UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 3 Januari 2011

Siapa dalang tentang pelantikan?


TINDAKAN Kerajaan Negeri Selangor mempolemikkan pelantikan Setiuasaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan para Exco daripada Pakatan Rakyat tidak boleh membezakan antara tanggungjawab profesional dan politik dalam pentadbiran negeri.

Pelantikan Datuk Mohd. Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru oleh Ketua Setiausaha Negara dan mendapat perkenan Sultan Selangor bukan sahaja mematuhi kehendak peraturan dan undang-undang, malah sangat tepat pemilihannya.

Khusrin bukan sahaja berpengalaman sebagai pentadbir di Selangor malah mempunyai peribadi yang baik sebagai seorang Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Khusrin bukan seorang pegawai muda yang datang dengan tiba-tiba ke dalam pentadbiran negeri Selangor. Sebaliknya beliau merupakan orang lama yang sudah berumur lebih 50 tahun. Justeru daripada segi kelayakan, kekanan jawatan dan pengalaman, Khusrin adalah layak dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjawat jawatan SUK.

Kita juga tidak pernah mendengar penyelewengan, rasuah, kaki perempuan atau kaki botol, dilekatkan kepada imej Khusrin. Beliau mungkin mempunyai imej agama yang sedikit keras. Namun ini kerana beliau merupakan pentadbir yang mentadbir mengikut undang-undang dan peraturan yang dibuat oleh ahli politik dan majlis fatwa. Daripada segi peribadi dan kemampuan kerja, perlantikan beliau tidak mungkin dapat dipertikaikan.

Justeru mengapa Kerajaan Negeri enggan menerima Khusrin? Berbanding beberapa calon yang khabarnya disenaraikan oleh Kerajaan Negeri, Khusrin jauh lebih baik dan tidak terpalit sebarang imej buruk.

Kerajaan negeri mendakwa Khusrin adalah alat politik Barisan Nasional. Apakah bukti dan faktanya? Apakah kerana ia tidak meluluskan tauliah penceramah kepada seorang ahli Parlimen Pakatan di Selangor? Atau kerana beliau tidak membenarkan wang zakat dijadikan sebahagian perbelanjaan negeri seperti cadangan Menteri Besar Selangor dua tahun lalu?

Jika dikira campur tangan politik, maka tindakan kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa pemilihan SUK yang diketuai oleh Datuk Teng Chang Kim dan dianggotai oleh wakil rakyat Pakatan merupakan satu bukti jelas campur tangan politik dalam isu ini. Mengapa pula wakil rakyat Pakatan dibenarkan campur tangan dalam perlantikan pegawai kerajaan? Apakah ini akan memudahkan ahli politik memeras ugut pegawai kerajaan yang tidak memenuhi kehendak mereka?

Dengan mempersoalkan kedudukan politik Khusrin, Khalid Ibrahim menunjukkan hakikat bahawa beliau ingin menukar pentadbiran negeri menjadi pentadbiran parti. Beliau tidak perlukan seorang ahli parti Pakatan yang setia sebagai SUK sekiranya beliau tidak berniat menggunakan kerajaan negeri sebagai alat politik partinya.

Jika beliau mentadbir negeri Selangor sebagai sebuah kerajaan tentulah beliau tidak akan mempersoalkan isu politik dalam pelantikan Khusrin. Jika terbukti Khusrin tidak menjalankan tugas dengan baik atau bertindak bertentangan dengan Peraturan Am kakitangan awam, beliau boleh mengambil tindakan pada masa akan datang. Tetapi menentang terlebih awal atas alasan Khusrin alat politik BN menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran negeri Selangor.

Apakah Pakatan mahu menyatakan bahawa tidak layak seseorang pegawai kanan mempunyai kecenderungan politik yang berlainan daripada parti pemerintah?

Ini perlu dijelaskan segera oleh Pakatan kerana jika mereka bersetuju, Barisan Nasional juga boleh menyingkirkan ramai pegawai kanan kerajaan yang yang menyokong dan menjadi ahli parti mereka.

Sepanjang menjadi Pengarah JAIS, Khusrin hanya melaksanakan peraturan dan pentadbiran beliau dengan begitu baik sekali di bawah naungan Sultan Selangor. Beliau tidak pernah tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak, baik UMNO mahu pun Pas, apatah lagi PKR dan DAP.

Jika sesiapa masih ingat, JAIS di bawah Khusrin juga tidak memberi kebenaran kepada UMNO Petaling Jaya Selatan mengadakan program bersama Perdana Menteri di Petaling Jaya bulan Ramadhan lalu. Program tersebut hanya dilaksanakan kemudiannya apabila ia dibuat atas nama badan bukan kerajaan dan jabatan kerajaan.

Sultan Selangor sudah pasti maklum kebolehan Khusrin dan atas sebab itulah baginda memperkenankan perlantikan ini. Baginda pasti tahu bahawa Khusrin seseorang yang boleh diharap mempertahankan integeriti pentadbiran negeri Selangor seperti mana Datuk Ramli Mahmud sebelum ini.

Sebagai rakyat biasa, saya tertanya-tanya siapakah yang benar-benar menetang keras pelantikan Khusrin ini? Pas, PKR atau DAP? Cakap-cakap di bawah menyatakan Khusrin dibantah bukan kerana sama ada beliau UMNO atau bukan. Sebaliknya Khusrin dilihat mewakili penjawat awam yang ada latar belakang Islam yang kuat dan ini tidak digemari oleh DAP.

Yang anehnya, DAP tidak bersetuju tetapi beberapa wakil rakyat Melayu dan Islam yang berlaku kurang ajar terhadap Sultan Selangor. Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) kawasan Sri Muda terhadap baginda menunjukkan betapa mudahnya orang Melayu dan Islam dipergunakan oleh DAP bagi memenuhi agenda mereka.

ADUN Sri Muda yang bukan anak Selangor, mencari rezeki di Selangor dan kemudiannya menjadi wakil rakyat di Selangor sanggup tampil ke hadapan memperkecil dan mencabar Sultan Selangor. Manusia Islam dan Melayu jenis apakah wakil rakyat ini dan kawan-kawannya yang lain?

Hanya kerana pelantikan seorang pegawai kerajaan mereka mahu 'berperang' dengan Sultan Selangor? Nasib baiklah syarat perlantikan SUK memerlukan seseorang itu Islam dan Melayu. Jika tidak orang seperti ADUN Sri Muda sanggup menggadaikan apa sahaja asalkan 'tuan politiknya' bernama DAP senang hati dan gembira.

Pakatan harus menjelaskan kepada umum ke mana menghilanngnya slogan ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban kerajaan yang mereka perjuangkan selama ini. Jika mereka telus, bertanggungjawab dan terbuka tentulah mereka tidak takut siapa pun menjadi SUK kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

Ab Jalil Backer

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan