Apabila Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim menyokong cadangan DAP supaya dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu dimansuhkan, ramai termasuk penyokong pakatan pembangkang melihat ada sesuatu yang tidak kena berlaku.
Alasan yang diberi oleh Khalid begitu mudah, namun agak tidak masuk akal. Kononnya diskaun itu seharusnya digunakan untuk membantu golongan bumiputera memiliki hartanah. Sehari sebelum itu, Khalid turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sanggup membelanjakan sebanyak RM15 juta bagi menjayakan program propaganda di negeri itu bagi memastikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus berkuasa di Selangor.
Apa sudah jadi dengan Selangor? Tidak habis-habis pelbagai kemelut dan isu melanda pemimpin dan rakyat negeri itu.
Tidak cukup dengan isu pasir, rakyat Selangor diuji lagi dengan pembelanjaan yang begitu banyak untuk program propaganda dan yang terbaru, hak istimewa bumiputera untuk membeli rumah mewah dan harta komersial hendak dihapuskan. Adakah rakyat Selangor masih tidak sedar lagi dengan apa yang berlaku. Atau ada agenda pihak tertentu? Soalnya, mengapa isu diskaun bumiputera ini ditimbulkan oleh DAP.
Tidak mustahil juga jika isu ini sengaja dicadangkan oleh Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara untuk mengalih isu pasir yang kini 'menghantui' Kerajaan Negeri Selangor. Banyak suara membidas cadangan pemansuhan diskaun bumiputera itu kerana ia menggambarkan betapa rakusnya pakatan pembangkang menyisihkan hak-hak bumiputera secara senyap dan terang-terangan.
Apa yang mengejutkan, usaha segelintir pihak ini seolah-olah 'dihalalkan' oleh pemimpin negeri dengan alasan yang tidak sepatutnya diberikan. Rakyat Selangor boleh menilai semua ini dan perlu sedar bahawa adakah ini perubahan yang mereka mahukan?
Mereka boleh melihat bagaimana sebuah parti politik pembangkang yang baru tidak sampai sepenggal memerintah sebuah negeri, cuba menunjukkan kuasa. Kuasa yang cuba ditunjukkan itu adalah memansuhkan hak keistimewaan bumiputera. Ia kini hebat berlaku di Pulau Pinang dan kini beralih ke Selangor pula.
Kita percaya ramai ahli pakatan pembangkang, khususnya dalam Pas dan PKR tidak bersetuju dengan cadangan ini. Tetapi untuk membantah, tidak berani. Inilah yang dikatakan kuasa sebuah parti X itu. Mereka mampu mencadangkan sesuatu yang tidak berani disentuh oleh ahli pakatan mereka sendiri.
Malangnya, yang menjadi mangsa adalah kaum bumiputera Selangor apabila hak mereka akan dinafikan sekiranya cadangan ini diluluskan oleh kerajaan negeri. Selepas ini, sudah pasti hanya kaum-kaum tertentu sahaja yang mampu memiliki aset-aset mewah dan harta komersial di negeri Selangor.
Malah, ketika ini pun, bunga-bunganya sudah ada dan dapat dilihat, betapa wujudnya jurang yang besar antara orang Melayu dengan kaum lain di negeri itu. Akhirnya, jadilah bumiputera Melayu tergadai hak mereka di negeri sendiri. Puncanya, akibat terlalu percayakan kepada segelintir pihak yang kononnya boleh membawa perubahan!-UM.
Juragan Malawati..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan