UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 28 Julai 2011

Kelewatan Hospital Shah Alam diatasi akhir tahun!

Kementerian Kesihatan memberi jaminan akan dapat menangani masalah kelewatan projek pembinaan Hospital Shah Alam di Seksyen 7 di sini, selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari jalan terbaik untuk membolehkan projek itu diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, pihaknya juga akan merangka dan melaksanakan satu tindakan khas bagi memastikan projek bernilai kira-kira RM482.6 juta itu dapat disiapkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di negeri ini.

"Ketika ini, projek hospital berkenaan dikenal pasti sebagai 'projek sakit' ekoran aktiviti pembinaan yang tidak berjalan berikutan wujud masalah-masalah tertentu.

"Pihak kementerian dan JKR sentiasa memandang serius mengenai perkara ini dan kami telah memulakan proses perbincangan dengan JKR untuk mengatasi kelewatan ini.

"Kami yakin semua masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan projek ini akan dapat diselesaikan pada hujung tahun ini melalui satu pelan tindakan yang akan diputuskan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sukarelawan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HTAR, Senator Datin Paduka Norhayati Onn; Pengarah HTAR, R. Supathiratheavy dan Ketua Puteri UMNO Selangor, Suhaila M. Zin.

Pelan asal

Dalam pada itu, Rosnah turut menyatakan pembinaan Hospital Shah Alam bertujuan meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan mengurangkan kesesakan di hospital-hospital lain di negeri ini termasuk di HTAR yang menerima bilangan pesakit yang tinggi.

Dalam perkembangan yang sama, Rosnah mengingatkan pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab dengan mempolitikkan isu kelewatan pembinaan hospital ini dengan pelbagai tohmahan serta tuduhan-tuduhan untuk kepentingan tertentu.

Kata beliau, masalah pembinaan yang dihadapi dalam projek berkenaan sedang diteliti pihaknya dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

"Oleh itu, biarlah kami di peringkat antara kementerian dan agensi-agensi teliti dan selesaikan terlebih dahulu. Janganlah untuk dapatkan sokongan, projek ini dipolitikkan dengan andaian tertentu," ujarnya.-UM.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan