UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 26 Mei 2011

Pertarungan sengit pemilihan Pas!

Sudah sah kini pemilihan Pas minggu depan bakal menyaksikan pertarungan sengit bagi dua jawatan iaitu Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Bagi jawatan Timbalan Presiden, ia bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dengan dua pencabarnya iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Ketika ini gerak gempur semakin hebat dijalankan oleh pihak-pihak tertentu dalam Pas bagi memastikan kemenangan Tuan Ibrahim dan sekali gus menyingkirkan Nasharudin yang memegang jawatan itu pada tahun 2005.

Pelbagai hujah dikeluarkan bagi menarik perhatian perwakilan kenapa Tuan Ibrahim perlu dipilih, ia termasuklah atas alasan ulama tersebut adalah wakil dari Pahang - satu lagi negeri yang menjadi sasaran Pas untuk ditawan.

Pada pandangan mereka melalui pemilihan Tuan Ibrahim ia akan memberikan imej yang baik kepada Pas dalam usaha parti itu menarik sokongan di kalangan peneroka Felda di Pahang.

Berikutan semakin banyak pihak yang bercakap mengenai penyertaan Tuan Ibrahim dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden kali ini, Pesuruhjaya Pas Pahang itu sekelip mata dilihat sebagai calon paling popular.

Namun begitu pemerhati politik Pas berpendapat, cabaran daripada Nasharudin tidak boleh dipandang ringan, ia memandangkan sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa beliau mempunyai aura tersendiri bagi mencapai kemenangan.

Nasharudin diangkat sebagai Timbalan Presiden bukanlah melalui cara mudah tetapi terpaksa mengharungi pertarungan setiap kali pemilihan berlangsung. Pada tahun 2005, beliau menewaskan Allahyarham Datuk Hassan Shukri, diikuti pada tahun 2007 mengalahkan Datuk Harun Taib.

Pada 2009, Nasharudin menempuh pertarungan sengit apabila berhadapan dengan dua pemimpin yang dikatakan 'cukup ampuh' dalam Pas iaitu Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa.

Tetapi dalam pertarungan itu, Nasharudin berjaya mempertahankan kedudukannya, namun kumpulan pro Anwar Ibrahim mempertikaikan sokongan yang diterima oleh Nasharudin.

Mereka berhujah kononnya Nasharudin sudah tidak lagi diterima oleh ahli-ahli Pas memandangkan beliau hanya menguasai sekitar 40 peratus undi sahaja berbanding Mohamad Sabu dan Husam yang menguasai 60 peratus undi.

Namun apa yang sebenar tersirat ialah mereka melihat Nasharudin sebagai penghalang kepada agenda politik mereka memandangkan Nasharudin tidak ghairah membuat kenyataan berasaskan pertimbangan politik semata-mata.

''Sikap Nasharudin inilah yang tidak menyenangkan sesetengah pihak dalam Pas terutamanya kumpulan yang begitu 'mengiblatkan' kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta menyanjungi Anwar,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.

Apatah lagi seperti juga Tuan Ibrahim, Nasharudin dilihat mengambil pendekatan berhemah dalam berpolitik dan mengutamakan perundingan.

''Semua ini tidak disukai oleh kumpulan pro Anwar kerana mereka mahu pemimpin Pas bersikap keras dalam berpolitik terutamanya apabila berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO," kata pemimpin Pas tersebut yang menyokong kumpulan ulama.

Sebab itulah, golongan pro ulama terlalu ghairah ingin melihat Tuan Ibrahim menggantikan Nasharudin tetapi tidak harus mengetepikan satu fakta penting iaitu undi kumpulan pro ulama akan berpecah.

Perkembangan ini sudah tentulah tidak akan menguntungkan kumpulan pro ulama kerana jika mereka tidak berhati-hati maka nasib mereka ibarat 'menang sorak kampung tergadai, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Malahan keghairahan mereka juga boleh membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan pro Anwar menguasai Pas. Kumpulan pro ulama tidak harus 'khayal' dengan dendangan lagu puak pro Anwar bahawa Pas memerlukan pemimpin yang berjiwa pejuang dan keras.

Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, pendekatan berhemah seperti mana diamalkan oleh Nasharudin selama ini perlu terus dijadikan sandaran. Apatah lagi Nasharudin dikatakan memiliki pakej yang lengkap untuk mengambil kepimpinan Pas satu masa nanti.

Oleh itu adakah wajar hanya kerana beliau tidak sebulu dengan kumpulan pro Anwar dalam Pas, beliau perlu disingkirkan? Dalam membuat keputusan, perwakilan juga tidak harus terjebak dengan mainan politik puak pro Anwar yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperkukuhkan cengkaman mereka pada pemilihan kali ini.

Seperkara lagi kumpulan pro ulama perlu faham, pengaruh mereka juga semakin terancam bagi posisi Naib Presiden apabila setakat ini hanya dua ulama sahaja yang akan bertanding iaitu Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad dan Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah.

Calon-calon lain mewakili kumpulan profesional dan ada antaranya pro Anwar. Selain Idris dan Mohd. Amar, turut mengesahkan akan bertanding ialah dua penyandang jawatan iaitu Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Mereka akan disertai oleh Husam dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin. Persoalannya, siapa yang akan menjadi pilihan perwakilan? Setakat ini Salahudin dilihat berpeluang cerah untuk mengekalkan kedudukannya berikutan corak politik yang diamalkan oleh beliau.

Sikap beliau yang tidak mencipta musuh dalam berpolitik telah memungkinkan Salahudin dilihat tidak mempunyai alasan untuk ditolak. Apa yang menjadi perhatian ialah sejauh manakah Idris dan Mohd. Amar akan mampu menarik perhatian perwakilan untuk mengundi mereka sebagai naib presiden.

Pada tahun 2009, perwakilan membuat keputusan meletakkan seorang ulama dan dua profesional bagi jawatan tersebut. Persoalannya, apakah kali ini trend berkenaan akan kekal atau ketiga-tiga kerusi akan dikuasai oleh golongan profesional.

Apa pun keadaannya, perwakilan mempunyai sekurang-kurangnya seminggu untuk membuat penilaian, dalam tempoh itu mereka perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum mengundi. Penilaian utama yang harus diambil kira ialah sejauh manakah pemimpin yang bakal mereka pilih akan memastikan kedudukan ulama dalam Pas tidak diganggu gugat.

Perwakilan juga perlu mengelak Pas menjadi 'kuda tunggangan' kepada survival politik mana-mana parti mahupun individu termasuklah di kalangan pemimpin Pas sendiri yang berharap pemilihan kali ini sebagai platform untuk menonjol diri demi memperkukuhkan kembali kedudukan di peringkat pusat mahupun negeri.-UM.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan