UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 19 November 2010

Suara sumbang Anwar, kenapa Pas dan DAP diam?

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim yang begitu bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan sering mendabik dada bahawa segala masalah negara akan mampu diselesaikan jika beliau berada di kedudukan itu terus melakukan rentak sumbang di luar negara.

Bagi Anwar, jika ada mana-mana negara memuji Malaysia dan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia boleh dianggap satu petaka untuk beliau dan parti pembangkang. Justeru Anwar cuba menutupi kebenaran dengan terus memburuk-burukkan Malaysia di luar negara.

Terbaru, beliau berbuat demikian di Australia apabila menganggap pengiktirafan yang diberikan oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai negara Islam moden boleh dianggap satu penghinaan.

Anwar yang dilihat gagal menangani isu dalaman PKR bagaikan 'cacing kepanasan' apabila ada negara memuji Malaysia. Pada pandangan beliau, semua itu akan membantut hasratnya ke Putrajaya dengan menjadi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti sebagai sasaran.

Sememangnya tindakan Anwar yang tidak serik-serik memburuk-burukkan Malaysia merupakan suatu perbuatan di luar kebiasaan. Mana mungkin seorang yang mengaku kononnya ingin menegakkan keadilan dan kebenaran tetapi dalam masa yang cuba menutupi kebenaran seperti mana pengiktirafan yang diterima oleh Malaysia.

Tetapi apa yang menjadi persoalan, kenapakah rakan sekutu PKR iaitu DAP dan Pas hanya mendiamkan diri. Ia kerana perbuatan Anwar bukanlah lagi soal politik kepartian tetapi semata-mata pelaksanaan satu agenda yang boleh merosakkan imej negara.

Jika dikaji, selama ini dalam apa keadaan sekali pun pemimpin DAP dan Pas tidak pernah memburuk-burukkan Malaysia di luar negara. Malahan pernah suatu ketika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menolak sebarang campur tangan asing terhadap urusan dalaman Malaysia.

Namun kenapakah dengan sikap keterlaluan Anwar itu, DAP dan Pas cuba mengambil jalan selamat dengan tidak memberikan sebarang ulasan apatah lagi teguran? Apakah kerana hendak menjaga hati Anwar dan PKR, maka maruah negara harus dibiarkan diperkotak-katikkan dengan sewenang-wenangnya oleh Anwar.

Mungkin bagi sesetengah orang, mereka sudah memahami sikap DAP tetapi bagaimana dengan Pas? Sebagai sebuah parti yang sering melaung-laungkan perjuangan Islam dan bercita-cita besar untuk menggantikan UMNO sebagai parti utama orang Melayu, Pas sepatutnya menegur Anwar.

Perbuatan Anwar itu sama ada secara tersurat atau tersirat adalah salah di sisi Islam dan Pas sepatutnya tidak dilihat bersubahat dengan Anwar. Pas perlu faham biarpun penyokong parti itu berbeza fahaman politik dengan Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO namun kecintaan mereka terhadap tanah air tetap tinggi.

Oleh itu sudah tentu ada sebahagian daripada mereka tidak akan berpuas hati dengan sikap diam diri kepimpinan Pas dalam melayan kerenah Anwar itu. Pas tidak boleh marah kalau ada orang yang menuduh mereka hanya 'pak turut' dalam pakatan pembangkang kerana hendak menegur Anwar pun mereka tidak berani.

Bagi DAP pula, walaupun mereka mungkin tidak bersetuju dengan tindakan Anwar tetapi mereka hanya memikirkan keuntungan politik semata-mata, justeru mendiamkan diri adalah cara terbaik.

Tambahan pula, tindakan Anwar itu pada tafsiran DAP akan menguntungkan pakatan pembangkang dan jika agenda menumbangkan BN berjaya maka merekalah yang paling banyak meraih keuntungan berbanding PKR dan Pas. DAP tahu hakikat ini!.

Apa pun adalah sesuatu yang mengecewakan, jika pemimpin DAP dan Pas tidak menegur Anwar kerana perbuatan beliau yang boleh dianggap sudah melampaui batas itu.

Dan mereka juga tidak boleh marah kalau ada yang beranggapan bahawa pakatan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja asalkan memperolehi kuasa termasuklah membiarkan tanah air tercinta ini dihina asalkan ia dilakukan di kalangan mereka khususnya Anwar.

OleH : Zulkiflee Bakar

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan