UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 3 April 2010

Pemimpin Gerakan, MCA, akhbar Cina dituntut mohon maaf!

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mahu dua pemimpin daripada Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) dan MCA serta dua lagi akhbar berbahasa Cina untuk memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam kerana melabelkan pertubuhan mereka sebagai rasis.

Ketua Wiranya, Arman Azha Abu Hanifah berkata, dua pemimpin tersebut ialah Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Teng Hock Nam dan Timbalan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Low Chew June serta akhbar Sin Chew Daily dan China Press.

Selain itu, katanya, Perkasa turut mendesak Hock Nam dan Chew June untuk memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana melabelkan ucapan beliau sebagai menjijikkan dan bersifat perkauman semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu.

"Saya ingin tegaskan bahawa Perkasa bukan pertubuhan rasis dan berhaluan kanan atau parti politik kerana ia ditubuhkan untuk mempertahankan perlembagaan negara yang melindungi hak keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Adakah salah sekiranya bekas Perdana Menteri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa mempertahankan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan?" soalnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Arman Azha berkata, sekiranya mereka tidak memohon maaf dalam tempoh yang diberikan, Perkasa akan mendesak pimpinan tertinggi parti Gerakan dan MCA untuk menggantung atau memecat dua pemimpin tersebut kerana menolak perlembagaan negara. Bukan itu sahaja, beliau berkata, Perkasa juga akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya dua akhbar berbahasa Cina itu tidak mengendahkan teguran tersebut.

"Sekiranya mereka menolak perjuangan Perkasa, secara tidak langsung ini bermakna mereka menolak perlembagaan negara. "Saya desak mereka untuk pergi ke kursus Biro Tata Negara (BTN) dan belajar mengenai perlembagaan negara sebelum menjadi pemimpin," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Gerakan dan MCA tidak seharusnya masuk campur dalam urusan Perkasa kerana mereka tidak pernah bersifat perkauman sebaliknya hanya memperjuangkan beberapa fasal yang terdapat dalam perlembagaan negara.

Beliau berkata, perbuatan menjulang keris semasa mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu baru-baru ini hanya merupakan sebahagian daripada budaya Melayu yang harus dipertahankan. Selain itu, katanya, sebarang dakwaan yang mengatakan pertubuhan tersebut 'berlawan arus' dengan gagasan 1Malaysia adalah tidak benar kerana konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri itu adalah berlandaskan kepada perlembagaan negara.

"Kita bukan ekstremis atau mencetuskan sebarang api perkauman tetapi kita mahu pelbagai parti politik tidak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang untuk sama-sama mendukung perlembagaan negara kerana ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia," katanya.

Juragan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan