UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 20 Disember 2010

Apakah bahang PRU 13 semakin hampir?

Kalau dikatakan penggantungan empat wakil pakatan pembangkang di Parlimen Khamis lepas dikatakan akan membolehkan Barisan Nasional (BN) meraih majoriti dua pertiga, si empunya badan yang digantung, Karpal Singh semalam pun menyangkalnya bahawa di sebalik penggantungan itu, parti pemerintah masih tidak mempunyai majoriti sedemikian - syarat yang diperlukan sebelum perlembagaan boleh dipinda termasuk untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Mengikut peraturan Dewan pun, majoriti dua pertiga bermakna dua pertiga daripada semua 222 Ahli Parlimen dan bukannya mereka yang tidak mengundi pada masa itu. Itu tidak boleh diubah.

Namun jika diambil kira fakta, trend pendaftaran pengundi ketika ini mungkin boleh menguatkan lagi bahang PRU Ke-13 yang kian terasa.

Rekod terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikeluarkan mencatatkan sebanyak 177,857 permohonan pengundi baru telah didaftarkan bagi tempoh Julai hingga 30 September lalu. Ia mengikut Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Ketiga 2010 yang diwartakan semalam.

DPT itu mengandungi 205,183 pemilih termasuk 27,326 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi. Dengan pewartaan itu, jumlah keseluruhan pemilih berdaftar pada masa ini adalah 11.53 juta orang.

Justeru, apakah tempoh sesuai untuk negara menghadapi PRU ke-13? Pilihan raya umum serentak dengan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Julai 2011 atau 'melepaskan' dahulu Sarawak?

Bagi penganalisis politik, Noor Sulastri Yur ni Ahmad, tempoh paling sesuai sekiranya parti pemerintah hendak mencapai kemenangan dengan majoriti mudah adalah pada akhir tahun depan atau awal 2012.

"Lebih bagus jika PRU Ke-13 dapat di adakan dalam tempoh yang lebih dekat dari sekarang. Dengan kata lain, lebih cepat lebih baik," kata Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya itu kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, jika PRU Ke-13 diadakan lebih lewat, ia akan menjadi satu tempoh yang bahaya, misalnya selepas pertengahan tahun 2012 hingga mandat berakhir pada April 2013.

"Ini kerana kita lihat pakatan pembang kang yang dianggotai DAP, Pas dan PKR begitu agresif mengumpul penyokong dan pada waktu yang sama, mereka juga agresif menyerang kerajaan.

"Mereka bukan nak fikir sangat soal rakyat tetapi yang paling utama adalah hendak menang dan perintah Malaysia.

"Saya percaya kalau BN tak baca signal ini, dikhuatiri BN akan tergolek," ujarnya.

Menurutnya, jika mahu juga diadakan pilihan raya serentak iaitu PRU Ke-13 dan pilihan raya Sarawak, maka ia perlu diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Katanya, ia juga bermaksud BN kena kerja lebih keras sebab pembangkang sekarang bekerja pada tahap triple.

DAP kini dikatakan parti yang paling aktif dalam membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan pengundi baru yang melepasi umur 21 tahun sejak PRU 12 2008. Ia diikuti oleh Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala yang paling lembap adalah MIC dan Gerakan.

Rekod SPR itu berdasarkan komitmen dan kerjasama positif parti-parti politik menerusi Penolong Pendaftar Sementara (PPS) mereka dalam menarik hampir empat juta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

"PPS dari DAP mengatasi parti-parti lain di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Melaka. Daripada kutipan data pemilih baru sejak PRU12, SPR mendapati kesedaran kaum Cina sebagai pengundi pilihan raya adalah yang paling tinggi sementara terendah adalah kaum India.

Menurut Noor Sulastri, signal atau isyarat yang dibangkitkan beliau jika BN gagal membacanya dengan tepat adalah berkaitan masalah dalaman parti yang jika tidak diurus dengan baik, dikhuatiri ia akan merebak bak virus.

"Saya ingin menarik perhatian ini kerana jika ada lompang pun, kekuatan BN dari dalam parti itu sendiri yang akan mencemarkan parti itu dan 'pencemaran' itu bukan datang dari luar.

"Keadaan lompang inilah yang sering diambil kesempatan oleh pakatan pembangkang," katanya.

Dalam aspek ini, katanya, BN perlu membuktikan mereka adalah juara rakyat sebenar dan bijak menangani masalah pengundi di setiap kawasan.

Beliau menarik perhatian bahawa isu-isu pembangunan bukanlah 'isu sebenar' yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya oleh pembangkang kerana semua itu telah ditangani dengan baik oleh BN.

"Tetapi dari sudut lain, isu pembangunan ini telah dimanipulasikan dengan sebegitu baik oleh lawan BN. Jadi yang perlu di lakukan oleh BN adalah memfokuskan isu- isu pembangunan yang lebih menumpukan soal kaum dan masyarakat tertentu seperti warga emas, pelajar (pendidikan) dan golongan bergaji rendah dan sederhana.

"Isu pembangunan yang bersangkut-paut soal pembinaan yang menelan kos berpuluh atau beratus juta tidak kekal lama jika ia terlalu diuar-uarkan. Tetapi yang penting dan sebenarnya yang 'mudah-mudah' pun dan paling diingati rakyat adalah yang menjurus terus kepada kehidupan majoriti mereka," katanya.

Justeru, Noor Sulastri berpendapat, semua pemimpin dan ahli BN tidak perlu menunggu selepas Konvensyen BN selesai untuk mula mengorak langkah mempertahankan mandat BN.

"Saya percaya dalam keadaan undi yang berpecah-pecah iaitu Melayu berpecah kepada BN, Pas dan PKR, Cina pula berpecah kepada MCA, PKR dan DAP, maka pencapaian sekurang-kurangnya dengan kemenangan majoriti mudah sebenarnya sudah cukup dalam situasi banyak negara di dunia ketika ini yang sukar mencapai tahap tersebut," katanya.

Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi penganalisis, Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM).

"Pada saya, akhir tahun 2011 atau awal 2012 paling sesuai untuk diadakan pilihan raya. Sekiranya BN berhajat untuk mengekalkan mandatnya, itulah waktu yang sesuai," katanya.

Ini kerana katanya, pada tempoh tersebut nanti, semua agenda yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri akan dan sedang terpamer untuk penilaian rakyat.

Sivamurugan turut menarik perhatian mengenai kepimpinan lepas yang hanya menonjolkan banyak projek dan program tetapi malangnya dari segi pelaksanaan, agak 'indah khabar daripada rupa'.

"Oleh itu, jika diadakan PRU serentak dengan Sarawak, ia agak sukar sebab harga barang pun baru naik, selain perubahan ke pimpinan dalam UMNO serta MIC yang baru hendak bermula," katanya.

Menurutnya, harga barang yang mendadak naik sekitar tahun 2007 juga dikatakan menjadi punca kenapa sokongan rakyat kepada BN menyusut teruk. Justeru, faktor barang naik perlu ditangani dengan bijak oleh kerajaan.

"Tapi tempoh lama (tarikh PRU) juga susah, katakan selepas pertengahan 2012, ia akan mewujudkan satu dilema untuk BN sendiri.

"Sebabnya, dibimbangi kemunculan lompang-lompang yang sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu," katanya.

Oleh ZULKIFLI JALIL

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan