UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 29 November 2010

Ketuanan Melayu : Sultan Selangor dukacita!

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan segelintir pihak yang berhijrah ke negeri ini, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Baginda bertitah, tindakan golongan terbabit mempersoalkan perkara-perkara itu adalah bertunjangkan matlamat supaya sistem Raja Berperlembagaan yang ada sekarang disemak dan dikaji semula.

Titah baginda, golongan berkenaan juga telah mengemukakan alasan yang amat tidak tepat untuk merasionalkan matlamat itu kononnya negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang sudah tidak bersesuaian.

"Sehingga ada suara lantang daripada orang Melayu sendiri yang meminta perkataan 'Melayu' yang ada pada ungkapan 'Raja-Raja Melayu' hendaklah dihapuskan.

"Beta percaya perbuatan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri ataupun kepentingan politik mereka," titah baginda sewaktu berangkat ke majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin ke-65 itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kepimpinan kanan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa sedih dengan generasi Melayu sekarang yang malu untuk mengakui diri sebagai seorang Melayu.

Justeru baginda melontarkan persoalan adakah mereka tidak mempunyai perasaan bangga dan megah sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan 'Melayu' untuk dikorbankan sehingga lenyap dari dunia ini.

"Cuba kita baca sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris yang mana ada tertulis 'Tanah Melayu', 'Negeri-negeri Melayu Bersekutu' dan juga ada menyebut 'Raja-raja Melayu'.

"Ini menunjukkan penulis-penulis Barat ini mengiktiraf akan adanya Melayu yang memulakan sejarah di negara ini," titah baginda.

Mengulas lanjut, baginda menjelaskan titahnya itu bukanlah bertujuan menyalakan api perkauman tetapi untuk menyatakan bahawa semua rakyat Selangor mesti berbangga dengan komposisi penduduk pelbagai keturunan di negeri itu.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor supaya memahami sejarah negeri dan negara supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

"Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu sahaja kerana negeri ini adalah tanah tumpah darah kita dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan," tegas baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bangga dan sukacita kerana kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah namun pada masa sama menegur rakyat Selangor yang dianggapnya kurang membaca buku berkaitannya.

"Beta dapati rakyat beta kurang minat untuk membaca buku sejarah, dalam erti kata lain, rakyat Selangor ini ramai yang buta sejarah.

"Beta berharap rakyat Selangor dapat mengubah sikap untuk membaca lebih banyak buku sejarah berkenaan negara kita dan jangan membuang masa membaca buku-buku atau majalah-majalah yang hanya mengandungi gosip yang tidak memberi manfaat kepada kita," kata baginda.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan