UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 20 Januari 2011

BN hadir tetapi tolak cadangan pinda!

NOH Omar (dua dari kanan) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor dan ADUN Barisan Nasional di Bangunan UMNO Selangor, di Shah Alam, semalam.

Barisan Nasional (BN) Selangor memutuskan menolak langkah Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 bagi memberikan kuasa kepada Menteri Besar melantik tiga pegawai eksekutif negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pendirian itu dibuat hasil daripada mesyuarat melibatkan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan seorang ADUN Bebas, di sini, hari ini.

Katanya, walaupun kesemua ADUN BN akan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan khas untuk tujuan itu, pada Isnin ini ia tidak bermakna mereka menyokong pindaan berkenaan.

Pendirian BN itu tegas Noh disebabkan, pindaan berkenaan hakikatnya bagi membolehkan Menteri Besar mempunyai kuasa melantik SUK termasuklah kuasa menasihati Sultan Selangor.

“Pindaan ini dibuat kerana Menteri Besar tidak ada kuasa dalam melantik SUK. Sebenarnya Menteri Besar bukan mahu memberikan kuasa kepada Sultan Selangor, tetapi dia mahukan kuasa dalam keputusan yang dibuat oleh baginda melalui ‘nasihat daripada Menteri Besar’.

“Malah, pindaan ini juga kita dapati merupakan satu kerja yang sia-sia dan tidak memberi manfaat kepada rakyat kerana peruntukan perlembagaan negeri sedia ada dalam pelantikan SUK tidak membelakangkan kuasa Sultan Selangor.

“Kita akan hadir dalam sidang DUN nanti kerana Sultan Selangor telah memperkenan dewan ini bersidang mengikut bidang kuasa baginda. Tetapi, perkenan baginda mengadakan sidang itu tidak bermakna baginda setuju dengan pindaan perlembagaan negeri, ia terpulang kepada dewan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN Selangor tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman.

Dalam mesyuarat itu, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor turut mengumumkan pelantikan ADUN Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun sebagai Timbalan Ketua Pembangkang negeri.

Dalam pada itu, Noh turut menyatakan bahawa pindaan yang mahu dilakukan oleh kerajaan negeri itu juga sebenarnya tidak logik.

Ini kerana katanya, cadangan pindaan itu sebenarnya berpunca daripada keengganan Menteri Besar menerima Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK meskipun telah diperkenankan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.

Malah, pindaan itu juga dilihat turut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana pelantikan SUK Selangor adalah sama seperti diamalkan di negeri-negeri Melayu bersekutu.

Pada masa yang sama, Noh turut menyelar sikap kerajaan negeri yang tidak telus meminda perlembagaan negeri kerana sehingga kini tiada sebarang draf pindaan itu diberikan kepada ADUN BN.

Katanya, Ketua Pembangkang negeri (Mohamad Satim) telah mengemukakan surat kepada Setiausaha DUN, pada Isnin lalu tetapi tidak sebarang mendapat maklum balas sehingga ke hari ini.

“Di mana ketelusan kerajaan negeri, mereka kata nak pinda perlembagaan negeri atas dasar kepentingan umum. Sepatutnya mereka berikan draf pindaan lebih awal untuk kita teliti dan bahaskan di dalam sidang DUN.

“Namun hingga ke hari ini tidak diberikan seolah-olah kerajaan negeri mahu ‘menyerang hendap’ ADUN BN pada sidang dewan itu nanti,” ujarnya.

Kenyataan Penuh UMNO Selangor

AHLI-AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Negeri Selangor menjunjung perkenan ke bawah Duli Tuanku Sultan Selangor di atas pemahsyuran baginda mengenai persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri pada 24 haribulan Januari 2011 nanti.

Sebagai hamba rakyat, ADUN Barisan Nasional akan hadir demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.

Kami sependapat Menteri Besar Selangor, Y.A.B. Tan Sri Khalid Ibrahim seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak cuba mempolitikkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y.Bhg. Dato’ Mohd. Khusrin Munawi ke tahap ini.

Kami khuatir bahawa ianya akan menjadi tindakan sia-sia yang akan menjejaskan urusan kerajaan dan ini tidak mendatangkan faedah kepada rakyat Selangor amnya. Sebaliknya hanya menjaga ego sorang Menteri Besar.

Kami merasakan tujuan beliau ialah hanya untuk memperkasakan (empower) beliau sebagai Menteri Besar dan bukan untuk tujuan yang lain.

Dalam pada itu kami, selaras dengan Perintah Tetap 48, Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor menuntut Speaker DUN atau Menteri Besar Selangor menyerahkan kepada kami kertas langkap deraf cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Selangor bagi membolehkan kami mengambil bahagian dalam sesi perbahasan. Kami menganggap tindakan kerajaan negeri untuk hanya membekalkan kepada kami deraf cadangan ini pada hari terakhir ataupun pada hari persidangan dewan itu diadakan sebagai taktik ‘“’serang hendap’.

Kami berpendapat gesaan ini adalah amat wajar memandangkan persidangan tergempar ini bukanlah satu persidangan yang biasa diadakan, Malahan ianya tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana suatu persidangan perlu diadakan dalam keadaan tergesa-gesa dan terburu-buru apatah lagi ianya melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Negeri Selangor.

Malangnya hingga ke hari ini tidak seorangpun ADUN Barisan Nasional telah diberikan deraf lengkap pindaan perlembagaan itu kecuali apa yang telah dilaporkan oleh media massa mengenai cadangan pindaan kepada Artikel 52(1).

Kami merasakan cadangan pindaan ini sebagai bertentangan dan ‘ultra vires’ kepada Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 74 Jadual ke 9 senarai negeri.

DATUK SERI NOH OMAR
Timbalan Pengerusi,
Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan