UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 11 Mei 2011

Saya malu dengan Anwar - Nalla!

Tindakan Anwar Ibrahim yang dikatakan memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pandi kutty bukan hanya menghina Perdana Menteri, bahkan turut melibatkan maruah ayahandanya yang cukup berjasa kepada negara.

Bekas rakan baik Anwar, Datuk S. Nallakarupan berkata, beliau selaku penganut agama Hindu dan berketurunan India juga cukup malu dengan perbuatan ketua pembangkang itu yang sentiasa menampilkan imej seorang Islam yang warak.

Katanya, tindak tanduk terbaharu Anwar itu menambah satu lagi koleksi petunjuk kepada keperibadian sebenarnya selepas terpalit dengan isu rakaman video seks yang mirip wajahnya dan pertuduhan liwat.

Anwar bagaimanapun menafikan gelaran itu beliau tujukan kepada Perdana Menteri tetapi adalah untuk menggambarkan mengenai tindakan UMNO sebagai sebuah parti.

"Sesiapapun boleh main wayang tetapi perkataan yang terkeluar secara spontan itu biasanya cerminan keperibadian sebenar dan dengan saya, Anwar jangan nak main wayang pula.

"Saya (orang) India, penganut Hindu pun malu nak menggunakan perkataan itu, sepatutnya orang Islam pun begitulah terutama yang boleh menjadi imam, membaca khutbah, memberi tazkirah dan berucap sambil menyelitkan ayat al-Quran macam Anwar.

"Tetapi bekas sahabat saya ini lain pula, nampak macam alim tetapi perkataannya tidak 'alim', yang dihina pula bukan sahaja Najib bahkan Tun Razak yang cukup berjasa, malah Anwar sendiri pun termakan jasanya itu," katanya di sini, semalam.

Anwar dalam satu ceramah kepada masyarakat India di Dewan Hamzah, Klang, Selangor Sabtu lalu didakwa menggunakan perkataan kesat dalam bahasa Tamil ke atas Perdana Menteri iaitu pandi kutty yang bermaksud anak babi dalam bahasa Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, Nallakarupan menyelar Anwar sebagai tidak wajar untuk memberi label sebegitu hina kepada Perdana Menteri sewaktu keperibadian beliau sendiri diragui masyarakat.

Katanya, perkataan hina itu lebih layak ditujukan kepada seseorang yang pengecut, bermuka-muka dan perosak keharmonian negara berbanding kepada seorang tokoh yang banyak berjasa.

"Jadi sekarang siapa pandi kutty? Dalam keributan politik negara, saya yakin rakyat boleh membuat tekaan yang tepat," katanya sinis.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan