UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 14 Mei 2011

Isyarat kepada Lee Kuan Yew!

KEBANGKITAN rakyat berlaku dengan derasnya dalam politik semasa di singapura.

Dari sudut matematiknya kemenangan enam kerusi oleh pembangkang dari Parti Pekerja berbanding 81 oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura bukan besar. Jurangnya pun sangat jauh untuk memaksa PAP menerima sistem dua parti atau berkongsi dengan pembangkang.

Tetapi dari sudut politik dan kebangkitan rakyat di peringkat global serta negara-negara sebelah sini, itu adalah petanda perubahan yang sangat besar. Gerombolan pendesak perubahan menonjol semasa berkempen hingga meletakkan PAP dalam kebimbangan. Suatu yang sangat penting daripada pilihan raya ini adalah isyarat rakyat menuntut perubahan sudah sampai kepada kerajaan. Malah pilihan raya kali ini adalah mercu tanda politik baru dalam sejarah moden Singapura.

Setelah PAP tergugat teruk dalam pilihan raya ini, semalam Menteri Mentor dan pengasas PAP, Lee Kuan Yew mengalah kepada suara rakyat dan mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan. Turut meletak jawatan ialah Menteri Kanan Goh Chok Tong. Ini merupakan kejayaan besar gerakan generasi muda yang menuntut perubahan.

PAP dianggap gergasi di Singapura. Sejak 1965 PAP tidak pernah rasa dicabar. Kalau di Mesir, Presiden Hosni Mubarak yang menjadi sekutu Amerika Syarikat (AS) pun boleh ditumbangkan oleh kebangkitan rakyat, apa luar biasanya Singapura? Dalam konteks ini, kemenangan enam kerusi oleh pembangkang bukan mustahil menggerakkan kebangkitan rakyat lebih besar hingga mengundurkan Lee Kuan Yew dari kabinet.

Keputusan pilihan raya umum Singapura ke 16 minggu lalu memperlihatkan kemaraan pembangkang yang luar biasa. Maka PAP berhak untuk merasa cemas dengan mercu tanda baru politik ini. Lee Kuan Yew pula tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya. Lalu secara tergesa-gesa dia menyalahkan generasi muda kononnya tidak menghargai jasa PAP membangunkan Singapura.

Siapa yang berjasa kepada siapa? Rakyat kepada parti pemerintah atau parti pemerintah kepada rakyat yang memilih mereka? Cara Lee Kuan Yew mengungkit jasanya kepada Singapura memperlihatkan kegagalan menguruskan tekanan kuat daripada pembangkang.

Inilah kali pertama Lee Kuan Yew berleter dan terkeluar tajuk. Kemajuan Singapura dianggap sebagai jasa yang mesti dibayar oleh rakyat kepada PAP. Seolah-olah setiap rakyat yang menikmati hasil pembangunan negara berhutang dengan PAP. Cara membayarnya ialah dengan terus memilih PAP, sekalipun dasar parti itu sudah lapuk dan kekayaan negara tidak sampai kepada rakyat.

Sebenarnya ini antara antara punca kebangkitan rakyat menuntut perubahan. Maka wajarlah apabila rakyat membalasnya dengan memberi kemenangan enam kerusi kepada pembangkang.

Tetapi ini adalah sikap biasa pemimpin di mana-mana negara sekali pun. Mereka selesa dengan kemenangan dan terlena dalam kegemilangan silam. Pemimpin-pemimpin PAP tidak terkecuali tetapi cepat dikejutkan oleh kemaraan pembangkang menjuarai masalah rakyat.

Tajam

Lee Kuan Yew seorang pemerhati politik yang tajam. Dia boleh membaca kedudukan pembangkang yang akan lebih hebat pada masa akan datang dan PAP tidak mampu menyekatnya. PAP tidak lagi sebuah parti pemerintah yang selesa setidak-tidaknya menghadapi pilihan raya akan datang.

Kalau dilihat daripada majoriti, antara enam dengan 81 adalah jurang yang sangat jauh. Tetapi ini menjadi penting kerana pencapaian dan kejayaan terbesar pembangkang berbanding tahun 1991 hanya empat kerusi dan 2006 hanya dua kerusi.

Pada pilihan raya umum kali ini, kemaraan pembangkang boleh dilihat apabila bertanding 82 daripada 87 kerusi. Sebenarnya angka-angka ini adalah petunjuk kebangkitan terbesar rakyat yang menolak dasar kerajaan PAP. Sebahagian besar daripada mereka pula adalah generasi muda yang terputus daripada nostalgia Singapura seperti yang dirasai oleh generasi Lee Kuan Yew.

Generasi muda inilah yang akan membentuk alam politik Singapura yang baru masa depan. Mereka menjadi petunjuk bentuk dan hala tuju pendemokrasian politik Singapura. Maka kebimbangan Lee Kuan Yew tentang masa depan PAP itu sangat berasas sama sekali. Ini kerana kesedaran politik generasi muda dibina oleh jaringan maklumat yang lebih luas berbanding generasi lama yang terbius oleh kegemilangan silam Lee Kuan Yew.

Kejayaan Parti Pekerja menumbangkan calon PAP yang juga bekas Menteri Luar, George Yeo pada pertandingan Perwakilan Kumpulan Kawasan (GRC) Aljunied adalah pukulan terbesar. Aljunied adalah kawasan selamat PAP. Tetapi kali ini menjadi kawasan panas dengan kebangkitan pengundi muda memainkan peranan dalam politik Singapura.

Demokrasi Singapura tidak lebih daripada mengundi. Tetapi tiada demokrasi untuk menuju hari mengundi. Demokrasi itu tidak wujud dalam erti kata sebenar apabila pembangkang akan “dibunuh” dengan pelbagai cara termasuk memperalatkan institusi kehakiman untuk memufliskan pembangkang. Sementara media arus perdana pula dikawal ketat oleh kerajaan dan tidak sedikit pun memberi laluan kepada pembangkang. Sebelum ini kaedah tersebut berjaya melemahkan pembangkang kerana tiada laluan untuk menyampaikan tawaran yang terbaik kepada rakyat. Sekarang pembangkang mempunyai banyak pilihan termasuk menggunakan kemudahan Internet.

Untuk menyekat pembangkang, PAP mewujudkan sistem yang dipanggil Perwakilan Kumpulan Kawasan pada 1988. Sistem ini memberi kelebihan kepada PAP untuk menang dalam sesuatu kawasan. Tetapi apabila kebangkitan rakyat berlaku dengan derasnya, sistem yang dibuat untuk memudahkan kemenangan PAP sudah tidak berperanan malah memakan diri.

Protes

Kemenangan mudah sejak 1965 menjadikan PAP leka dan selesa. Kerajaan meminggirkan kepentingan rakyat terbanyak dan suara protes tidak kedengaran di Parlimen. Kerajaan membuat dasar dengan sesuka hati untuk kepentingan pemimpin-pemimpin PAP. Semua ini memberi kesan secara langsung kepada rakyat seperti kenaikan harga rumah sebanyak 70 peratus sejak 2006, pembanjiran pekerja asing mencecah sejuta orang yang mengambil peluang pekerjaan warga tempatan, sistem pengangkutan yang tidak cekap, kenaikan sara hidup yang mendadak serta jurang kaya miskin yang semakin besar akibat acuan sistem ekonomi neoliberalisme. Dengan menggunakan teknologi maklumat dan jaringan sosial di Internet, generasi muda berjaya disatukan untuk melancarkan perang perubahan. Laman-laman sosial ternyata memberikan kesan hebat sekalipun media arus perdana menutup peluang kepada pembangkang.

Melihat kemunculan muka-muka baru dalam pembangkang, PAP juga mengemukakan banyak calon-calon muda kalangan profesional untuk mengimbangi populariti pembangkang. Masalahnya bukan sahaja soal calon tetapi dasar PAP. Tukar calon tetapi dasarnya sama tentu tidak akan ada perubahan. Meremajakan PAP tidak berhasil kecuali mengubah dasar supaya peka kepada masalah rakyat.

Modal kempen PAP ialah pencapaian cemerlang Singapura sebagai negara bebas rasuah, peningkatan 14.4 peratus ekonomi selepas kegawatan 2009. Tetapi Perdana Menteri Lee Hsien Loong terpaksa menerima kenyataan apabila berkata, “Kami mendengar suara anda” merujuk sokongan hebat rakyat kepada pembangkang. Dia juga secara terbuka memohon maaf kerana kerajaan pimpinannya tidak peka dengan permasalahan rakyat. Setidak-tidaknya dia seorang pemimpin yang bertanggungjawab kerana mengakui kelemahan dasar-dasarnya. Hanya Lee Kuan Yew yang gagal melihat sosiopolitik semasa Singapura dari sudut pandangan generasi baru yang lebih terbuka.-UM.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan