UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 15 Julai 2011

Setelah kantoikan Anwar Omegay, Hadi pulang ke Terengganu!

Mungkin ada rahmatnya bagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila beliau turut ditahan selama beberapa jam oleh pihak berkuasa kerana menghadiri perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, 9 Julai lalu.

Dalam tempoh tahanan itu, Presiden Pas itu yang juga bekas Menteri Besar Terengganu secara terbuka memberitahu beliau diberi layanan yang dianggap amat baik, malah katanya, turut diiring pulang.

Selaku pemimpin parti dengan status tok guru, darjahnya masih terkebekalang berbanding Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang asap kereta mercedesnya pun meninggalkan aroma mewangikan bagi pengikut.



Malah soal kepimpinannya menjadi isu menjelang muktamar lalu apabila semakin dipersoalkan kerana dilihatkan sebagai lemah dan layu sehinggalah beliau berpatah arang soal kepentingan Melayu.

Ada pengagum yang kemudiannya terang-terangan menganggapnya liabiliti kepada parti setelah Abdul Hadi sekian lama memberikan seluruh jiwanya kepada parti. Auranya larut setelah ditolak oleh rakyat Terengganu ketika sepenggal menerajui negeri dan seterusnya tenggelam dalam permainan politik pakatan pembangkang.

Namun himpunan Bersih bagaikan membawa rahmat. Kepulangannya malam Isnin lalu, tidak sekadar dinantikan oleh isteri-isteri dan anak-anaknya di rumah tetapi juga oleh hampir 2,000 penyokong parti dan disambut sebagai 'Wira Rakyat' di lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Perhimpunan Bersih seolah-olah memberi 'tonik pracampuran' bagi Hadi yang mahu dijadikan tenaga untuk menjaja pula di negeri ini dengan harapan Pas akan sekali lagi menggantikan UMNO. Program sudah mula dicanangkan.

Hadi kembali dari himpunan yang dikatakannya suatu mukadimah perjuangan ke arah menegakkan Islam dan tentunya beliau terhutang budi dengan Ambiga Sreenavasan yang mengepalai gerakan menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Rupa-rupanya tidak ramai yang menyedari apa yang dilorongkan oleh Ambiga adalah untuk kepentingan Islam, sedang pendirian dan tindak-tanduk wanita dalam soal Islam dikecam selama ini. Rupa-rupanya, tidak ramai juga yang menyedari betapa lebih mulianya Ambiga dalam perjuangan menegakkan negara berkebajikan yang menjadi model baru Pas.

Hadi meyakinkan kenapa Pas mendokong perjuangan terbaru Ambiga dengan kembali merujuk 'persamaan' yang mana pada zaman jahiliah, Rasulullah sendiri diajar dan dipandu oleh bapa saudaranya yang bukan Islam dalam menghadapi tentangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berpendapat menyokong Bersih kononnya sebagai satu perjuangan Islam jelas menunjukkan Hadi masih tidak dapat lari daripada terus memperalatkan agama untuk mengejar cita-cita politik kerana masih gagal menarik sokongan majoriti rakyat.

''Perjuangan untuk menegakkan negara Islam telah dikuburkan dalam muktamar parti baru-baru ini. Sebagai seorang yang bergelar ulama dan tok guru, Presiden Pas itu tak sepatutnya terus menggadaikan agama.

''Alasan penganjur himpunan Bersih kononnya untuk mendesak bagi pilihan raya yang bersih dan telus dikatakan bertepatan dengan Islam dan wajar disokong, sepatutnya diperhalusi dengan lebih mendalam," katanya.

Memang tiada kesempurnaan dalam setiap tindakan manusia namun dengan mengakui mungkin masih ada kelemahan dalam sistem pilihan raya, kita juga perlu mengambil kira kemenangan calon-calon pembangkang dan penguasaan di beberapa negeri yang menunjukkan jika ada sekali pun, bukanlah keterlaluan dan boleh dibaiki di sana sini.

Ia tidak seharus ke tahap mengharuskan huru-hara sebagai jalan singkat yang sebenarnya jelas kemudiannya diberi gambaran oleh pimpinan pembangkang sebagai suatu usaha untuk mula menggerakkan revolusi.

Ruang perbincangan sepatutnya diutamakan dalam hal ini bagi memelihara keamanan, nama baik negara dan mengelakkan campur tangan luar. Bukankah Islam itu menggalakkan perbincangan dan mesyuarat?

Penganjuran Bersih oleh golongan yang mempunyai latar belakang yang tidak mesra dan mendokong fahaman yang bertentangan dengan agama Islam juga perlu diambil kira. Ia bagi mengelakkan umat Islam jatuh dalam permainan golongan yang sememangnya mahu melemahkan perpaduan dan kekuatan umat. Tidakkah mereka makin berjaya?

Memang diakui berhimpun bagi sesuatu tujuan tidak dilarang dalam Islam, namun dalam konteks negara dan pentadbiran, apabila menjangkakan kekacauan dan kerugian kepada sebahagian besar masyarakat, kerajaan perlu bertindak bagi mengatasinya.

Ketika itu dua kaedah dalam pentadbiran hukum syarak perlu diaplikasi. Pemerintah mesti pertamanya perlu mengutamakan kemaslahatan umum dan keduanya mencegah punca-punca kerosakan.

''Dari sudut yang lain pula, apabila pemerintah mencegah atau menyuruh sesuatu yang tidak bertentangan dengan hukum agama ia menjadi kewajiban rakyat untuk mematuhinya.

''Samalah jika seorang ibu melarang anaknya memakan tempoyak atau makanan tertentu di rumah yang harus dari segi hukum agama bagi tujuan mengelakkan terjejasnya selera ahli keluarga lain yang tidak menyukainya, ia menjadi kewajiban ke atas anak itu mematuhinya.

"Begitulah juga hukumnya kes himpunan Bersih, hukum berhimpun secara amnya memang harus dalam Islam tetapi ia berubah bila kerajaan telah keluarkan larangan," ujar Khazan.

Jika benar ini perjuangan agama mengapa Pas tidak mengetuai dan menjuarainya? Pas mungkin perlukan lebih ramai Ambiga.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan