UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 26 Oktober 2011

Email dari pembaca : FAM tidak hargai peminat!


Ramai yang terkejut dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan Sabtu ini (29 Oktober 2011) kepada RM50 berbanding hanya RM30 kebiasaannya.

Keputusan yang paling mendukacitakan itu disambut dengan perasaan marah dan benci oleh penyokong, bukan sahaja dari kedua-dua negeri berkenaan tetapi juga negeri-negeri lain yang cintakan bola sepak negara.

Selain itu, ia juga telah membawa impak paling negatif dalam usaha memajukan sukan bola sepak negara yang masih terkapai-kapai mencari hala tujunya sendiri.

Saya hairan, mengapa peminat bola sepak menjadi mangsa keadaan ini kononnya kerana kos penganjuran di Stadium Shah Alam yang sangat teruk kualitinya itu, sedangkan FAM sudah tentu mempunyai jadual perlawanan Piala Malaysia sehingga ke akhir. Mengapa tidak di Bukit Jalil?

Jawapan kononnya Stadium Nasional Bukit Jalil sedang dibaikpulih menggambarkan FAM seperti ‘tidak tahu jadual sendiri’ sehingga akhirnya peminat dan penyokong bola sepak yang menjadi mangsa mereka.

Keputusan FAM bukan sahaja tidak membantu pembangunan bola sepak dengan memandang peranan penonton dengan sebelah mata, malah keputusan yang dibuat juga tidak langsung memikirkan beban rakyat Malaysia yang terpaksa berbelanja lebih bagi tujuan tersebut. Persatuan bola sepak negeri pula langsung tidak mahu ambil tahu apa yang ditanggung penyokong mereka, malah lepas tangan begitu sahaja.

Dan, jika benar seperti yang didakwa bahawa wakil Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan tidak menyuarakan bantahan dalam mesyuarat FAM berhubung harga tiket, ia sesungguhnya amat mendukacitakan.

Bagi saya, bagi menghargai penonton yang tidak mampu berbuat apa-apa dengan keputusan FAM, mereka sepatutnya mengambil inisiatif memberi subsidi tiket kepada penyokong negeri masing-masing dengan memotong bayaran hasil jualan tiket bagi negeri-negeri berkenaan. Sikap terlalu mementingkan kantung persatuan telah menyebabkan perkara tersebut tidak berlaku.

Kasihan saya melihat keluhan dan suara hati penyokong bola sepak Terengganu (kerana saya orang Terengganu dan saya percaya penyokong Negeri Sembilan juga sama) terpaksa berhadapan dengan pelbagai tekanan FAM dan sikap tidak peduli Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung isu tiket.

Kesediaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menaja separuh daripada harga tiket perlawanan akhir itu pasti tidak mendidik sesiapa, sama ada dalam PBSNT atau sebaliknya untuk menghargai penyokong Terengganu pada masa akan datang.

Harus diingat bahawa penyokong telah menjadi sebahagian nadi kekuatan sesebuah pasukan walaupun ia mungkin sebesar kuman di mata persatuan bola sepak.

Oleh itu, saya sangat berharap agar Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi perhatian terhadap hal ini agar bola sepak negara terus berkembang secara sihat pada masa datang.

AYOB MAMAT
Kuala Terengganu

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan