UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 18 Julai 2010

Cuba bayangkan jika Melayu hilang kuasa!

PERINGATAN demi peringatan dikeluarkan tentang Melayu mungkin hilang kuasa pada pilihan raya umum akan datang. Lalu gesaan demi gesaan juga dilontarkan supaya orang Melayu dan Islam bersatu dan saling bekerjasama.

Sejak selepas Pilihan Raya Umum 1999 lagi, seruan supaya orang Melayu yang telah pecah kepada tiga kelompok - Melayu yang menyokong UMNO, Melayu yang sokong Pas dan Melayu yang bersimpati kepada Anwar Ibrahim dan PKR - kembali bersatu demi agama, bangsa dan negara.

Tetapi hasilnya sia-sia. Sampai sekarang pun banyak usaha ke arah perpaduan Melayu dianjurkan - namun masih menghampakan.

Terbaru peringatan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan terhadap UMNO dan Pas yang masih gagal meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hingga boleh memberi kesan buruk dan mungkin hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Jika perkara itu terjadi maka akan berlaku satu bentuk penjajahan baru. Kita boleh bayangkan apabila tampuk pemerintahan Malaysia bukan lagi di tangan orang Melayu dan Islam.

Perkara-perkara yang menjamin hak Melayu dan bumiputera, agama Islam, Institusi Raja-Raja Melayu akan dirombak dan diganti dengan sistem yang merugikan orang Melayu dan Islam.

Ketika ini, perkara yang kita bimbang itu belum berlaku lagi. Tetapi ia boleh berlaku seperti dalam pilihan raya umum yang lepas apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang. Mujur Kerajaan Negeri Perak kembali ditadbir oleh Barisan Nasional.

Jangan kita fikir 'kejutan' ini tidak akan berlaku lagi. Jangan juga kita anggap selama-lamanya orang Melayu tidak akan hilang kuasa di tanah airnya ini?

Ingatlah, sekarang Malaysia bukan milik orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja. Ia juga kepunyaan kaum bukan bumiputera.

Walaupun kita mempunyai perlembagaan serta raja-raja yang akan menjaga dan memelihara hak kita, tetapi semua itu boleh diubah apabila Melayu hilang kuasa. Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda mengikut kehendak siapa yang memegang kuasa majoriti ketika itu.

Sebab itu kita amat bimbang apabila orang Melayu/ Islam berpecah. Undi untuk calon Melayu sudah tentu berpecah, maka apa yang selama ini kita pertahankan mungkin tidak akan bermakna lagi.

Pentadbiran sebelas bulan pakatan pembangkang di Perak yang dikuasai DAP, contoh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Walaupun ada Menteri Besar daripada orang Melayu tetapi penjagaan hak-hak Melayu diketepikan. Menteri Besar Melayu ketika itu hanya menjadi boneka kerana Pas tidak banyak kerusi dalam kerajaan campuran negeri itu.

Orang Melayu dapat merasai betapa tidak selesanya apabila pentadbiran dikongsi bersama dengan kaum yang tidak mahu memahami adat dan agama yang dianuti oleh Melayu.

Usaha untuk memecah-belahkan orang Melayu dan Islam akan terus dilakukan oleh musuh dalam selimut. Melayu kena berwaspada kerana apabila kita hilang kuasa, perkara dalam undang-undang negeri boleh diketepikan sesuka hati. Bayangkan apa kemungkinan yang berlaku jika perubahan berlaku di peringkat Parlimen?

Oleh itu, pemimpin-pemimpin Melayu terutama dalam UMNO dan Pas perlu mencari titik temu dan meletakkan faktor keutamaan di tempat yang betul.

Sebagaimana disarankan oleh Mufti Perak itu agar UMNO dan Pas perlu memberi keutamaan pada agama dahulu berbanding politik. Malah kenapa kita harus bermusuhan sedangkan Islam tidak menyuruh kita membenci sesama umat sebaliknya diseru kasih-mengasihi sesama ummah. Bersatulah Melayu sebelum nasi menjadi bubur!-UM.

Juragan Malawati..

1 ulasan:

  1. Salam B&B..
    Saya dah buka blog tuan. Tapi agak sukar untuk membaca. Tulisan terlalu kecil. Walau bagaimanapun teruskan perjuangan Tuan..insyaAllah..

    BalasPadam