UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 6 Oktober 2011

Jom Berubah bangun potensi belia!


Razali Ibrahim (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Budiman Mohd. Zohdi, Setiausaha Agung Majlis Belia Selangor, Datuk Irmuhizam Ibrahim dan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Mohd. Zaidi Aziz pada perasmian program Jom Berubah di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


STATISTIK pada 2007 menunjukkan golongan belia yang berumur dari 15 hingga 40 tahun di negara ini berjumlah 11.5 juta orang.

Ia menghampiri 45 paratus dari jumlah penduduk negara ini yang membuktikan mereka merupakan entiti yang perlu diberi perhatian. Tenaga belia pula menjadi sumber penting dalam pembangunan negara.

Malangnya bukan semua belia bernasib baik dan mempunyai taraf kehidupan yang selesa. Ramai masih lagi mencari-cari arah dan panduan untuk berjaya didalam hidup.

Kursus-kursus, program keusahawanan, motivasi dan peningkatan diri pula mengenakan kadar bayaran yang agak tinggi dan tidak ramai belia mampu menyertai kursus-kursus berkenaan.

Menyedari hakikat tersebut, sekelompok anak muda, aktivis belia dan belia professional mula berbincang bagi mencari jalan membantu golongan belia terbabit. Daripada beberapa sesi perbincangan dan cambah fikiran maka terhasillah program Jom Berubah khusus untuk golongan belia.

Wawasan program ini ialah mewujudkan 1,000 belia yang berjaya dan berdaya saing sebagai ejen transformasi masyarakat ke arah wawasan 2020. Melaluinya, golongan belia diajar mengenali diri, memahami persekitaran yang membantu selain menilai faktor-faktor boleh ubah ke arah kejayaan.

Akhirnya ia diharap dapat membantu mereka mencipta matlamat dan pelan tindakan yang dapat membantu belia ke arah kejayaan. Program Jom Berubah menggunakan gabungan pendidikan dan hiburan atau edutainment.

Ia banyak menggunakan alat bantuan latihan seperti LCD, Laptop dan sistem audio visual dalam menyampaikan mesej semasa program.

Menurut pengasas program ini yang juga Pengerusi Majlis Belia Selangor Daerah Sabak Bernam, Budiman Mohd. Zohdi, kaedah program Jom Berubah adalah berasaskan kuliah dan perkongsian pengalaman.

"Ketika menyertai program ini mereka akan mengikuti pratonton bahan audio visual selain disediakan buku aktiviti Jom Berubah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kaedah yang digunakan juga katanya, boleh maknfaatkan oleh para peserta yang sudah dilatih bagi membantu belia-belia lain.

"Setiap bahan program dan juga bahan bacaan boleh juga dimuat turun diblog:http://jom-berubah.blogspot.com," ujarnya.

Kata Budiman, Jom Berubah merupakan program transformasi remaja yang berusia dari 16 hingga 21 tahun.

"Penekanannya adalah kepada perubahan daripada sifat negatif kepada positif. Perubahan kepada sifat bertanggungjawab kepada pencipta, keluarga dan diri sendiri.

"Selain itu perubahan kepada remaja berperancangan dan berwawasan yang turut membawa kepada perubahan akhlak, moral dan jati diri," jelasnya.

Katanya, program itu dianjurkan oleh Sekretariat Jom Berubah, Majlis Belia Selangor (MBS) dengan kerjasama Belia 4B dan MAYC selain disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Program yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim pada 20 September lalu akan bermula pada 22 Oktober ini. Ia menyasarkan penyertaan kira-kira 2,000 belia dari seluruh Selangor.

Bagi belia yang berminat menyertai program ini boleh hubungi Sekretariat Jom Berubah di talian 03-8063 6562 dan 03-8051 2424

Mereka juga boleh menghubungi Budiman yang juga pengasas program ini di 013 341 8011 atau Azman Mat Isa 019319 4869 atau layari laman web http://www.jomberubah.com serta Facebook http://facebook.com/jomberubahmalaysia.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan