UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 25 Julai 2011

Terimalah keputusan suruhanjaya diraja!

Akhirnya keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock meleraikan segala kekusutan, kekalutan serta pelbagai spekulasi yang menjadi topik perbualan hangat selama ini.

Suruhanjaya Diraja ini merumuskan bahawa Setiausaha Politik Exco Selangor itu membunuh diri dengan terjun dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam.

Mengikut rumusan suruhanjaya itu yang terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat yang didedahkan kepada umum, tindakan itu didorong oleh soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan yang dikenakan ke atasnya oleh pegawai-pegawai SPRM pada malam 15 Julai 2009 dan awal pagi keesokan harinya.

Lima anggota panel yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong bersependapat dan bersetuju sepenuhnya bahawa Beng Hock, 30, jatuh dari tingkat 14 dalam keadaan sedar berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

Keputusan ini juga sekaligus menolak pendapat pakar patologi forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bahawa Beng Hock dipukul dengan objek tumpul kerana lelaki itu tidak mungkin berjalan ke tingkap dalam keadaan sedar jika mengalami kecederaan yang teruk di kepala.

Penemuan dalam siasatan ini juga menunjukkan terdapat beberapa orang pegawai SPRM yang terlibat secara aktif dalam sesi soal siasat yang perlu ditangani oleh pihak SPRM dengan segera dan sewajarnya.

Justeru kita berharap sangat agar tidak ada lagi tuduhan dan rasa ketidakpuasan hati dari mana-mana pihak tentang status kematian mendiang Teoh Beng Hock.

Walaupun ibunya masih tidak percaya dan tidak mahu menerima rumusan keputusan suruhanjaya terbabit tetapi kita perlu mula terima hakikat dan kenyataan tentang kejadian tersebut. Kita tetap simpati kepada ibunya serta ahli keluarga mendiang namun tiada siapa yang boleh mengubah takdir dan sejarah yang telah berlalu.

Apa yang penting dalam kes ini ialah ia sekaligus membuka peluang dan ruang kepada semua pihak, terutama pihak SPRM untuk meneliti, menilai dan mengemaskini proses siasatan mereka agar kejadian seumpama ini tidak berulang.

Malah jika benar didapati ada pegawai SPRM yang bertindak di luar batasan sepanjang mengendalikan siasatan terhadap mendiang maka mereka perlu diambil tindakan yang sewajarnya.

Perkara ini penting demi menjaga imej SPRM terutamanya dalam meraih kembali keyakinan rakyat. Imej dan maruah SPRM perlu dipulihkan dengan segera.

Kita juga tidak mahu ada pihak mengambil peluang menangguk di air keruh dengan menabur bermacam-macam fitnah lagi terhadap pegawai dan juga SPRM secara keseluruhannya.

Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Semoga kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua pihak dan sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita perlu percaya dan yakin dengan sistem perundangan dan keadilan yang ada di negara kita. Hormati keputusan suruhanjaya ini.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan