - sesuatu yang amat sukar diperjelaskan kepada rakyat yang telah tertanam di fikiran mereka Israel adalah Yahudi dan Yahudi membunuh umat Islam di Palestin serta menyingkirkan mereka dari negara sendiri. Begitu juga dakwaan ejen Israel dalam Pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) - satu tuduhan berat yang tidak boleh dipandang ringan tetapi semestinya bahan paling sempurna untuk digoreng oleh pakatan pembangkang.

Biarpun logik akal sukar menerima walaupun satu peratus pun kesahihan dakwaan tersebut namun strategi pakatan pembangkang ternyata ada kesannya.

Sebab itu untuk berhadapan dengan 64,500 pengundi di Parlimen Hulu Selangor bukan tugas mudah. Kemenangan BN menerusi Tan Sri Isa Samad di Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang tidak boleh dilihat sebagai petanda kesinambungan di Hulu Selangor.

Cabaran di Hulu Selangor amat berat dan mesti digalas secara berhati-hati untuk mengelak sebarang kesilapan walau sebesar zarah sekali pun. Setiap petugas mesti menjaga kerahsiaan parti dan berkempen dengan ikhlas untuk memastikan pengundi di Parlimen Hulu Selangor mendapat manfaat daripada pemerintahan BN jika menang kelak.

Lantaran menabur isu sahaja tidak cukup. Apatah lagi isu berkaitan sekumpulan wakil rakyat pakatan pembangkang meninggalkan gabungan itu telah pun dimanipulasi oleh barisan kepemimpinan mereka. Ini kerana kesemua wakil rakyat tersebut tidak menyertai BN. Mereka mahu berperanan sebagai wakil rakyat bebas - bebas menegur yang kanan dan yang kiri. Tentunya ada alasan mereka berbuat demikian. Alasan itulah yang dimanipulasi oleh pakatan pembangkang biar pun ada pendedahan tentang salah laku Anwar kerana ada di antaranya gagal dijawab oleh pihak yang membuat pendedahan.

Hakikatnya, kebergantungan terhadap isu untuk dijaja semasa berkempen bukan satu strategi yang jitu dan cerdik untuk memenangi hati rakyat. Rakyat mahukan pembangunan. Rakyat dahagakan peluang pekerjaan, pendidikan dan penyediaan pelbagai kemudahan yang akan menyenangkan urusan seharian mereka.

Rakyat tidak kisah akan cerita-cerita luka dan duka BN atau pakatan pembangkang jika segala keperluan mereka dipenuhi. Mereka mahukan pemimpin yang bekerja, dilihat bekerja, tidak sombong dan mampu menjadi wakil kepada mereka di Dewan Rakyat kelak.

Yang bahayanya apabila keperluan rakyat dinafikan. Cuba lihat kawasan Parlimen Hulu Selangor dan tiga lagi DUN di bawahnya? Adakah segala kemudahan yang dikecapi disediakan semasa wakil rakyat pakatan pembangkang berkhidmat di situ. Atau tidak ada yang boleh dibanggakan? Sempatkah wakil rakyat sebelum ini menabur budi dan bakti kepada pengundi di situ seperti mana janji-janji manis semasa pilihan raya umum dua tahun lalu.

Di situ sebenarnya isu. Soal calon tidak timbul. Jika calonnya dari MIC tetapi khidmat yang ditunjukkan cemerlang dan gemilang pasti pengundi Melayu tidak akan teragak-agak untuk memangkah BN. Apatah lagi telah menjadi sejarah turun temurun dan bukannya tradisi, kerusi di situ ditandingi bukan Melayu dan diterima baik oleh para pengundi.

Ada beza antara sejarah dan tradisi. Lantaran sejarah ada bukti susulannya manakala tradisi amalan yang diambil kira berasaskan keperluan majoriti kaum di situ. Tradisi itu tidak berlaku di Hulu Selangor selama ini. Jika tradisi yang menjadi kriteria maka sejak tahun 1959 calon yang bertanding di situ semestinya Melayu.

Tetapi sejarah cuba dicipta di Hulu Selangor sejak 1959 dan ternyata berjaya biar pun menyanggah tradisi. Ia diteruskan cumanya masalah di belakang hari adalah apabila calon yang sama diletak di situ mengiyakan bahawa sejarah adalah matapelajaran membosankan sehingga ada cubaan untuk kembali kepada tradisi. Apatah lagi apabila pembangunan di situ menjadi semakin lembap menambahkan kebosanan para pengundi sehingga menuntut satu revolusi yang belum dapat dipastikan keberkesanannya.

Hakikatnya biarpun ada cabaran tetapi BN mempunyai bukan setakat isu untuk dijaja.

BN mempunyai bukti. Tugas BN adalah untuk membentangkan bukti-bukti tersebut menerusi pendekatan yang mampu diterima rakyat. Hati pengundi mesti ditawan bukan setakat menuang tar bagi menutup jalan-jalan berlubang tetapi dengan keikhlasan bahawa dalam negara yang berbilang kaum sesiapa pun boleh menjadi wakil rakyat asalkan segala tanggungjawab dipenuhi.

Keikhlasan penting kerana tanpa kriteria itu akan timbul usaha untuk mensabotaj parti sendiri. Ini pernah berlaku dan tidak dinafikan. Lantaran kecintaan kepada parti didorong oleh habuan apabila gagal mendapat habuan maka gerak kerja kempen tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Itu satu lagi kekurangan BN. Semangat kecintaan kepada parti kadangkala dibatasi wang ringgit terutama di kalangan anak-anak muda sehingga menyebabkan poster tidak digantung, kempen dari rumah ke rumah tidak digerakkan dan pelbagai peristiwa malang lagi. Cuba lihat cara anak-anak muda dalam pakatan pembangkang terutama Pas bekerja.

Mereka sanggup berhujan, berpanas melaksanakan tugas serta peranan masing-masing. Mungkin ada habuan tetapi nasi bungkus dan duit poket sehelai yang nilainya cukup untuk membeli kudap-kudap. Sebab itu sebesar dan sebanyak mana pun isu yang boleh dijaja oleh BN tidak cukup untuk memastikan Parlimen Hulu Selangor kembali ke pangkuannya. Ada beban dan tanggungjawab yang lebih besar.

Tumpuan di tiga DUN iaitu Kuala Kubu Baharu, Batang Kali dan Hulu Bernam mesti diperhebatkan. Kemenangan pakatan pembangkang dengan majoriti 198 undi hakikatnya amat besar dan mesti diratapi oleh BN. Angka itu bukan main-main. Sekadar mendendangkan semula isu-isu yang telah pun diketahui rakyat tidak cukup untuk BN membuat catatan baru di Parlimen Hulu Selangor.

Isu-isu tersebut sudah basi, biarpun baru sebulan diperdengarkan. Lantaran rakyat semakin muak dengan politik kebencian dan politik terlebih yakin yang akhirnya mendorong mereka memangkah sesedap rasa tanpa peduli apa kesannya terhadap masa depan mereka sendiri.

Sebab itu pada pilihan raya ke-12, ramai yang tidak peduli akan nasib mereka. Kesemuanya kerana didorong rasa jelak yang akhirnya mengundang ke jelikan terhadap politik yang dilihat mengkayakan kelompok tertentu. Inilah masanya untuk barisan kepemimpinan BN belajar untuk memenangi semula hati rakyat yang pernah terluka.

Diakui tugas itu tidak mudah. Ada rakyat yang sekali terluka terus serik dan enggan menurunkan kesetiaan kepada parti. Ada juga boleh melupakan kelukaan itu hanya jika kesilapan lama dapat diperbetulkan. Ini kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan parut lama berdarah kembali malah ada kemungkinan menyebabkan luka menjadi bertambah parah.

Kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor hakikatnya menguji keutuhan BN yang sebenarnya masih berhadapan dengan masalah di kalangan parti-parti komponennya. Pilihan raya kecil yang akan berlangsung dua minggu lagi menuntut kerjasama erat pemimpin parti-parti komponen untuk sama-sama turun padang. UMNO tidak boleh dibiarkan hanya berdua-duaan dengan MIC.

Pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan mesti turut serta - bermula dari hari pertama berkempen sehinggalah menjelang embun menutup tirai berkempen. Itu satu lagi cabaran BN. Ini kerana dalam beberapa pilihan raya kecil, semangat seumpama itu tidak terserlah. Jika calon BN dari parti UMNO yang bertanding maka dibiarkan UMNO terkontang-kanting sedangkan ada pengundi Cina di situ, ada juga pengundi India.

Tetapi jika calon MIC, MCA atau Gerakan dipilih, UMNO juga terpaksa bertungkus lumus menimbulkan persepsi rapuhnya semangat setiakawan di kalangan komponen yang berbeza bangsa dan agama. Parlimen Hulu Selangor menunggu dan bakal mencatatkan bukti sejauh mana BN belajar daripada pengalaman buruk 8 Mac 2008.

Ayuh UMNO Bahagian Kuala Selangor! Bila nak mula bergerak ke P94...!

Juragan..

1 ulasan:

  1. Salam,

    1 Wahai kaum Muslim! lslam sekali-kali TIDAK PERNAH meninggalkan walau suatu apa pun pimpinan & ajaran, termasuk soal memilih pemimpin & penguasa yg di dlm al-Quran disebut ulil amri. Oleh itu, di dlm soal pemimpin & kepimpinan ini, sila tanyakan diri masing2: Siapakah sebenar-benar pmimpin bagi kaum Muslim yg layak mendapat penghomatan Allah dgn gelaran ulil-amri itu, yg dapat memimpin agar umat sejahtera hidup di dunia & selamat pula di akhirat?

    2 Betapa hina & malangnya semulia-mulia umat yg diturunkan untuk seluruh umat manusia - yg dibelaki-Nya al-Quran, dibimbing oleh penghulu segala Rasul Allah - tiba2 dipimpin oleh suatu sosok yg menolak keEsaan Allah. Ketahuilah bahawa; bagi dia yg tidak beriman kdp keEsaan Allah, Allah tlah sediakan buku khusus baginya yg kita sangat maklum apa dia. Apakah umat mahu namanya dicacat di dlm buku itu semata-mata kerana mengangkat dia menjadi aulia' [pemimpin], tatkala sang pemimpin itu menolak keEsaan Allah, tidak meyakini hukum2 syariat-Nya, & bahkan menentang jika syariat Allah mahu ditegakkan? Na'uzubillah... [al-Quran, Srh Ali lmran (3):28]

    3 Pemimpin sebenar-benar pemimpin bagi umat Muslim yg dituntut oleh lslam & diraikan [diredhai] olh Allah hanya seseorang yg hidupnya demi menghidupkan amar ma'ruf nahi munkar, lalu benar2 melakukan amar ma'ruf nahi munkar; & mengajak serta mengepalai orang lain melakukan mar ma'ruf nahi munkar. Dia memimpin kerana mahu menzahirkan syariat [hukum2 syara'] Allah sebagai aturan yg mengurus seluruh aspek kehidupan, mencakup; sistem pemerintahan & bernegera, politik, undang2, ekonomi, sosial, pendidikan, diplomatik, serta muamalah2 lain - hanya di atas lndasan syara' yg semata-mata bersumberkan al-Quran, as-Sunnah, ljma' Sahabat & Qias - atas keimanannya bahawa setiap perbuatan seorang Muslim WAJIB TERIKAT dgn perintah2 & larangan2 as-Syari' [Zat Maha Pembuat Hukum : Allah].

    4 ltulah ulil amri yg menjadi saksi kpd umat yg dipimpinnya & Rasulullah SAW pula menjadi saksi baginya di Yaumul Mahsyar kelak, bagi menilai adakah pemimpinannya berjalan di atas landasan syara' - bukan sebaliknya di atas landasan hukum2 SIVIL-SEKULAR - hukum2 buatan akal manusia yg sedang diusung, diperjuangkan & dipertahankan oleh seluruh parti2 politik sekarang [waima parti2 politik berbasis umat Muslim sada ada UMNO, PAS, PKR dsb].

    5 Demikianlah lslam mengajar kita sehingga layak menjadi KHALIFAH untuk menebarkan nuur [rahmat]-Nya atas muka bumi-Nya ini.

    Wallahu a'lam.

    BalasPadam