UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 17 Februari 2011

Taktik ‘lengah’ gagal!

Keluarga Teoh Beng Hock (TBH) menerima tamparan hebat pada hari kedua prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSDR) bilamana usaha peguam yang mewakili mereka untuk sengaja menunda prosiding ini gagal dan tidak diendahkan oleh ahli-ahli panel SSDR yang dipengerusikan oleh Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Sejak bermulanya prosiding Suruhanjaya ini pada 14 Februari lalu, pelbagai usaha dibuat oleh peguam- peguam yang mewakili keluarga TBH untuk mengucar-kacirkan dan melengah-lengahkan perjalanan suruhanjaya ini termasuk perkara-perkara berikut:

* Meminta SSDR menetapkan jadual prosiding mengikut tempoh kelapangan mereka. Ini kerana, kononnya mereka mempunyai jadual perbicaraan yang padat;

* Mempertikaikan pelantikan tiga pegawai Timbalan Pendakwa Raya bagi membantu SSDR. Kononnya, ketiga-tiga pegawai ini merupakan pegawai daripada Jabatan Peguam Negara dan besar kemungkinan akan berlakunya bias;

* Mempertikaikan pelantikan Tan Sri James Foong sebagai Pengerusi SSDR kerana beliau merupakan seorang hakim yang sedang berkhidmat;

* Menangguhkan prosiding kerana keputusan semakan inkues masih belum diketahui.

Kesemua isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam-peguam TBH tidak dilayan oleh Pengerusi SSDR.

Ini kerana, semua permintaan dan pertikaian yang dibangkitkan peguam-peguam tersebut seakan-akan kebudak-budakan dan ketandusan modal.

Bukankah telah dijelaskan di peringkat awal bahawa SSDR ini hanya diberikan empoh masa selama 90 hari sahaja untuk memperlengkap proses siasatan dan perlu mengemukakan laporan lengkap kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya pada 25 April depan. Perkara ini jelas dan diterima oleh semua pihak.

Penetapan tempoh masa ini penting dan wajar kerana tanpa tempoh masa yang ditetapkan, ia akan berpanjangan tanpa arah tuju yang khusus.

Lihat apa yang berlaku pada inkues di mana hampir 18 bulan berjalan namun tiada keputusan.

Selama tempoh tersebut, pihak-pihak yang berkepentingan politik telah mengambil kesempatan secukupnya untuk meraih sokongan dan simpati segelintir masyarakat dengan pelbagai polemik politik.

Dalam hal ini, langkah Pengerusi SSDR menolak permintaan peguam atas alasan jadual yang ketat amatlah disokong.

Sekiranya kes TBH ini dianggap serius dan penting dalam menentukan keadilan, kenapa tidak peguam-peguam terbabit memberikan fokus dan tumpuan khusus tanpa memikirkan soal lain. Pokoknya, mereka sengaja melengah-lengahkan prosiding ini untuk tujuan lain.

Peguam bagi pihak keluarga juga mempertikaikan pelantikan tiga Timbalan Pendakwa Raya atas alasan mereka ini mungkin bias.

Jika dirujuk kepada seksyen 16, Akta 119 (Akta Suruhanjaya Siasatan) 1950, jelas membenarkan Pendakwa Raya dilantik bagi membantu ahli-ahli suruhanjaya untuk menjalankan tugas-tugas siasatan dengan dibekalkan kuasa polis.

Kenapa pula tiba-tiba dibangkitkan isu bias berhubung pelantikan ini.

Mereka hanya terlibat membantu ahli-ahli suruhanjaya dan bukannya menganggotai suruhanjaya dan terlibat dalam membuat keputusan.

Cuba bertanyakan secara rasional, dari mana boleh kita dapatkan pendakwa raya kalau bukan daripada Jabatan Peguam Negara.

Isu ini ditolak oleh Pengerusi SSDR. Ini membuatkan peguam keluarga TBH mungkin naik minyak dan terus mencabar pelantikan Pengerusi SSDR sendiri.

Isu yang mengatakan bahawa sebagai seorang hakim yang sedang berkhidmat, Tan Sri James Foong perlu menarik diri sebagai Pengerusi SSDR.

Dikatakan mereka peguam yang handal dan terkenal, tetapi isu-isu yang dipertikaikan jelas memperlihatkan kecetekan dan kedangkalan mereka sendiri.

Mujurlah ada wakil dari Persatuan Peguam (Bar Council) bangkit mempertahankan pelantikan Tan Sri James Foong sebagai pengerusi dengan menjelaskan bahawa tiada mana-mana undang-undang pun yang menghalang pelantikan pegawai yang sedang berkhidmat untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi SSDR.

Salah satu lagi isu yang sengaja dibangkitkan bertujuan untuk melengah- lengahkan prosiding SSDR ialah meminta akan prosiding ditangguhkan sehingga keputusan semakan inkues kematian TBH diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Usul ini turut ditolak oleh pengerusi.

Keputusan ini harus dipuji dan memperlihatkan ketegasan, pengalaman dan pengetahuan mendalam Tan Sri James terhadap undang-undang.

Peguam-peguam keluarga TBH harus faham bahawa terma rujukan (TOR) SSDR adalah dua aspek iaitu pertama mengkaji sama ada pegawai-pegawai SPRM mematuhi sistem dan prosedur yang ditetapkan dalam pengendalian siasatan; kedua menentukan punca kematian TBH.

Kenapa pula harus ditunggu keputusan inkues terhadap TOR pertama.

Bukankah lebih baik tumpuan diberikan kepada aspek sistem dan prosedur dahulu. Kemudian, setelah keputusan semakan diperoleh, maka TOR kedua bolehlah ditentukan, bukan begitu.

Apa pun keputusan peguam dan ahli keluarga TBH untuk memboikot prosiding suruhanjaya ini dilihat lebih kepada sandiwara dan bermotifkan politik. Kenapa perlu menangis teresak-esak di hadapan media.

Keluarga TBH harus memberi sokongan sepenuhnya kepada perjalanan prosiding SSDR dan bukannya bermain politik.

Prosiding ini adalah untuk mencari kebenaran. Bagaimana kebenaran dapat dijelmakan sekiranya proses mencari kebenaran disulami dengan taktik-taktik kotor dan dimasukkan elemen politik bagi menagih simpati rakyat.

Ini merupakan mainan politik kotor yang amat berbahaya dan rakyat perlu sedar akan perkara ini.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan