UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 18 November 2010

Selangor Bangkit : 'Maklumat dalaman' petanda positif BN tawan Selangor!

Pendedahan kepincangan pengurusan pemerintahan negeri Selangor di kalangan pegawai kerajaan sendiri merupakan tanda positif Barisan Nasional (BN) mampu menawan kembali negeri tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, trend pendedahan maklumat kepincangan daripada sumber dalaman kerajaan negeri Selangor juga menunjukkan para pegawai sudah dapat menilai sendiri pengurusan BN adalah lebih baik.

"Semua pendedahan yang kita buat (mengenai kepincangan pengurusan kerajaan negeri) sebelum ini adalah hasil maklumat daripada orang dalam yang mungkin sudah tidak tahan dengan cara pengurusan pakatan pembangkang.

"Kita juga akan terus membuat pendedahan mengenai sebarang salah laku seperti isu penyelewengan, pembaziran, melanggar peraturan atau tidak membela nasib rakyat hasil pendedahan sumber-sumber dalaman ini.

"Saya berharap rakyat negeri Selangor juga dapat membuka mata terhadap segala tuduhan salah laku oleh pembangkang kepada kepemimpinan BN terdahulu yang kini terkena batang hidung mereka sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kolum Cuit Datuk Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia sebelum ini yang menyeru Selangor diselamatkan berikutan amanah pemerintahan negeri yang diwariskan kepada pakatan pembangkang mulai punah.

Turut dibangkitkan situasi terbaru di dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor yang mengundang kemarahan rakyat dan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Menurut Noh, penduduk di Selangor mungkin terpengaruh dengan pelbagai tohmahan terhadap BN pada Pilihan Raya Umum lalu tetapi pendedahan berterusan kepincangan yang berlaku kini membuktikan cara pemerintahan pembangkang adalah jauh lebih teruk.

"Kita kena berani menghadapi mereka kini kerana sudah terbukti apa yang kita buat di negeri Selangor dahulu adalah jauh lebih baik berbanding pengurusan kerajaan pakatan pembangkang kini.

"Kita juga akan berani berhadapan apa juga isu yang mereka ingin bangkitkan melalui program-program bersama antara parti-parti komponen BN di Selangor," jelasnya.

Selain itu, Noh turut merasakan tindakan pakatan pembangkang yang hanya menyalahkan dan menghukum para pegawai dalam menyelesaikan sesuatu isu kepincangan sebagai sesuatu yang pelik.

"Dahulu (ketika pemerintahan BN) mereka meminta pemimpin tertinggi bertanggungjawab jika berlaku sebarang kepincangan atau salah laku melibatkan pemerintahan kerajaan negeri.

"Apa yang peliknya, hanya pegawai yang dihukum di bawah pemerintahan mereka kini termasuklah dalam isu penyelewengan pasir dan terbaru melibatkan PKNS serta Yayasan Selangor," ujarnya.

Sebelum itu : Selamatkanlah Selangor!

Pada PRU Ke-12 rata-rata pengundi celaru. Selangor yang diurus dengan sempurna (walau pun ada cacat-cela sana-sini) sejak Merdeka jatuh ke tangan pihak yang tidak pernah memerintah selama ini.

Bagaikan kera mendapat bunga, mereka memasuki ke tampuk pemerintahan itu dengan seronok dan riang-rianya. Orang Melayu yang mengundi pembangkang pada masa itu, tiba-tiba tersentak (tidak sangka) apabila mendapati barisan pemimpin DAPlah yang rupa-rupanya menguasai kerajaan negeri itu. Menteri Besar hanyalah simbolik.

Bagi menambat hati rakyat di awal pemerintahan, pelbagai janji dibuat. Yang dikotakan setakat ini tiada. Yang ada hanyalah eksesais perhubungan awam dan sedikit ole-ole air percuma beberapa timba.

Mereka ini akhirnya memasuki ke syarikat-syarikat kerajaan negeri. Tampuk yang dulu dilucutkan dan ada juga CEO yang sukarela berjalan keluar, posisi mereka diganti dengan orang baru. Namun, kini ramai sudah mula bercakap mengenai kelayakan dan who‘s who (siapa) orang baru yang diambil itu? Mereka bertanya, ada kaitan dengan kronisme ke? Nepotisme? Orang sudah mula bercakap.

Yang memeningkan MB sekarang ialah apabila orang mula bercakap mengenai Yayasan Selangor (YS) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Sultan pun khabarnya murka. DAP dalam soal ini hanya senyap menyepi. Pas pula tidak campur tangan. Semua mahu kelihatan baik dan cuba cuci-tangan.

Rata-rata kakitangan yang berkhidmat, sejak pemerintahan BN dulu, kini terpinga-pinga. Macam-macam hal yang berlaku. PKNS yang ditubuhkan sebagai pemegang amanah terbesar orang Melayu kini dikatakan sudah lintang-pukang.

Begitu juga dengan YS. Satu surat rayuan yang disiarkan dalam Forum Utusan Malaysia semalam tertulis: “Tolonglah jaga baik-baik amanah Yayasan Selangor ini. Kita tidak mahu ada orang yang datang itu hanya bertugas untuk dua tahun ini sahaja kerana menjangka pakatan pembangkang akan kalah dalam PRU-13 akan datang. Janganlah punahkan amanah yang sudah terbina itu. Dulu perkara-perkara sebegini tidak pernah berlaku.”

Luahan hati itu seharusnya diambil perhatian. PKNS dan YS ialah dua institusi Selangor yang terpenting bagi orang Melayu.

Orang dalam yang terpanggil membetulkan keadaan mendedahkan kepada saya panjang lebar. Wang dikatakan dibelanjakan secara meragukan. Perbelanjaan yang tidak perlu digunakan, kononnya, untuk menukar imej perbadanan itu. Pakar-pakar perunding luar diambil dan dikatakan dibayar ratusan ribu hingga mencecah jutaan ringgit. Kakitangan dalaman pula bagaikan duduk atas bara api.

Mereka kini mengimbau kembali khidmat baik yang dibuat oleh para pengurusan PKNS terdahulu. Walaupun ada sedikit cacat-cela sini sana --- kini mereka sedar, sekarang lebih teruk.

Orang-orang ini sudah mula bersuara. Mereka merayu supaya diselamatkan institusi orang Melayu ini. PKNS diasaskan oleh Menteri Besar berwawasan ketika itu, Datuk Harun Idris pada 1964 bertujuan untuk menyeimbangkan geo-politik orang Melayu dan bukan Melayu di kawasan bandar melalui pembinaan rumah-rumah ‘mampu-milik’. Bandar-bandar baru dibuka, antaranya Shah Alam, Bangi, Keramat, Kota Damansara hinggalah ke kawasan Hulu Selangor. Bandar-bandar itu kemudiannya menjadi ikon kebanggaan orang Melayu.

Namun, dalam tempoh terdekat ini sedikit demi sedikit amanah itu cuba dicairkan. PKNS banyak membuat projek-projek JV atau usahasama yang dilihat boleh memecahkan jaringan geografi politik tersebut.

Rumah pangsa di Keramat dirobohkan untuk diberi ruang kepada kondominum mewah Datun Jelatek. Persoalannya berapa ramaikah orang Melayu yang mampu membelinya? Dengar kata paling murahpun seunit kondo itu ialah sekitar RM400,000?

Namun pemimpin atasan perbadanan itu memberi alasan begini: ‘‘Kalau tak laku dan orang Melayu tak mampu, kita buka kuota kepada bukan Bumi, bila dapat untung kita buat satu bandar baru orang Melayu di mana-mana pun...”

‘‘Persoalannya di mana jiwa orang yang bercakap itu,” kata orang dalam perbadanan itu kepada saya.

Kerana sudah tidak tertahan, lima persatuan dan kesatuan dalaman PKNS --- yang memegang amanah itu --- berpakat dan bersatu suara menuntut Menteri Besar, Khalid Ibrahim menyiasat dan memecat Pengurus Besar lantikannya, Othman Omar yang juga dikenali sebagai OO.

Tapi, apakah cukup sekadar OO seorang sahaja? Khalid selaku pengerusi Lembaga Pengarah juga harus bertanggungjawab dalam kemelut itu. Macam mana pula dengan Azmin Ali (anak emas Anwar Ibrahim) yang juga memegang tampuk Exco di perbadanan itu?

Moral ceritanya ialah, amanah itu mulai punah. Jika orang Melayu di Selangor melihat kerajaan BN dulu teruk, kini mereka melihat yang ada sekarang lebih teruk lagi.

Oleh itu, Selamatkahlah Selangor!

Oleh : Zaini Hassan

Juragan Malawati..

3 ulasan:

  1. dulu pakat2 mengata, sekarang tahanlah telinga bila dikata. baru padan muka...

    BalasPadam
  2. Kepada Tan Sri MB, udah-udahla tu. Kalau 'penyamun-penyamun senyap' dah masuk dlm hak-hak org melayu (YS & PKNS) jgnlah kata saya tidak tahu.. Tan Sri MB pun asal org Jeram. Melayu ramai tu jadi janganlah sampai Duli Tuanku jadi murka. Politik lain.. Korperat lain.. jangan nanti bila BN dapat blk Selangor, akaun pun semua rugi... Duit pun tarak..!!!

    BalasPadam
  3. salam perkenalan kepada semua rakan blogger's.sila layari blog ambo penulis dari negeri pantai timur dan insyaallah akan sentiasa berkongsi cerita semasa yang berlaku di sini serta dapat berkongsi pendapat dengan segala isu dan permasalahan terkini.~Mj~
    http://suaratimur.blogspot.com/

    BalasPadam