UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 28 Januari 2011

Jahiliah bukti Pas seleweng agama demi politik!


'Fatwa' terbaru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong Pas sebagai jahiliah satu lagi bukti penyelewengan agama Islam oleh Mursyidul Am parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan agama Islam demi kepentingan politik meskipun mereka sedar 'harga' yang terpaksa dibayar daripada perbuatan tersebut iaitu menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Sambil menyuarakan perasaan tersinggung dengan kenyataan itu, beliau berkata, Nik Abdul Aziz yang diangkat sebagai 'tok guru' oleh penyokong Pas telah menganggap seluruh pengundi di Tenang sebagai golongan yang bodoh kerana jelas perkataan jahil itu bermaksud bodoh.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh umat Islam terutamanya pengundi Melayu di Tenang supaya mengambil iktibar daripada tindakan Menteri Besar Kelantan tersebut kerana Pas akan mengeluarkan pelbagai 'fatwa' songsang jika terdesak.

"Ini 'fatwa' yang songsang. Ia satu lagi bukti penyelewengan hukum agama oleh Nik Abdul Aziz dan label jahiliah ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang dikatakan Mursyidul Am yang dipanggil sebagai 'tok guru'.

"Sebagai seorang Islam, kita taat pada tuntutan agama, apakah seluruh pengundi yang berada di Tenang ini jahil? Kalau ikut tafsiran Nik Abdul Aziz, kita semua ini hidup dalam zaman jahiliahlah. Kita semua ini golongan manusia yang bodoh kerana jahil itu bermaksud bodoh," katanya.

Beliau diminta mengulas 'fatwa' Mursyidul Am Pas itu yang menyifatkan orang ramai yang tidak mengundi Pas sebagai jahiliah pada sidang akhbar baru-baru ini selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen di Kampung Radong, di sini.

Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas merasmikan Program Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Kamarul Ariffin di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz dipetik sebagai berkata: "Kalau nak kekal jahiliah apa boleh buat. Sekarang ada dua... Ada jahiliah, ada Islam... tolak jahiliah ambil Islam, itu yang betul dunia akhirat."

Ditanya pandangannya sama ada Menteri Besar Kelantan itu wajar mengundurkan diri dengan segera sebelum lebih banyak perpecahan berlaku dalam umat Islam, Muhyiddin berkata, perkara tersebut terserah kepada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Kalau dia fikir masih lagi boleh memberi pandangan yang songsang tidak mengapalah. Yang penting kita jangan terpengaruh kerana kenyataan beliau lebih bersifat politik daripada agama," katanya.

Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) untuk meraih majoriti 5,000 undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat yang semakin meningkat.

Menurutnya, keyakinan itu kini semakin meningkat selepas ramai pemimpin masyarakat di Tenang tampil memberi kenyataan bahawa mereka akan memberi sokongan padu kepada calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim pada hari pembuangan undi Ahad ini.

Bagaimanapun, katanya, jentera BN tidak boleh terlalu yakin kerana masih ada masa lagi untuk semua pihak berusaha keras bagi meraih seramai mungkin sokongan rakyat.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan