UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 23 Februari 2011

Penduduk tagih janji MB Khalid!

Penduduk Taman Suria berhimpun bagi menyatakan rasa tidak puas hati atas kegagalan kerajaan negeri memastikan sebuah kilang di kawasan itu tidak mengancam keselamatan mereka di Ijok, kelmarin.

KUALA SELANGOR - Pada penghujung tahun lalu, penduduk Taman Suria di Ijok dekat sini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap operasi sebuah kilang yang didakwa melepaskan bahan berbahaya ke udara dan saliran di kawasan itu.

Namun, isu tersebut dianggap selesai selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melawat ke kilang itu dan mengesahkan operasi kilang itu selamat kepada alam sekitar.

Pengarah urusan kilang berkenaan turut menafikan kilang itu mengeluarkan gas ammonia dan sisa toksik, sebaliknya menegaskan kilang itu mematuhi peraturan berkaitan alam sekitar yang ditetapkan.

Bagaimanapun, baru-baru ini, satu letupan berlaku di kilang itu dan letupan itu, dakwa penduduk, telah menyebabkan persekitaran kawasan perumahan diselubungi habuk putih

Atas rasa bimbang dan tidak puas hati dengan jaminan yang diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini, penduduk Taman Suria sekali lagi berhimpun untuk menyatakan bantahan mereka.

Penduduk mendakwa letupan di kilang tersebut berlaku pada 5.30 petang 28 Januari lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Suria, P. Jegan berkata, letupan tersebut adalah bukti bahawa kesihatan dan keselamatan penduduk di situ masih terancam.

Malah, katanya, ancaman yang mereka hadapi kini lebih besar dan berbahaya.

"Kami kesal kerana pelbagai pihak yang berjanji hendak membantu gagal menunaikan janji mereka dan letupan pada 28 Januari lalu membuktikan keselamatan kami belum terjamin.

"Apa yang lebih dikesalkan ialah Menteri Besar tidak menemui penduduk terlebih dahulu, sebaliknya terus menemui pihak pengurusan kilang itu menyebabkan masalah itu kini semakin berlarutan," katanya.

Beliau ditemui selepas sesi taklimat berhubung isu letupan kilang tersebut di dewan orang ramai Taman Suria di sini semalam.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, K. Partiban dan Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam.

Jegan berkata, Abdul Khalid sepatutnya bertemu penduduk terlebih dahulu sebelum membuat lawatan mengejut ke kilang tersebut agar pihaknya boleh menunjukkan bukti-bukti fizikal kesan pencemaran dari kilang itu.

"Tiga tahun lepas, pihak kami pernah bertanyakan apakah jarak yang selamat antara kawasan perumahan dan kawasan kilang.

"Ini kerana jika berlaku letupan, mungkin penduduk ada masa untuk menyelamatkan diri," katanya sambil menambah, nyawa penduduk lebih terancam jika letupan berlaku pada waktu malam.

Berikutan letupan yang berlaku pada hujung bulan lalu itu, Jegan berharap semua pihak yang berjanji untuk menyelesaikan masalah itu agar segera menunaikan janji mereka.

Katanya, pihaknya telah menjemput banyak pihak ke sesi taklimat itu termasuk Majlis Daerah Kuala Selangor, Jabatan Alam Sekitar dan Abdul Khalid tetapi hanya Partiban dan Manikavasagam yang muncul.

"Apakah ini petanda yang perjuangan penduduk akan terus berhadapan dengan kesukaran dan jalan berliku," soalnya.

Beliau juga menegaskan bahawa penduduk tidak gentar dengan ancaman disaman oleh pihak kilang terbabit kerana yakin berada di pihak yang benar berdasarkan bukti yang dikumpul semasa letupan baru-baru ini.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan