UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 18 Mei 2013

ADUN Sri Muda gagal ketepikan tuduhan menghasut?


Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei untuk mengetepikan tuduhan menghasut yang dihadapinya.

Mat Shuhaimi mengemukakan permohonan itu dengan mempertikai kesahan daripada segi Perlembagaan ke atas Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, yang digunakan dalam pertuduhan terhadapnya.

Dalam keputusan sebulat suara itu, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak, menyatakan seksyen tersebut sah di sisi perlembagaan kerana ia digubal oleh Parlimen.

''Seksyen ini kekal sebagai undang-undang yang sah hingga hari ini,'' kata Hakim Abdul Malik yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Mohamed dan Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh.

Abdul Malik memerintahkan Mat Suhaimi, 45, menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Jun, yang ditetapkan sebagai tarikh sebutan kesnya.

Bagaimanapun, panel itu membenarkan Mat Shuhaimi menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuannya terhadap keputusan mahkamah hari ini.


Hakim Abdul Malik membenarkan permohonan penangguhan itu, yang dikemukakan Mat Shuhaimi melalui peguamnya Edmund Bon dan tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud.

ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menghadapi pertuduhan berkenaan pada 2011 kerana menyiarkan tulisan bersifat menghasut dalam blognya srimuda.blogspot.com berhubung pelantikan Datuk Mohd. Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam pada 30 Disember 2010.

Mat Suhaimi boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Pada 1 April 2011, beliau memfail notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memohon mengetepikan tuduhan menghasut itu dengan memberi alasan Akta Hasutan yang digunakan dalam pertuduhan terhadapnya, tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak kebebasan bersuara.

Pada 26 Ogos 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Mat Shuhaimi untuk mengetepikan tuduhan berkenaan. Susulan itu, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan