UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 13 Januari 2011

Isu SUK : 'Sidang DUN Selangor tidak boleh pakai'!

Sebarang keputusan yang dicapai melalui sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 24 Januari ini tidak boleh diterima pakai memandangkan ia perlu mendapat majoriti dua pertiga Dewan.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Irmohizam Ibrahim ( gambar ) berkata, tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jelas menunjukkan adanya percanggahan undang-undang di peringkat negeri dan persekutuan.

Katanya, tidak ada tujuan lain dapat digambarkan daripada tindakan terburu-buru tersebut melainkan hanya bermotifkan politik sehingga menimbulkan curiga di kalangan rakyat.

"Apakah motif sebenar mereka? Adakah benar-benar memastikan konsep raja berperlembagaan dilaksanakan atau mengubah sistem pentadbiran kerajaan kepada sistem kerajaan monarki?

"Rakyat boleh menilai sendiri sikap derhaka mereka terhadap titah perkenan tuanku apabila mereka menyalahi perlembagaan persekutuan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, walaupun sudah jelas sebarang sidang DUN tidak boleh diadakan tanpa perkenan sultan, namun mereka tetap mahu 'menghalalkan' apa sahaja cara bagi mencapai matlamat.

Katanya, tindakan tersebut merupakan satu cubaan meminda perlembagaan mengikut cita rasa mereka sendiri sekali gus boleh meruntuhkan negara.

"Sekiranya sidang itu diteruskan, ia bakal memberi implikasi yang lebih besar iaitu membuka ruang kepada pertikaian terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Disebabkan faktor politik keperibadian menguasai segala-galanya, mereka tetap mahu mencipta modul perlembagaan mereka sendiri walaupun perlembagaan sedia ada terbukti tidak mengabaikan semua kaum negara ini," katanya.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian, tindakan tersebut hanya merupakan satu provokasi bagi mengalih perhatian rakyat.

"Saya lihat mereka cuba mengalih perhatian rakyat terhadap prestasi tidak baik mereka termasuk kemelut dalaman parti itu.

"Mereka juga mahu mendapat sokongan yang sudah terhakis walaupun tindakan itu boleh mengeruhkan hubungan antara pihak istana, kerajaan negeri dan persekutuan," katanya.

Sidang tergempar DUN tersebut dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membolehkan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Ia ekoran kemelut pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru berkuat kuasa 1 Januari lalu tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Pelantikan itu didakwa membelakangkan kerajaan negeri dalam membuat pemilihan calon yang layak meskipun pelantikan Mohammed Khusrin mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan