UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 17 Mei 2011

E-mail dari pembaca : Pelancongan di Selangor malap!

Sesungguhnya apa yang dilakukan kerajaan negeri Melaka dalam menyediakan pusat tarikan pelancongan adalah sesuatu yang amat membanggakan. Buktinya, dua kilometer dari tol Ayer Keroh telah berbaris rapi kenderaan berensot-ensot perlahan untuk memasuki negeri itu.

Begitu banyaknya kenderaan membawa pelancong yang ingin ke Melaka, sama ada dari dalam negeri, luar negeri Melaka, malah luar negara. Apatah lagi cogan katanya 'Melawat Melaka bermakna melawat Malaysia'.

Begitulah kemajuan dicapai yang digarap daripada pelbagai aspek oleh kerajaan negeri, khususnya dalam sektor pelancongan. Perniagaan berhubung kait dengan pelancongan juga berkembang, sama ada sektor perhotelan, pusat membeli-belah ataupun perniagaan kecil-kecilan seperti warung makan, restoran, homestay dan sebagainya. Kesemuanya tumbuh berkembang untuk menampung keperluan semasa.

Terungkap dari mulut seorang suri rumah warga Melaka; "Itulah Melaka dah maju. Orang kecil macam kita ini pun merasa tempiasnya." Ungkapan ini membawa erti yang sangat dalam.

Begitulah cetusan idea demi idea berjaya dikemas kini dengan usaha padu kerajaan negeri Melaka sehingga berjaya membuahkan hasil amat baik. Sampai ada yang berkata; "Kalau kampung di Melaka, jangan balik waktu musim sekolah. Melaka sesak!" Betapa hebatnya!

Saya orang Selangor yang bangga dengan kejayaan dan kemajuan Melaka. Ini menyebabkan saya mula melihat ke negeri saya sendiri dan nyata ia menimbulkan satu kesedihan.

Negeri sendiri gagal memanfaatkan kawasan-kawasan peranginan dan pelancongan yang dari dulu sebenarnya amat berpotensi. Tetapi ia kekal di takuk lama dan tidak dimajukan, malah boleh dikatakan terbiar. Ini merupakan satu kerugian amat besar.

Pada suatu ketika dahulu sebagai contohnya, Taman Rimba Templer yang kaya dengan khazanah alam, meriah dengan aktiviti-aktiviti rekreasi sama ada daripada penduduk sekitar mahupun pelancong-pelancong kulit putih yang datang menikmati keindahan alam sekitar. Tapi kini keadaan sudah berubah. Ia tidak lagi menjadi tumpuan rekreasi walaupun kepada penduduk setempat. Kenapa?

Taman ini terbiar, tidak dijaga dan tiada usaha untuk memajukannya. Tidak salah kalau dikatakan hidup segan mati tak mahu. Tiada lagi pelancong luar negara yang datang seperti satu ketika dahulu dan penduduk sekitar pun jarang-jarang sekali. Apatah lagi kini ada pula tempat yang dikenakan bayaran masuk. Kawasan tidak dimajukan tetapi bayaran dikenakan. Ini hanya akan membunuh kawasan tersebut.

Bukit Melawati di Kuala Selangor yang kaya dengan sejarahnya tidak dapat dimanfaatkan dan gagal memberikan apa-apa kesan. Apa ada di pantai Morib? Kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, juga boleh pergi lebih jauh lagi.

Ini semua hanyalah sebahagian contoh yang saya nyatakan. Ada banyak lagi. Kawasan-kawasan ini mesti diberi nafas baru dan dipenuhi dengan sesuatu yang boleh meninggalkan impak besar dan berkesan kepada pelancong untuk kembali.

Di mana silapnya? Rakyat benar-benar inginkan pemimpin yang dapat memanfaatkan segala kekayaan Selangor dengan sebaiknya supaya anak negeri juga terasa tempiasnya, bak kata warga Melaka itu tadi.

Walaupun Melaka dikatakan kaya dengan sejarahnya tetapi apa kurangnya Selangor? Malahan ada kelebihan yang tidak dapat ditandingi oleh Melaka iaitu keluasannya dan keindahan alam semula jadinya. Inilah kekuatannya.

Apa yang perlu sekarang ialah mencari pemimpin-pemimpin berwawasan, kreatif, bijak dan mampu memberikan pemikiran, hati dan tenaga untuk kemajuan Selangor, serta dapat memberi tempias besar kepada warganya.

DR. DAHLIA DAHNIL
Bandar Baru Selayang, Selangor.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan