UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 22 Mei 2013

Noh akui gagal bantu Barisan Nasional tawan semula Selangor!


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengakui beliau gagal membantu BN menawan kembali Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu dan bersedia berdepan sebarang tindakan daripada parti.

Menurut Noh, beliau akan mengambil tanggungjawab kekalahan teruk BN di Selangor kerana usaha-usaha dan program yang dilaksanakan untuk menawan kembali negeri berkenaan gagal dilaksanakan dengan baik.

Katanya, walaupun tsunami undi Cina mempengaruhi kegagalan BN di Selangor, namun kegagalan parti juga perlu diakui.

Noh berkata, selaku individu yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi BN negeri, beliau bersedia untuk menerima sebarang arahan dan keputusan yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Pengerusi BN Selangor.

"Saya bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan, jika Perdana Menteri mahukan pemimpin yang baharu menerajui Selangor saya rela berundur demi kepentingan parti, bagi saya masih belum terlambat untuk menyelamatkan BN Selangor.

"Namun, jika Perdana Menteri masih menaruh kepercayaan kepada saya, saya berjanji akan memberikan yang terbaik untuk memastikan pada pilihan raya umum akan datang BN kembali merampas Selangor.

''Mungkin ada hikmahnya saya tidak dilantik semula sebagai menteri, situasi ini membolehkan saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada permasalahan di Selangor," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Keputusan PRU-13 di Selangor menyaksikan BN gagal mencapai misi merampas tampuk pemerintahan daripada pakatan pembangkang apabila hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan pembangkang pula memenangi 44 kerusi DUN dengan DAP dan Pas masing-masing menang 15 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat 14 kerusi.

Terdahulu Noh menghadiri majlis surah tugas kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kementerian tersebut di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, bekas Mantan Timbalan Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani Datuk Chua Tee Yong, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Mohd. Hashim Abdullah, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Memegang prinsip 'pemimpin datang dan pergi', Noh berkata, perjuangannya tiada penghujung untuk memastikan BN kembali merampas Selangor dan jika ada pemimpin baharu yang akan menerajui parti di negeri itu beliau bersedia memberikan kerjasama yang baik.

Mengulas mengenai siapa di antara 12 Ahli DUN (ADUN) BN yang akan menjadi ketua pembangkang di Selangor, Noh berkata, perkara itu akan diserahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

"Kita akan serahkan kepada Perdana Menteri untuk tentukan siapa yang akan menjadi ketua pembangkang di Selangor memandangkan beliau merupakan Pengerusi BN negeri," katanya.

Selain itu, Noh juga berpendapat bahawa BN Selangor perlu dinaungi oleh seorang nakhoda sahaja bagi memastikan rakyat tidak terkeliru dengan agenda yang dibawa.

"Bila seseorang itu dilantik, biarlah dia hanya memegang jawatan dan menumpukan sepenuhnya kepada aktiviti atau usaha-usaha BN untuk menawan kembali Selangor, jika tidak amat sukar untuk seseorang itu menumpukan perjuangan parti di peringkat negeri," katanya.

Mengulas mengenai halatujunya setelah tidak dilantik semula menganggotai Kabinet, Noh berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan akan menumpukan perjuangan untuk merampas kembali Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Ismail Sabri Yaakob berkata, kecemerlangan dan kejayaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam membela nasib golongan nelayan, petani dan penternak akan diteruskan menerusi pelaksanaan dasar-dasar sedia ada yang terbukti berkesan dan memberi hasil yang baik.

Beliau berkata, dasar kerajaan banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui sektor tertentu termasuk pertanian.

"Nasib nelayan, petani dan penternak juga banyak terbela menerusi dasar-dasar sedia ada, namun itu tidak bermakna di bawah era pentadbiran saya, tiada dasar baharu yang akan dibentuk.

"Pada peringkat permulaan kita akan terus dasar-dasar sedia ada, dalam masa sama kementerian juga merangka dasar baharu yang seiring dengan kehendak terkini bagi memastikan sektor pertanian, penternakan dan nelayan dapat menampung permintaan.

"Jika terdapat dasar baharu untuk kementerian ini akan dimaklumkan kepada umum serta merta, buat masa ini saya masih dalam fasa untuk menyemak tugas-tugas yang bakal dihadapi," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan