UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 26 Julai 2013

Penjelasan Guru Besar SK Seri Pristana!


Bilik tersebut adalah bilik persalinan yang sudah diubah suai untuk dijadikan tempat kantin sementara dan bukannya tandas. Bilik itu juga sangat bersih dan bukan sahaja non muslim yang menggunakan bilik tersebut. Murid dan guru muslim juga turut menggunakan bilik persalinan itu untuk majlis jamuan dan sebagainya.

Bilik persalinan itu sebenarnya digunakan sejak Mac lalu berikutan kantin sekolah berkenaan tidak mampu menampung bilangan murid pada waktu rehat. Difahamkan, bilik persalinan itu yang baru dibina tidak pernah digunakan dan ia hanya digunakan sebagai tempat makan sejak awal tahun ini, malah ia digunakan semua murid di sekolah berkenaan tanpa mengira agama dan bangsa. Bilik persalinan itu dihias seperti kantin dan meja dan kerusi yang ditempatkan di dalam bilik berkenaan juga sama seperti yang ada di kantin.

Pada masa yang sama, bilik persalinan itu tidak pernah digunakan untuk membuang air kecil dan sebagainya. Perkara ini tersebar tanpa mendengar penjelasan dari dua pihak dan akhirnya menyebabkan isu sensitiviti berlaku pada bulan Ramadan.



Berita terbaru :

KUALA LUMPUR : Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini, membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lalu.

Mohd Nasir Mohd Noor, 57, berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.

"Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan 'If I meet you, i will kill you' (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu semalam berkata isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.

Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.

"Sebelum ini, memang tidak ada aduan daripada ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar," katanya.

Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.

Pada majlis sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas. - BERNAMA

Juragan Malawati..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan