Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak membuat pengakuan terbuka tentang kebenaran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meluluskan dana berjumlah RM80,000 kepada pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah berkata, selain membuat pengakuan terbuka, Abdul Khalid perlu menjelaskan tujuan kerajaan negeri meluluskan dana itu kepada Suaram.
"Kalau benar mereka meluluskan dana itu, apa tujuan pemberian tersebut?
"Kalau benar juga, jelas menunjukkan Suaram hari ini adalah ejen penggerak fitnah PKR," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia mendedahkan pakatan pembangkang dikesan membiayai Suaram untuk tujuan memfitnah Najib.
Menurut sumber, perkara itu terbongkar menerusi sepucuk surat daripada Suaram yang memohon bantuan tambahan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan surat itu juga mengesahkan bahawa kerajaan PKR Selangor sudah meluluskan dana sebanyak RM80,000.
Tambah Azwanddin, timbul tanda tanya sama ada dana RM80,000 itu dimasukkan ke dalam akaun Suaram sebaik diluluskan.
"Ini kerana sebagai sebuah pertubuhan tidak berdaftar, Suaram pastinya tidak mempunyai akaun bank rasmi,'' katanya.
Selain itu, beliau turut mendesak Suaram membuat penjelasan tentang dakwaan pertubuhan haram itu meminta dan menerima dana daripada pembangkang.
"Tindakan berdiam diri menunjukkan Suaram mengiakan dakwaan tersebut,'' ujarnya.
Mengulas tentang isu yang sama, Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata, Suaram yang sebelum ini mendakwa mereka bebas daripada mana-mana parti politik perlu tampil memberikan penjelasan tentang penerimaan dana tersebut.
Katanya, beliau berpendapat, wang dana itu diminta dan diterima Suaram adalah bagi meneruskan propaganda memfitnah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Ini adalah jalan terakhir pembangkang dengan menggunakan Suaram untuk memfitnah BN dan Najib bagi meraih simpati pengundi menjelang pilihan raya umum ini," katanya.-UMO
Juragan Malawati..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan