UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 29 April 2010

PAS Biadap : Rukun Negara Kedua - Kalau Tak Faham B.Melayu, Ini Dalam B.Inggeris!

Tonggak kedua Rukun Negara perlu disuburkan

KEBELAKANGAN ini timbul berbagai tindakan yang dilihat seperti langsung tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu. Ada antara tindakan itu bukan sahaja dianggap tidak menghormati undang-undang, malah ada yang sanggup mencemarkan institusi raja melalui perbuatan, misalnya mengadakan demonstrasi di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak atau melalui persidangan Dewan Undangan Negeri. Perlu difahami bahawa Raja-Raja Melayu adalah simbol dan keagungan serta kedaulatan negara ini.

Jika dilihat kembali semasa proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah mengingatkan semua pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di Selangor supaya memastikan masjid tidak digunakan sebagai gelanggang politik.

Tetapi yang terjadi sebaliknya pula. Pihak pembangkang mengambil sikap tidak endah titah Sultan Selangor. Menurut laporan akhbar-akhbar utama, Menteri Besar Kelantan yang turut berkempen di Hulu Selangor mengatakan larangan menggunakan masjid dan surau untuk berpolitik sebagai karut dan ia adalah hasil peninggalan penjajah. Selanjutnya beliau dilaporkan sebagai berkata politik boleh disebut atau dibincang di mana-mana. Azan yang dilaungkan bilal adalah suatu politik kerana memanggil orang ramai mengerjakan solat di masjid. Selanjutnya beliau berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengasingkan antara agama dan politik.

Jika diteliti, titah Sultan Selangor ada baiknya. Larangan berpolitik di masjid dan surau dikhuatiri akan mendatangkan lebih banyak masalah (keburukan) dan kemudaratan berbanding dengan kebaikan terhadap masyarakat. Ini kerana pada masa kini, masyarakat Melayu Islam bukan sahaja berpecah belah, malah sanggup berpuak-puak hanya disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Tentu kita masih belum lupa, suatu ketika dahulu terdapat isu-isu yang merendahkan martabat Islam seperti sembahyang dua imam dan isu kafir-mengkafir.

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyatakan pendirian beliau yang tidak bersetuju masjid digunakan sebagai lokasi untuk kempen politik. Selanjutnya beliau berkata, sekiranya kempen politik atau untuk apa sahaja aktiviti parti dibenarkan, ia akan menimbulkan masalah dan perpecahan akan lebih teruk berlaku dalam masyarakat.

Terkini berlaku pula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah apabila dua soalan bertulis yang dikemukakan oleh seorang ahli DUN dari Pas yang bertanya sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam negeri dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

Sepatutnya, soalan-soalan yang berkaitan dengan institusi Raja-Raja Melayu yang menyentuh mana-mana Sultan atau Raja Melayu yang boleh mendatangkan satu polemik pada masa depan dihindarkan daripada dibincangkan di dalam sidang DUN. Pemimpin-pemimpin politik tidak kira sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang terutamanya pemimpin-pemimpin Melayu seharusnya menjadi benteng dan pembela merangkap 'hulu balang" yang mempertahankan kedaulatan agama Islam dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

Rakyat negara ini pada semua peringkat umur dan bangsa sewajarnya tidak lupa dan maklum dengan tonggak kedua Rukun Negara iaitu 'Kesetiaan kepada Raja dan Negara'. Hari ini, rakyat dilihat seolah-olah sudah lupa kepada Rukun Negara.

Usaha-usaha menyemai maksud yang tersirat pada setiap tonggak Rukun Negara harus dibuat dengan kadar segera melalui kempen-kempen di media cetak dan media elektronik supaya setiap rakyat di negara ini dapat menjiwai dan mendalaminya.

Setiap tonggak Rukun Negara yang diamalkan sejak dahulu telah berjaya menjamin kestabilan negara dan keharmonian hubungan kaum. Jangan ada lagi pihak yang cuba mempertikaikan, malah menghina prinsip yang telah diterima dan telah termaktub itu.

Di Selangor : Jangan datang jika tidak setuju larangan berpolitik di masjid

Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah menegaskan, sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau sebaiknya tidak perlu datang ke negeri ini.

Titah baginda, jika ingin datang ke negeri ini, mereka yang terbabit hendaklah mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. "Jika sekiranya seorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di Selangor ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini," titah baginda hari ini.

Baginda bertitah, larangan penggunaan masjid dan surau di negeri ini sebagai tempat untuk berpolitik bertujuan menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat orang Islam.

Sementara itu di Kedah : Tak perlu pohon maaf - MB

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bertindak angkuh apabila enggan melayan desakan yang mahu beliau memohon maaf kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ekoran soalan mengenai bidangkuasa sultan pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah kelmarin.

Menurutnya, beliau tidak perlu memohon maaf kerana soalan yang dikemukakan oleh Mohd. Nasir Mustapa (Pas-Kubang Rotan) itu tidak melanggar Seksyen 36.8 Enakmen Peraturan Mesyuarat Dewan. Jika semalam beliau mengakui tidak sedar wujudnya soalan itu dan bersetuju ''soalan itu memang tidak perlu ada pun'' hari ini beliau bercakap lain pula.

Katanya, apa yang dilarang menurut seksyen berkenaan adalah mempertikaikan sifat dan kelakuan raja termasuk titah serta hak-hak sultan. "Nak minta maaf pasal apa, atas dasar apa? Yang timbul isu itu kerana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak faham undang-undang.

"Yang ditanya dalam Dewan ialah sejauh mana bidang kuasa sultan dihormati, bukan mempertikaikan kuasa sultan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menteri Besar ditanya mengenai tuntutan Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) semalam supaya beliau dan Mohd. Nasir memohon ampun kepada Sultan Kedah berikutan soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat Kubang Rotan itu pada sidang DUN kelmarin.

Pemuda BN turut dilaporkan meminta kerajaan negeri memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Kedah berhubung isu berkenaan. Pada sidang DUN tersebut, bantahan keras daripada beberapa wakil rakyat BN yang mempertikaikan dua soalan bertulis dikemukakan oleh Mohd. Nasir itu telah menyebabkan Speaker, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail membatalkan soalan berkenaan.

Penyokong pembangkang menganggap soalan itu seolah-olah cuba mempertikaikan kuasa sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.

Dua soalan yang menimbulkan kontroversi tersebut adalah sejauh manakah bidang kuasa sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam ?

Ditanya adakah beliau patut menjelaskan isu berkenaan kepada Tuanku Abdul Halim, Azizan berkata, ia tidak perlu kerana Sultan Kedah sudah memahaminya. Menurutnya, semalam beliau telah menghubungi Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Elmi Yusoff mengenai isu tersebut dan meminta beliau supaya tidak mengendahkannya.

Dalam pada itu katanya, PKDK seolah-olah dipergunakan oleh 'orang politik' sehingga melakukan bantahan mengenai perkara berkenaan di Anak Bukit semalam dan sepatutnya datang berjumpa sendiri dengan beliau bagi mendapatkan penjelasan. "Kenapa pula dia nak tunjuk perasaan macam Baju Merah di Bangkok itu," katanya.

Si luncai terjun dengan labu-labunya..biarkan..biarkan..!

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan