UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 2 Julai 2013

MB Khalid dituntut beri penjelasan?


Kerajaan negeri Selangor diminta memberi penjelasan berhubung projek kondominium mewah Datum Jelatek di Jalan Jelatek, Taman Keramat yang didakwa tidak memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah khususnya bumiputera.

Ketua Pembangkang negeri, Datuk Mohd. Shamsudin Lias berkata, projek yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu dilihat terlalu mahal untuk dimiliki golongan tersebut ekoran nilainya di antara RM700,000 dan RM11.6 juta seunit mengikut jenis.

Menurut beliau, projek yang dianggarkan bernilai RM1 bilion itu dikatakan turut menawarkan pampasan tidak setimpal kepada penghuni asal empat blok rumah pangsa di atas tapak tanah projek terbabit selain membatalkan 70 peratus kuota bumiputera dan digantikan dengan kuota 50 peratus masing-masing kepada bumiputera dan bukan bumiputera.

''Pampasan di antara RM130,000 hingga RM250,000 masih belum mencukupi untuk membeli seunit studio Datum Jelatek berharga RM700,000 yang hanya berkeluasan 538 kaki persegi," katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Shamsudin mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang dikatakan tidak mengambil perhatian terhadap rungutan penduduk asal rumah pangsa Jalan Jelatek yang membantah projek mewah tersebut sebelum ini.

Katanya, penduduk di kawasan itu mahu sebuah pembangunan perumahan mampu milik dijalankan di tapak berkenaan yang didiami 100 peratus bumiputera sejak awal 1970-an.


Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang didakwa melakukan pengambilalihan tanah secara paksa di bawah peruntukan Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah ekoran 14 daripada 60 penduduk asal rumah pangsa terbabit tidak setuju dengan tawaran pampasan diberikan oleh PKNS.

Kata Mohd. Shamsudin, sepatutnya pengambilan tanah di bawah akta itu dilakukan oleh pihak berkuasa negeri adalah bagi tujuan dan maksud kepentingan awam.

''Adakah tujuan pembinaan projek mega Datum Jelatek memenuhi maksud awam? Apa yang jelas ialah projek tersebut adalah eksklusif untuk golongan kaya.

''Kerajaan negeri dan PKNS mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang dan moral untuk berunding dan mengambil kira pandangan, rayuan serta masalah yang dihadapi pemilik rumah pangsa asal di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata: ''Mungkin kerana tanah rumah pangsa itu masih di bawah PKNS, kerajaan negeri dan anak syarikatnya itu mengambil kesempatan dan kuasa sewenang-wenangnya. Bukankah ini satu penyalahgunaan kuasa melampau dan bertentangan dengan 10 aku janji bersumpah Menteri Besar di hadapan Sultan Selangor sebelum ini."

Beliau berkata, berbeza dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tapak asal rumah pangsa Jalan Jelatek dicadangkan untuk pembangunan semula rumah pangsa berkenaan pada Oktober 1997.

Malah katanya, pada April 2002, PKNS menawarkan kepada penduduk kawasan itu pangsapuri tiga bilik berkeluasan 686 kaki persegi dengan harga di antara RM72,000 hingga RM75,000 serta RM125,000 bagi unit rumah berkeluasan 950 kaki persegi.

''Bagaimanapun perundingan tawaran itu masih belum selesai sehinggalah pertukaran pentadbiran negeri setelah pilihan raya umum tahun 2008.

''Akhirnya, pentadbiran baharu negeri membatalkan projek asal tersebut dan bercadang membangunkan Datum Jelatek bermula 2009," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan