UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 14 Julai 2013

Sultan Selangor serah bantuan zakat kepada keluarga wira Lahad Datu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan sumbangan zakat kepada anak yatim sempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam semalam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada keluarga tiga wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Mac lalu.

Sumbangan berbentuk bantuan pendidikan institusi pengajian tinggi (IPT) kepada anak-anak dan adik wira-wira negara berkenaan diserahkan baginda pada majlis berbuka puasa bersama rakyat anjuran Sime Darby Property Berhad di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini.

Tiga ahli keluarga wira negara yang hadir menerima sumbangan tersebut ialah isteri kepada Allahyarham Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Rosiah Dahlan; isteri Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud, Nurunnisa Abu Bakar; dan bapa kepada Allahyarham Koperal Mohd. Azrul Tukiran, Tukiran Ahmad.

Jumlah sumbangan tidak dinyatakan.

Baginda turut menyampaikan bantuan zakat kepada Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tabung Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masing-masing berjumlah RM100,000.

Baginda juga menerima zakat perniagaan berjumlah RM1 juta daripada Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Abdul Wahab Maskan dan menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM2 juta untuk pembangunan Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya kepada pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Turut menerima sumbangan zakat ialah anak asnaf fakir sebanyak 150 orang, asnaf miskin (150), anak yatim (141) dan asnaf mualaf (100).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi; dan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail hadir mengiringi baginda pada majlis tersebut.

Turut serta Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin.

Baginda kemudiannya berkenan menunaikan solat sunat tarawih bersama-sama rakyat di masjid berkenaan.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan