UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 14 April 2010

PRK P94 - HULU SELANGOR : MIC mahu muka baru calon BN!

Barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) perlu mempertimbangkan kehendak pengundi sebelum memutuskan calon yang akan diletakkan sebagai wakil parti itu untuk memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, P. Palaniappan berkata, menerusi beberapa penyelidikan yang dilakukan di Hulu Selangor mendapati, penduduk di situ majoritinya mahukan anak jati tempatan diletakkan sebagai calon BN.

"Walaupun MIC mahukan Timbalan Presiden MIC, G. Palanivel diletakkan sebagai calon BN, kita juga harus pertimbangkan kemahuan penduduk yang merupakan penentu kemenangan kerusi PRK itu nanti.

"Mereka mahukan seorang muka baru sebagai calon BN dan kehendak mereka harus diteliti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan besar, Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, V. Mugilan yang merupakan anak tempatan dilahirkan di Ladang Kerling, Kuala Kubu Bahru serta berkelulusan dalam jurusan Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil itu.

Katanya, MIC harus memikirkan cara terbaik untuk menarik hati pengundi bagi memastikan kemenangan BN. "Kita bukan tidak mahu menyokong kehendak Presiden, S. Samy Vellu, tetapi kemungkinan jika kita tidak mengikut kehendak pengundi, susah untuk BN dapatkan sokongan penuh mereka," katanya.

Tambah Palaniappan, pengundi bukannya seperti dahulu yang mengundi semata-mata kerana parti. "Pengundi sekarang sudah pandai untuk menilai kredibiliti seseorang calon itu," jelasnya.

SEMENTARA ITU : Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyangkal dakwaan bahawa beliau mencalonkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, K. R. Parthiban untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
Noh berkata, soal pemilihan calon hanya akan diputuskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau berperanan untuk menyusun jentera parti bagi memenangi kerusi Parlimen tersebut.

“Siapalah saya hendak calonkan orang. Saya ingin menyatakan di sini bahawa saya tidak kacau soal calon, saya pun tidak tahu siapa calon yang dipilih. Soal itu serah kepada pucuk pimpinan parti. Saya tidak kacau kerja orang lain. “Pucuk pimpinan yang diketuai Pengerusi BN akan tentukan calon yang layak, kerja saya adalah menyusun jentera parti bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Pertubuhan Peladang kawasan Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar.

Beliau diminta mengulas dakwaan sebuah akhbar semalam yang mendakwa beliau mencalonkan nama Parthiban untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 25 April ini.
Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani meminta supaya semua pihak berhenti membuat ramalan.

Menurutnya, semua pihak harus menerima dan menyokong sepenuhnya sesiapa sahaja calon yang telah dipilih oleh pucuk pimpinan parti. “Pilihan raya ini penting bagi mengubah landskap politik di Selangor kerana ia penentu kesinambungan BN dan penerimaan rakyat terhadap BN dan kerajaan,” katanya. Sementara itu, Parthiban ketika dihubungi berkata, beliau tidak tahu apa-apa mengenai laporan surat khabar itu.

Juragan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan