UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 13 April 2010

PRK P94 - HULU SELANGOR : Zaid bakal di serang BN kerana 'bukan anak tempatan'!

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan bukan ‘anak tempatan’ berentap dengan ‘muka lama’ bagi merebut kerusi berkenaan.

Barisan Nasional dipercayai akan berkempen dengan mendakwa hanya anak tempatan yang mampu memperjuangkan masalah Hulu Selangor berbanding dengan Pakatan Rakyat yang hari ini menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon mereka.

Zaid yang berasal dari Kelantan dipercayai akan ditentang oleh calon BN, Datuk G Palanivel yang juga merupakan bekas ahli parlimen kawasan itu selama empat penggal.

Ketika dihubungi, ketua pembangkang dewan undangan negeri Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata keputusan PKR meletakkan Zaid sebagai calonnya akan memberi kelebihan kepada BN. “Beliau bukan anak tempatan, lebih-lebih lagi beliau adalah muka baru kepada Hulu Selangor dan juga dalam partinya sendiri.

“Keputusan PKR menunjukkan mereka tiada calon yang baik maka mereka terpaksa memilih Zaid untuk bertanding,” kata Khir. Namun demikian, bekas menteri besar Selangor yang ditumbangkan pada pilihan raya umum 2008 yang lalu berkata BN tidak menyerang peribadi lawan mereka.

Justeru, katanya BN tidak akan menggunakan keputusan lembaga disiplin Umno yang mendapati Zaid bersalah kerana terlibat dalam politik wang pada 2005 untuk menyerang beliau. Zahid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR pada tahun Jun 2009.

“Sebenarnya ini bukan isu lagi, tetapi ini menunjukkan bahawa PKR tidak buat serupa kata dengan janjinya untuk memegang kepada prinsip ketelusan, bersih, dan tidak rasuah,” katanya.

Apabila ditanya adakah Palanivel calon pilihan BN, Khir berkata terdapat beberapa nama lagi yang dipertimbangkan tetapi yang pasti calon BN adalah anak tempatan. Sekiranya, BN mengambil keputusan untuk mengekalkan Palanivel sebagai calonnya, PKR pasti akan mengeksploitasi bahawa setelah berkhidmat selama 17 tahun sebagai MP Hulu Selangor, timbalan presiden MIC itu gagal membawa perubahaan.

Sebaliknya, Hulu Selangor masih ketinggalan dari segi pembangunan dan perindustrian berbanding beberapa kawasan yang lain di Selangor. Sementara itu, ketua penerangan MIC Kamalanathan berkata pencalonan Zaid menambahkan lagi peluang MIC untuk merampas semula kerusi itu.

“Pembangkang mencalonkan Zaid dari Kelantan daripada anak tempatan kerana mereka akan memberi tumpuan kepada isu nasional. Kekuatan BN adalah calon kami. Kami mahu calon kami diterima penduduk tempatan dan juga di seluruh negara,” katanya.Beliau mendakwa Zaid akan melupakan Hulu Selangor sebaik sahaja jika dia memenangi pilihan raya itu.

“Calon kami akan berenang ataupun tenggelam bersama penduduk Hulu Selangor, sedangkan Zahid, jika menang akan pulang ke rumahnya dan mungkin tidak akan kembali,” katanya lagi dengan nada sinis.

Sebelum itu : Zaid Ibrahim calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor

Datuk Zaid Ibrahim hari ini dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Menurut sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Anwar Ibrahim pagi ini.“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi kepada wartawan di luar rumah ketua pembangkang di Segambut, Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata PKR menamakan Zaid kerana beliau dilihat sebagai calon berwibawa yang mampu mempertahankan kerusi Hulu Selangor itu. Zaid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.

Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini. Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan 25 April ini.BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Juragan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan