UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 12 April 2010

Sultan: Jangan habis masa untuk berpolitik saja.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah tidak mahu ahli politik Selangor menghabiskan masa yang banyak dengan berpolitik sahaja tanpa mengira tempat tempat dan masa.

"Di dalam dewan ini, gunakanlah kesempatan yang terhad untuk membincangkan dasar-dasar yang baik dan janganlah berkelakuan yang tidak sepatutnya.

"Semua ahli dewan harus memberi contoh baik (mengenai) akal-budi kepada semua," titah baginda pada majlis perasmian pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 di Shaha Alam hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah sebagai ketua negeri, baginda ingin melihat Selangor terus berkembang maju dan kerajaan dapat menjalankan amanah kepada rakyat dengan cekap dan lancar.

"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa sistem semak dan imbang diperlukan bagi memastikan semua kepentingan dapat diteliti," titah baginda yang ingin melihat semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik.

Baginda bertitah, perlembagaan negara memberikan hak kepada semua pihak dan sifat perlembagaan sebenarnya untuk melindungi rakyat sama ada daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

"Justeru itu, fahamilah perlembagaan negara agar kita tidak berlebihan dalam usaha menuntut hak masing-masing," titah baginda.

Selaras dengan peruntukan perlembagaan, baginda bertitah penjawat awam wajib mengamalkan sikap neutral, profesional, prinsip kecemerlangan, etika yang unggul dan peka terhadap kerajaan yang memerintah serta mematuhi undang-undang negara.

Prinsip profesional dan berkecuali di sini bererti ia bertugas untuk kerajaan semasa yang memerintah dan membuat keputusan adil tanpa mengira sentimen politik, agama dan kaum," titah baginda.

Selangor adalah penyumbang utama kepada pendapatan negara dianggarkan sebanyak 21 peratus dan dalam hal ini kerajaan negeri dan persekutuan saling memerlukan, titah baginda.

"Beta berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dipereratkan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Selangor yang beta kasihi ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah dasar liberalisasi ekonomi di peringkat kerajaan persekutuan harus disambut sebagai cabaran menempatkan perkhidmatan bermutu demi faedah rakyat Selangor kerana ia penting supaya negeri ini tidak ketinggalan ketika pelaburan luar masuk dengan banyaknya.

Justeru, kerajaan Selangor harus memikirkan produk-produk pelancongan sama ada berbentuk alam sekitar yang asli atau lokasi buatan manusia, budaya-agama atau program-program berkala dengan tema-tema tertentu, titah baginda.

Baginda bertitah perkhidmatan pengangkutan awam dan khidmat pengguna yang berkesan amat diperlukan bagi menjayakan aspirasi ini yang akan memberi kesan positif untuk semua pihak sama ada negeri, penggerak industri perkhidmatan atau pelancongan.

Jentera kerajaan negeri juga perlu membuat anjakan paradigma untuk meningkatkan produktiviti kerja dan baginda menekankan petunjuk prestasi utama(KPI) dapat dikemas kini dan dipantau dengan rapi.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa baginda juga prihatin terhadap perkembangan jenayah di Selangor dan faham bahawa hal jenayah adalah isu yang kompleks dan tidak mudah diuruskan apatah lagi mencari kesalahan mana-mana pihak.

"Oleh sebab kerajaan persekutuan juga menyatakan komitmen mereka untuk memerangi jenayah, beta berharap kerajaan beta sedia memberikan kerjasama sewajarnya."Beta mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia Selangor atas segala usaha yang dilaksanakan bagi melindungi keselamatan rakyat di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah kepesatan pembangunan di Selangor terhasil daripada kejayaan rakyat mengekalkan keharmonian antara kaum dan ini tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama semua pihak dan baginda berkenan supaya keharmonian masyarakat majmuk di Selangor menjadi model nasional."

Beta percaya kita semua boleh memberi komitmen bahawa segala perbezaan antara kita merupakan suatu aset dan bukan punca perbalahan. Buangkanlah segala prejudis yang ada kerana apa juga cabaran yang bakal dihadapi tidak pernah mengenal warna dan keturunan," titah baginda.

Justeru, media massa perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat dengan memberikan laporan yang tepat dan berkualiti kepada rakyat kerana mereka memerlukan sumber maklumat yang tepat, berobjektif di samping mendidik dan membina pemikiran, titah baginda.

Juragan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan