Kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim yang menyifatkan ‘revolusi’ semakin hampir di negara ini selepas mengadakan perhimpunan haram Sabtu lalu hanya merupakan satu kenyataan politik demi kelangsungan kariernya.
Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail berkata, ini kerana perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tersebut gagal mendapat sokongan rakyat seperti diuar-uarkan sebelum itu.
Menurutnya, revolusi antara lain memerlukan beberapa isyarat penting untuk membangkitkan penentangan rakyat terhadap kerajaan seperti kemiskinan melampau di kalangan rakyat, pemerintahan kuku besi dan amalan rasuah, kronisme serta nepotisme berleluasa oleh pemerintah.
Namun katanya, kesemua perkara itu tidak berlaku di negara ini dan perhimpunan haram Sabtu lalu sekadar menunjukkan Anwar dan pakatan pembangkang hanya cuba menjuarai isu kononnya untuk pilihan raya lebih adil di Malaysia.
“Mengarut, mana mungkin revolusi terjadi di negara kita kerana setiap rakyat yang rajin bekerja pasti mendapat habuan serta tidak akan mati kebuluran dan masyarakat pelbagai agama di negara ini bebas mengamalkan ajaran masing-masing, tiada sekatan.
“Jadi apa yang dikatakan oleh Anwar itu hanya retorik politik, perhimpunan haram di ibu negara Sabtu lalu hanyalah satu demonstrasi jalanan yang skalanya jauh lebih kecil berbanding sasaran Bersih dan para pemimpin politik tertentu,” katanya kepada di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Anwar seperti dipetik di beberapa akhbar Indonesia kononnya Malaysia kini menghampiri proses revolusi ekoran perhimpunan haram Bersih di ibu kota, Sabtu lalu.
“Kita sudah tidak punya lagi kepercayaan pada pemerintah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya menanggapi tuntutan kami dengan serius kerana situasi semakin dekat dengan revolusi,” katanya seperti dipetik daripada akhbar Republika semalam.
Mohd. Salleh menambah, kenyataan yang mengatakan Malaysia kini menghampiri revolusi hanya cuba mengelirukan rakyat demi memastikan sokongan berterusan kepada pakatan pembangkang. Justeru katanya, rakyat perlu memikirkan sokongan bagaimanakah yang sewajarnya diberikan sama ada kepada pemerintah ataupun parti pembangkang demi memastikan hak mereka sentiasa terjamin.
“Adakah ramai rakyat kita yang kebuluran sekarang ini, adakah pembunuhan beramai-ramai dilakukan terhadap sesuatu bangsa, adakah penganut agama tertentu dilarang mengamalkan kepercayaan masing-masing, adakah kerajaan menyapu bersih semua negeri pada pilihan raya umum sejak puluhan tahun lalu?,” katanya.
Sementara itu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula berkata, kenyataan Anwar itu terang-terangan menunjukkan Ketua Pembangkang tersebut ingin melihat negara ini mengalami kehancuran dan huru-hara.
Anwar Ibrahim disifatkannya sebagai seorang pengkhianat negara yang perlu dikenakan tindakan tegas. Ini ekoran kenyataannya kepada media Indonesia bahawa Malaysia sudah mendekati revolusi selepas perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), pada Sabtu lalu.
"Mengapa dia perlu berkata begitu (revolusi) sedangkan dia sendiri yang mengadakan perhimpunan haram Bersih. Ini jelas bahawa dia seorang pengkhianat negara.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan sepatutnya tidak teragak-agak lagi untuk mengambil tindakan tegas terhadap beliau yang ingin melihat negara ini huru-hara," katanya.
Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor memberitahu, kaedah yang digunakan pihak tersebut dalam mewujudkan kekecohan merupakan pendekatan yang ditinggalkan komunis. Menurutnya, sejak 1960-an, perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan merupakan pendekatan yang diguna pakai oleh pihak komunis dan pengikutnya untuk menentang kerajaan.
"Dua pendekatan itu adalah Agitasi (agitation) propaganda dan Agitasi politik. Kedua-dua pendekatan ini juga digunakan oleh puak di Malaysia yang mahu jatuhkan kerajaan.
"Saya tidak mahu menyebut siapa yang menggunakan pendekatan ini, tetapi saya yakin individu itu pasti akan tahu siapa dirinya yang telah melakukan pengkhianatan terhadap negara," tegasnya.
Manakala bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samsuri Arshad menganggap kenyataan Anwar sebagai satu mimpi yang hanya dirasai oleh beliau yang ingin menjadi pemimpin nombor satu di negara ini.
"Kenyataan itu adalah jalan pintas Anwar untuk mencapai cita-citanya tetapi rakyat Malaysia tidak bodoh untuk menghancurkan keamanan yang ada ketika ini.
"Sejak selepas merdeka, Malaysia melalui keamanan secara berterusan sehingga hari ini dan sistem pilihan raya yang ada untuk rakyat memilih kerajaan juga berjalan mengikut jadual," katanya yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia.
Bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman pada tahun 1993, Datuk Zulkifli Abdul Rahman pula memberitahu, Anwar perlu dikenakan tindakan bagi menghentikan perbuatannya itu yang melampau.
"Pihak kerajaan juga perlu membuat kenyataan balas secepat mungkin dan memberitahu keadaan sebenar dalam negara. Beritahu bahawa negara kita masih aman dan damai serta kita tidak perlukan individu yang sering memburukkan Malaysia di mata negara lain," ujarnya.
Juragan Malawati..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan