UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 2 September 2015

Tidak malukah kamu?

PERHIMPUNAN haram Bersih 4.0 turut menggunakan kanak-kanak sambil membawa poster yang tertera perkataan tidak sopan.

Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh penganjur Bersih berikutan kemampuan mereka mengumpul ribuan orang dalam perhimpunan haram di ibu negara pada Sabtu dan Ahad lalu.

Sebaliknya pemimpin-pemim­pin seperti Maria Chin Abdullah, S.Ambiga, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng serta pemimpin Bersih lain perlu merasa malu dengan apa yang berlaku sepanjang perhimpunan tersebut berlangsung.

Apa yang hendak dibanggakan kalau yang hadir itu majoritinya kaum Cina sedangkan penganjur mendabik dada mengatakan ia ‘perhimpunan rakyat’?

Kalau istilah ‘rakyat’ digunapakai, maka ia mesti merangkumi semua kaum. Itupun masih ramai kaum Cina tidak mahu menyertai perhimpunan yang tidak berfaedah tersebut, malah orang Melayu dengan tegas menolaknya.

Tidak malukah mereka, apabila jutaan rakyat Malaysia lain tetap menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh patriotik tanpa mempedulikan kejahilan kelompok yang menyokong Bersih?

Tidak rasa bersalahkah penganjur atau pemimpin politik yang menjayakan perhimpunan haram berkenaan, apabila sanggup memilih tarikh ketika rakyat Malaysia mahu menyambut kemerdekaan bagi melaksanakan agenda politik mereka?

Wajarkah kemeriahan sambutan kemerdekaan dicemari dengan satu perhimpunan yang cukup menjijikkan di Dataran Merdeka yang saban tahun dikhususkan bagi seluruh rakyat Malaysia melahirkan kecintaan kepada tanah air?

Di manakah rasa tanggungjawab penganjur dan pemimpin terlibat apabila persiapan terakhir untuk menyambut Hari Kebangsaan 2015 terjejas berikutan ribuan manusia berkumpul dan terpekik terlolong ketika persiapan sedang giat dijalankan bagi perarakan hari kebangsaan?

Patutkah penganjur dan pemimpin terlibat berasa bangga, kalau sambutan Ambang Kemerdekaan 2015 terpaksa dipindahkan ke Stadium Bukit Jalil, akibat kejahilan peserta-peserta Bersih menghormati hak orang lain untuk menyambut kemerdekaan?

Tidak malukah penganjur dan pemimpin politik terlibat apabila mereka melaung memperjuangkan demokrasi dan hak dalam undang-undang sedangkan mereka sendiri melanggar apa yang terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman 2012?

Seronokkah indvidu-individu seperti Maria Chin Abdullah menyak­sikan bagaimana pelbagai perbuatan biadab berlaku sepanjang perhimpunan haram itu diadakan termasuklah mempromosikan aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)?

Di mana maruah Mohamad Sabu yang akan menerajui sebuah parti yang kononnya membawa wadah Islam membiarkan perbuatan kurang ajar peserta Bersih memijak-mijak gambar pemimpin yang sebangsa dan seagama dengan beliau?

Dari sudut perundangan manakah yang difikirkan oleh Ambiga apabila membiarkan sahaja kanak-kanak dieksplotasi dalam perhimpunan haram tersebut? Termasuk diminta baring di atas jalan raya dan membawa sepanduk yang tertera perkataan lucah?

Demokrasi apa yang diperjuangkan oleh Kit Siang dan Guan Eng apabila menjadikan perhimpunan haram seumpama itu sebagai paltform untuk memaki-hamun pemimpin negara?

Sebenarnya, perhimpunan haram yang menyaksikan pelbagai gelagat memual dan menjijikkan itu tidak akan berlaku jika ada ketegasan di pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sepatutnya melakukan langkah mencegah ia daripada berlaku.

Adakah amaran KDN bahawa ia satu perhimpunan haram dipatuhi? Adakah larangan KDN memakai baju tertera perkataan Bersih melanggar undang-undang diikuti?

Apakah langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman-laman web mempromosi Bersih berjaya?

Tidakkah kalau dilihat kepada apa yang berlaku ketika perhimpunan berlangsung ia membuktikan segala, usaha amaran dan peringatan itu ibarat ‘mencurah air ke daun keladi sahaja?

Kenapakah KDN boleh membenarkan perhimpunan haram berkenaan diteruskan juga walaupun ia jelas bertentangan dengan undang-undang? Tidakkah undang-undang sepatutnya dikuatkuasakan dan bukan sekadar berkisar soal memberi amaran dan peringatan sahaja?

Bagaimana pula dengan syarikat-syarikat tertentu yang menjadi ‘penaja’ kepada perhimpunan haram tersebut? Apakah mereka harus dibiarkan bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan kerana menyokong satu kegiatan yang menyalahi undang-undang?

KDN perlu memburu syarikat berkenaan, haramkan mereka mendapat sebarang projek daripada kerajaan dan dedahkan penglibatan mereka secara terbuka.

Kini Maria Chin sudah membuat kenyataan, tidak menolak kemungkinan mengadakan Bersih 5?

Matlamatnya kali ini jelas iaitu menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Kenapakah ada keberanian sedemikian?

Segalanya kerana mereka tahu tiada siapapun yang berani bertindak tegas terhadap perlanggaran undang-undang yang dilakukan, paling tinggipun sekadar pengisytiharan ia perhimpunan haram. Tindakan entah ke mana!

Sesungguh tiada apa yang harus dibanggakan dengan perhimpunan haram tersebut selain memaparkan kebiadaban, kejahilan dan kecetekan sekelompok manusia untuk mematuhi undang-undang dan menghormati hak rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan dengan penuh kegembiraan.

Juragan Malawati...

Rabu, 12 Ogos 2015

#ASEANUNITYRUN2015 AMAN MALAYSIA GEGAR PADANG MERBOK


Program bersempena Hari Asean anjuranAman Malaysia itu mendapat sambutan hampir 10-ribu peserta melibatkan lebih 20 negara Asean.Program anjuran Aman Malaysia itu membuktikan acara sukan bukan saja dapat menyatukan rakyat Malaysia tetapi juga mengeratkan hubungan antara negara anggota kumpulan serantau berkenaan.Lebih 33-ribu ringgit berjaya disumbangkan kepada Unicef hasil Tabung Amal menerusi larian Asean Unity 2015,


Presiden Aman Malaysia, Datuk Mohamed Hazali Abu Hassan berkata acara berkenaan mampu mempromosi nilai-nilai ASEAN, perpaduan dan harmoni dalam kalangan negara anggota.dan mencapai objektif kita dalam membantu untuk menjalin hubungan lebih erat dan perpaduan dalam kalangan komuniti sementara memberi peluang kepada rakyat pelbagai lapisan dan peringkat umur untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ini secara aktif dan cergas














Juragan Malawati...

Sabtu, 21 Februari 2015

SEBAB UMNO - PAS PERLU BEKERJASAMA!


British menjajah Semenanjung Tanah Melayu daripada orang Melayu.

Orang Cina dan India datang dengan ramainya, mula-mula untuk mencari kekayaan dan pulang ke negera asal, tetapi akhirnya terus tinggal di Tanah Melayu. Orang Melayu bersatu menentang Malayan Union, ancaman pengganas komunis dan menuntut “kemerdekaan tanah air”.

Orang bukan Melayu menyertai pergerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka nampak kemerdekaan akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka selepas Merdeka. Pas ditubuh apabila Haji Ahmad Fuad Hassan kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO kepada Tunku Abdul Rahman Putra, mulanya sebagai satu cabang UMNO tetapi kemudiannya bertanding dalam PRU-1955.

Semasa Perlembagaan Persekutuan sedang digubal, Pas menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan “Negeri Melayu” (bersultan) untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Parti Komunis Malaya (majoriti orang Cina) mengangkat senjata untuk menubuh sebuah kerajaan Komunis ala-China. Parti Buruh (majoriti orang Cina) menuntut supaya “Negeri-Negeri Melayu” dihapuskan untuk mengelak “Malaya” yang merdeka menjadi sebuah “Negara Feudal”.

Orang Cina mahukan dua warganegara (dual-citizenship), Malaya dan China dengan warganegara China sebagai warganegara utama. Ada satu kumpulan orang Cina di Pulau Pinang yang tidak mahu Pulau Pinang merdeka dalam Tanah Melayu. Mereka mahu kekal di bawah jajahan British seperti Hong Kong.

Oleh sebab British menjajah Tanah Melayu daripada orang Melayu, logiknya ia dipulangkan kepada orang Melayu (seperti Brunei). Tetapi, orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu. Hasil tolak ansur persetujuan dicapai. Kandungannya tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, kerakyatan diberi kepada orang bukan Melayu.

Beberapa perkara yang dituntut oleh orang Melayu seperti, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, jaminan mengenai “hak keistimewaan orang Melayu” (Perkara 153), Regimen Askar Melayu dan Tanah Simpanan Melayu juga dipersetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam PRU 1955, kawasan majoriti pengundi Melayu diberi kepada calon bukan Melayu daripada parti komponen Perikatan untuk bertanding bagi melebihkan bilangan ahli Parlimen bukan Melayu. Amalan ini berterusan untuk memastikan mereka mencapai kemenangan, sebab jika mereka bertanding dalam kawasan majoriti bukan Melayu (Cina), mereka akan kalah.

Sebaliknya, Perikatan atau Barisan Nasional tidak pernah meletak calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu, sebab pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi calon Melayu. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu merdeka. Pada malam itu warganegara bertambah sekali ganda, akibat orang bukan Melayu menjadi warganegara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah sebanyak 84.2 peratus, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun selepas merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1 peratus.

Pas menentang penubuhan Malaysia, apatah lagi Singapura, kerana khuatir akan menjejas hak orang Melayu dan kududukan agama Islam. Selama lebih kurang tiga dekad selepas penubuhannya, Pas telah memainkan peranan yang berfaedah kepada bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia. Pas tidak terlalu besar untuk menjadi ancaman kepada UMNO di peringkat Persekutuan. Pengaruhnya tertumpu di Pantai Timur. Tidak ada perbezaan kepada orang Melayu dan agama Islam sama ada UMNO atau Pas memerintah Kelantan. Lagi pula, adanya Pas menyebabkan UMNO lebih berhati-hati berkenaan isu Melayu dan Islam.

Selama lebih kurang lima dekad semenjak merdeka, kecuali dalam 1969, tidak ada cabaran serius terhadap hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Sebabnya, sebilangan besar orang Melayu menyokong UMNO, kerajaan Persekutuan teguh di bawah Barisan Nasional dan UMNO dapat mengawal parti-parti sekutunya daripada membuat tuntutan-tuntutan yang melampau.

Negara aman dan makmur. Semua orang menikmati taraf kehidupan (standard of living) yang lebih tinggi.Keadaan berubah dalam masa lebih kurang sepuluh tahun kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah tiga. Melihat keadaan itu, orang Cina yang memang pandai membuat perkiraan dan pakatan, bersatu di belakang DAP. PKR dan Pas setuju bekerjsama dengan DAP. Akibatnya, pengundi bukan Melayu menjadi suara penentu dalam pilhan raya.

Merasai mereka telah kuat, orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, mula membuat tuntutan-tuntutan yang melampau dan mencabar hal-hal mengenai agama Islam, termasuklah khutbah Jumaat. Mereka tidak puas hati dengan “keistimewaan” yang dinikmati oleh orang Melayu. Mereka mahu semuanya dibahagikan secara “sama rata”. Mereka tahu jika dibuat demikian, merekalah yang akan membolot segala-galanya kerana mereka mengawal ekonomi, kaya dan lebih maju dalam semua bidang. Sebenarnya mereka mahu hak orang Melayu tanpa mengorbankan hak mereka.

Jika Pakatan Rakyat (termasuk Pas) dapat menubuh kerajaan di peringkat Persekutuan, DAP yang akan menjadi parti dominan. PKR tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dipandang serius oleh DAP. Pas lagilah tidak akan “didengar” oleh DAP. Kerajaan Pakatan Rakyat semestinya akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Orang Cina bersatu di belakang DAP kerana DAP menjanjikan sesuatu yang lebih dan kerana mereka mahu lebih daripada yang mereka peroleh di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Dari mana bahagian “yang lebih” itu akan datang? Semestinya daripada bahagian orang Melayu.

Mungkin mereka tidak akan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja (di mana diperlukan) untuk meminda Perlembagaan. Sambil itu kita mesti waspada tentang kemungkinan mereka akan melakukan perubahan kepada kawasan Parlimen dengan menambah bilangan kerusi di kawasan Cina yang padat penduduknya. Namun demikian, perlu diingat bahawa hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam boleh dihakiskan secara pentadbiran sahaja.

Sebagai misalan, peruntukan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan hanya memberi manfaat jika dan apabila kerajaan yang memerintah melakukan sesuatu untuk meletakkan agama Islam di tempat yang sesuai dengan kedudukan itu. Apa yang kita lihat hari ini, baik universiti-universiti, institusi-institusi dan jabatan-jabatan Islam; institusi-institusi kewangan Islam dan pembangunan perbankan dan kewangan Islam; pengajaran mata pelajaran agama Islam dari tadika hingga ke universiti, masjid-masjid, rancangan-rancangan agama di televisyen dan radio dan serta lain-lain adalah hasil daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selama ini. Jika tidak dilakukan, tidak akan ada apa-apa, hanya peruntukan dalam Perlembagaan.

Manfaat

Demikian juga dengan peruntukan mengenai hak-hak orang Melayu. Jika kerajaan yang memerintah tidak berbuat apa-apa, tidak ada apa yang akan dinikmati oleh orang Melayu. Kita menikmati faedahnya hari ini kerana kerajaan telah mengadakan berbagai-bagai rancangan seperti Dasar Ekonomi Baru dan menubuhkan pelbagai badan seperti Permodalan Nasional Berhad, Skim Amanah Saham Nasional, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Mara, Felda, RISDA, Felcra, UDA, Pernas, DARA, Jengka, Ketengah, Kesedar dan lain-lain. Kerajaan juga telah menetap dan melaksanakan dasar mengenai pemberian biasiswa, pengambilan pegawai-pegawai kerajaan dan lain-lain. Tanpa ini semua, peruntukan-peruntukan itu tidak bermakna.


Semenjak merdeka, melalui dasar dan tindakan kerajaan Perikatan dan, kemudiannya Barisan Nasional, orang Melayu/Islam telah menikmati faedah peruntukan-peruntukan itu. Saya tidak fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan atau akan dapat melakukan perkara yang sama. Ertinya, hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam akan terhakis jika kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO, tumbang.

Demi mengelak perkara itu berlaku, kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan mestilah dipertahankan. Pada pendapat saya cara yang paling mudah ialah: Jika selepas PRU-14, didapati kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan akan tumbang, Pas hendaklah menyertai kerajaan Barisan Nasional, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan untuk menyelamatkannya. Pas mesti sedar bahawa kerjasama dengan DAP dan PKR akan mengorbankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Pas perlu sedar bahawa, dalam konteks Malaysia, apa yang menguntungkan orang Melayu akan menguntungkan umat Islam dan apa yang merugikan orang Melayu akan merugikan umat Islam. Demikian juga, apa yang menguntungkan umat Islam akan menguntungkan orang Melayu dan apa yang merugikan umat Islam akan merugikan orang Melayu,

Sebenarnya, pada masa ini, antara UMNO dan Pas sudah tidak ada apa-apa perbezaan ideologi lagi untuk menghalang kerjasama itu. Yang menjadi penghalang hanyalah kekhuatiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong masing-masing jika kerjasama itu akan menggugat kepentingan diri mereka. Selain daripada itu adalah isu-isu yang dipolitikkan kerana mudah, murah dan popular untuk membezakan UMNO dengan Pas dan memancing undi, misalnya assabiah dan hudud.

Pas telah memerintah Kelantan selama lebih kurang 40 tahun. Apa bezanya Kelantan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia? Undang-undang yang dipakai di Mahkkamah Syariah di Kelantan seperti Enakmen Acara Mal, Enakmen Acara Sivil dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dibuat semasa pemerintahan Barisan Nasional dan saya menjadi Penasihat Undang-Undangnya. Memang ia telah diganti tetapi, dari segi isi kandungannya, itu hanya pengemaskinian yang dilakukan untuk menyelaraskan dengan undang-undang yang dipakai di negeri-negeri lain yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Jika Kelantan “lebih Islam” daripada negeri-negeri lain dan orang Kelantan mahu berada dalam sebuah “negara Islam”, mengapa orang Kelantan yang paling banyak berhijrah ke negeri-negeri lain unuk mencari makan?

UMNO juga perlu menangani masalah persepsi rasuah yang tinggi dalam kalangan pemimpinnya, faktor utama mengapa orang Melayu “bencikan” UMNO, sama ada persepsi itu betul atau tidak.

Maka, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas yang sama-sama Melayu dan Islam, yang sama-sama untung dan rugi, perlulah menumpukan perhatian kepada ancaman besar yang berada di hadapan mereka, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Mereka patutlah mengetepikan dahulu perbezaan yang diada-adakan untuk tujuan politik dan menumpukan usaha untuk menyelamatkan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Dengan cara yang saya cadangkan ini, UMNO dan Pas masing-masing boleh kekal seperti sekarang sebagai parti politik yang berasingan. (Saya tidak nampak kemungkinan Pas menyertai Barisan Nasional dalam masa yang terdekat.) Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, Pas patut keluar dari Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat merugikan orang Melayu dan umat Islam. Di peringkat negeri, Pas boleh bertanding bersendirian. Pas boleh memerintah negeri-negeri yang dimenanginya secara bersendirian.

Tetapi, untuk mengelak sesebuah negeri terjatuh kepada DAP dan PKR, misalnya Perak, Pas patut bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk menubuh kerajaan campuran. Di peringkat Persekutuan, Pas boleh memilih untuk menyertai Kabinet dan duduk bersama wakil-wakil rakyat Barisan Nasional di Parlimen. Atau, mereka tidak menyertai Kabinet dan duduk berasingan di Parlimen seperti ahli-ahli “bebas” tetapi, dalam isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, mereka akan menyokong kerajaan Barisan Nasional.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD - PENULIS ialah bekas Ketua Hakim Negara

Juragan Malawati...

Jumaat, 2 Januari 2015

Keprihatinan PM resahkan lawan!


Kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang bertemu dengan mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak selama enam hari tanpa henti sejak pulang dari Amerika Syarikat (AS) pada 26 Disember lalu sudah pasti meresahkan para pemimpin pembangkang.

Walaupun ada dalam kalangan puak-puak pembangkang masih mahu mencetuskan isu tetapi ia sama sekali tidak akan mampu menutupi keprihatinan Perdana Menteri yang berkunjung dari satu negeri ke satu negeri untuk meninjau situasi banjir dan menemui mangsa-mangsa.

Malah Najib bukan sekadar membuat kunjungan kosong, sebaliknya beliau berkongsi kesedihan dengan mereka dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan segala termampu bagi meringankan beban mereka.


Najib melawat Kelantan sebanyak tiga kali, Pahang dua kali (termasuk ketika gelombang pertama), masing-masing sekali di Perak dan Pahang. Semua daerah yang menerima kesan bencana itu dilawati. Keprihatinan yang sama ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau juga melawat negeri-negeri yang terlibat.

Seperti biasa tiada pujian yang akan dihamburkan oleh para pemimpin pembangkang. Mereka yang mengaku kononnya juara membela nasib rakyat hanya tahu mengkritik dan bercakap kosong termasuk mengeluarkan kenyataan yang sudah tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa biarpun ‘batang hidungpun tak nampak’ meninjau mangsa.

Pada mulanya, pembangkang yang terkenal dengan sikap suka membuat tuduhan membuta tuli mengkritik Najib apabila The Washington Post menyiarkan gambar beliau bermain golf dengan Barack Obama atas jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS). Tanpa tahu hujung pangkal, bagaikan orang meraba dalam kegelapan, tohmahan dilemparkan.


Tetapi ternyata apabila Najib tanpa mengenal penat lelah bersama Muhyiddin meredah banjir untuk menemui rakyat, pembangkang kelu tidak terkata, melontarkan pujian jauh sekali. Apa yang mereka tahu ialah mengkaji apa kenyataan kedua-dua pemimpin itu yang boleh dipolitikkan.

Itulah sikap politik kelas rendah (low class) yang diamalkan oleh pemimpin pembangkang. Mereka tidak melihat apa yang dilakukan oleh Najib dan Muhyiddin sebagai tanda keprihatinan kedua-dua pemimpin tersebut.

Pelbagai hujah dikeluarkan kerana mereka seolah-olah melihat tindakan Najib bukan meninjau satu malapetaka yang menimpa rakyat sebaliknya boleh mendatangkan malapetaka politik kepada mereka.

Namun lawatan Najib sama sekali tidak menilai sama ada ia kawasan pembangkang atau tidak, pengundi Barisan Nasional (BN) atau bukan tetapi ini soal musibah dan malapetaka yang menjadi kewajipan kepada semua pihak untuk berganding bahu membantu mangsa-mangsa.


Oleh itu kepada para pemimpin pembangkang, cukup-cukuplah berpolitik. Sampai bila mahu memperkecilkan segala usaha kerajaan hinggakan banjir pun mahu menjadi modal politik. Bagaimanapun kita percaya, apa yang dilakukan oleh Najib tidak akan dilihat dari sudut politik kepada mereka yang mahu berfikir, sebaliknya ia membuktikan itulah keprihatinan Najib yang memimpin sebuah kerajaan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Untuk pemimpin atau penyokong pembangkang, percayalah usaha mereka memperkecilkan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri tidak akan ke mana memandangkan suku juta rakyat yang menjadi mangsa banjir tahu menilai, siapa yang menggunakan politik untuk membela rakyat dan siapa pula memperalat rakyat untuk berpolitik.

Juragan Malawati..

Rabu, 10 Disember 2014

Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor Ke-69


DAULAT TUANKU

SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ D.K.,D.M.N., D.K.( Terengganu ), D.K. Kelantan ), D.K.( Perak ), D.K.( Perlis ), D.K.( Negeri Sembilan ), D.K.( Kedah ), D.K.( Johor ), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J.

SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA

Sembah Tahniah Dan Ucap Selamat

SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN YANG KE 69 DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR PADA 11 DISEMBER 2014 BERSAMAAN 18 SAFAR 1436 HIJRIAH

SEMBAH TAKZIM DARIPADA

Admin 
Blog UMNO KUALA SELANGOR

Ahad, 7 Disember 2014

Titah Sultan - Waspada ajaran sesat.


KUALA SELANGOR - Sultan Selangor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan umat Islam supaya sentiasa peka dan tidak memandang ringan kegiatan ajaran sesat yang boleh memecahbelahkan serta mencetuskan persengke­taan.

Baginda bertitah, umat Islam perlu sentiasa berwaspada terhadap mereka yang cuba mempengaruhi mereka untuk mengembangkan ajaran dan fahaman sesat.

Menurut baginda, sekiranya ma­syarakat tidak peka dan tidak memberi kerjasama membendung kegiatan itu, dikhuatiri ia akan bergerak secara kecil-kecilan sebelum berkembang sehingga sukar dibendung.

“Perkembangan ajaran sesat boleh mengelirukan serta memesongkan akidah umat Islam di negeri ini. Akibatnya, umat Islam akan berpecah belah, hidup dalam suasana persengketaan dan tidak dihormati oleh masyarakat lain.

“Sehubungan itu, laporan atau aduan perlu dikemukakan kepada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid untuk dipanjangkan kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Ar-Ridhuan bersempena ulang tahun keputeraan baginda ke-69 di Simpang Empat, Jeram di sini hari ini.


Yang turut hadir Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi; Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd. Saad.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan supaya JAIS memastikan penceramah dan tenaga pengajar berkenaan agama Islam mempunyai tauliah yang diiktiraf selain mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

“JAIS perlu mengawasi semua aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau supaya penyebaran ajaran sesat dapat dipantau dan diambil tindakan serta-merta sebelum perkara tersebut semakin berleluasa,” titah baginda.

Sementara itu, Ahmad Zaharin berkata, pembinaan masjid dengan kos RM6.4 juta itu dibuat bagi menggantikan masjid lama yang berdepan masalah kesesakan dan menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan jemaah terutamanya waktu solat Jumaat dan hari raya.

“Masjid ini lengkap dengan prasarana dan kemudahan seperti ruang solat yang luas, bilik mesyuarat, bilik pengurusan jenazah, bilik wuduk muslimin dan muslimat, alat pendingin hawa dan padang futsal.

“Masjid ini mampu menampung jemaah sehingga 2,000 orang dalam satu masa dan turut menyediakan 100 ruang tempat letak kenderaan,” jelasnya.

Juragan Malawati..

Selasa, 25 November 2014

DAP akui protes senyap kepada Pas, 
cadangkan calon Timbalan Speaker DUN?

Ng Suee Lim

Tindakan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang mencalonkan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim sebagai Timbalan Speaker DUN adalah sebagai tanda protes senyap parti tersebut kepada Pas negeri.

Perkara itu diakui oleh Suee Lim yang mengatakan percalonan itu telah diputuskan dalam mesyuarat DAP negeri sejak sebulan lalu.

“Salah satu sebab DAP mengemukakan calon (adalah) kerana kecewa dengan pendirian Pas dalam isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


“Tindakan ini juga dibuat sebagai protes kepada Pas dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebelakangan ini dilihat membuat tindakan tidak selari dengan semangat pakatan dan sering mengambil tindakan sendiri seperti tidak hadir mesyuarat,” katanya ketika ditemui di lobi DUN di sini hari ini.

Dalam pencalonan tersebut, ADUN Bangi, Dr. Shafie Ngah dari Pas mendapat 28 undian manakala ADUN Sekinchan 14 serta satu undi rosak manakala pembangkang iaitu Barisan Nasional mengambil keputusan untuk tidak mengundi dan berkecuali.

Isu itu bermula berikutan keputusan Pas Selangor meneruskan sokongan terhadap Abdul Khalid dengan menghadiri mesyuarat Exco yang dipengerusikan bekas Menteri Besar Selangor itu, walaupun PKR dan DAP mendesak Pas memboikot Abdul Khalid.

Juragan Malawati..

Jumaat, 14 November 2014

Khalid Bakal Kembali Semula, Mula Langkah Dengan NGO!


Arfa’eza Abdul Aziz memaklumkan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan meletak jawatan ADUN Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan berazam untuk meneruskan karier politiknya di Selangor.


Bekas Menteri Besar Selangor itu akan memulakan langkahnya dengan NGO Sajian Rakyat, lapor Arfa’eza yang juga Setiausaha Akhbar Khalid.


Pada Isnin lepas, The Malaysian Insider melaporkan selepas dua bulan menghilang, Khalid dijangka bakal menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Taski bagi melaksanakan program “Sajian Rakyat” yang dirancangnya.

Perkara itu disahkan kepada The Malaysian Insider oleh individu yang terlibat secara langsung dalam mesyuarat antara ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bersama PAS yang dijalankan minggu lalu Taman Jaya, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur berhubung penubuhan NGO tersebut.

“Khalid akan bergerak menggunakan NGO dan beliau meminta bantuan PAS Bandar Tun Razak untuk melaksanakannya,” kata Roslan Baharom , 59, kepada The Malaysian Insider

Roslan yang ditemui ketika tinjauan di kawasan Parlimen yang dimenangi Khalid dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu berkata, PAS Wilayah Persekutuan turut memberikan kebenaran cawangan parti Islam dalam komponen Pakatan Rakyat (PR) itu membantu Khalid.

Roslan, yang merupakan wakil masyarakat dari Zon C di Bandar Tun Razak berkata, tindakan PAS dan Khalid bergerak atas nama NGO itu bertujuan bagi mengelakkan berlakunya krisis antara PKR dan PAS, selepas Khalid dipecat sebagai anggota PKR pada 9 Ogos lalu.

“Kita bergerak menggunakan nama NGO, bukan mewakili parti,” kata pesara kakitangan awam itu.

Beliau berkata, antara rancangan Taski adalah menganjurkan Sajian Rakyat seminggu sekali dengan peruntukan sebanyak RM5,000 yang diperuntukkan Khalid untuk setiap program.

“Kita belum membuat keputusan. Kalau seminggu sekali kami tidak sanggup, kami ada program sendiri juga,” kata Roslan.

“Tetapi itu peruntukan daripada Khalid sendiri,” katanya.

Lokasi pertama Sajian Rakyat juga katanya dijangka akan dilakukan di kawasan perumahan Flat Paya Permai.

“Mesyuarat sudah dijalankan beberapa kali dan saya sendiri hadir dalam mesyuarat penubuhan NGO itu,” katanya.

Turut difahamkan, Taski bakal digerakkan 15 individu yang pernah bekerja bersama-sama Khalid ketika beliau menjadi menteri besar Selangor sebelum ini.


Mereka termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Faekah Husin, yang kini merupakan pegawai khas Khalid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Faekah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata Khalid masih lagi ingin memberikan khidmatnya kepada rakyat, dan akan meneruskan tugas wakil rakyat selepas berehat selama dua minggu.

Khalid dipecat sebagai ahli PKR apabila enggan melepaskan jawatan menteri besar Selangor, apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin menggantikan beliau dengan isterinya, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Krisis berkenaan turut memberi kesan kepada hubungan PAS dengan PKR dan DAP apabila parti Islam itu enggan mencalonkan Dr Wan Azizah sedangkan PKR dan DAP bersepakat menamakan beliau sebagai calon tunggal.

PAS sebaliknya menurut titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengkehendaki PR menghantar lebih daripada dua nama untuk baginda pertimbangkan sebagai menteri besar bagi menggantikan Khalid.

Krisis berkenaan tamat apabila Mohamed Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR dilantik menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

“Beliau (Khalid) juga dijangka bakal membuka pusat khidmat rakyat tidak lama lagi di Bandar Tun Razak,” kata Roslan.

Faekah dilaporkan berkata, Sajian Rakyat akan bermula minggu hadapan sebagai usaha Khalid mendekati komuniti dan rakyat di kawasannya dan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat.

Malah, Faekah juga menolak khabar angin yang mengatakan Khalid akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat di DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Juragan Malawati..

Selasa, 11 November 2014

Kepemimpinan UMNO Selangor harus berubah?


Sudah sampai masanya barisan kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO Se­langor diubah bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu sebagai tanda ketanggungjawaban mereka ekoran kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan sedemikian diyakini mengembalikan semula kepercayaan para pengundi di negeri tersebut terhadap UMNO.

“Saya sendiri meletakkan jawatan dalam parti kerana mahu beri peluang kepada muka-muka baharu yang lain. Kalau hendak jadi pemimpin seumur hidup, payahlah macam itu.

“Saya percaya apabila kita sudah terlampau lama memimpin dan tidak berjaya, (kena) bagilah jawatan itu kepada orang lain. Kita kenalah sokong orang yang baharu pula,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kuala Lumpur 2014, di sini hari ini.

Persidangan tiga hari yang bermula hari ini itu dihadiri lebih 30 peserta dari Sudan, Turki, Jordan, Algeria, Indonesia, Maghribi, Mesir dan Malaysia.

Dr. Mahathir melalui laman blognya, chedet.cc pada 5 November lalu meminta kepemimpinan UMNO Selangor mengikis imej sebuah parti yang rasuah dan menyarankan agar mereka menjalani hidup sederhana.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menjelaskan beliau sekadar memberi pandangan berhubung isu kepemimpinan UMNO Selangor dan terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan.

“Kalau tidak mahu terima pandangan saya itu terpulanglah,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, hakim Mahkamah Sivil dan Syariah disaran duduk semeja membincangkan isu tersebut sebelum keputusan dibuat.

Dr. Mahathir menambah, kajian mendalam mengenainya juga perlu dibuat dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak kerana transgender merupakan isu rumit berikutan membabitkan imej, identiti dan kecenderungan seseorang tidak kira lelaki atau wanita.

“Kita harus ingat ada manusia yang lahir dengan tidak tentu jantinanya. Ada yang lelaki tetapi nampak macam perempuan dan ada juga perempuan yang nampak macam lelaki.

“Perasaan mereka juga berbeza-beza termasuklah cara berpakaian,” katanya.

Juragan Malawati..

Khamis, 6 November 2014

Azmin terus kritik Khalid?


‘Kemarahan’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali terhadap Tan Sri Abdul Khalid ternyata belum reda apabila beliau menjadikan majlis rasmi kerajaan negeri sebagai medan untuk mengkritik pentadbiran bekas menteri besar itu.

Semasa berucap dalam majlis pelancaran Pelan Tindakan dan Program Gotong-Royong Mega bertemakan Terjah dan Musnah Negeri Selangor 2014 di sini hari ini, Mohamed Azmin secara sinis mengkritik pe­ngu­rusan kerajaan ne­geri sebelum ini yang tidak menggunakan sepenuhnya peruntukan bagi menyelesaikan masalah rakyat seperti penyelenggaraan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Menurutnya, kerajaan negeri menerima peruntukan Marris sebanyak RM500 juta setahun yang disalurkan oleh kerajaan Pusat untuk tujuan penyelenggaraan sistem jalan raya, namun Abdul Khalid didakwa me­nyalurkan sebahagian sahaja dari­padanya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam tempoh satu bulan (jadi Menteri Besar), saya menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20 juta kepada semua PBT untuk menyelesaikan masalah kutipan sampah. Namun, peruntukan tersebut tidak termasuk penyelenggaraan jalan raya kerana kerajaan negeri meneri­ma peruntukan Marris sebanyak RM500 juta setahun.


“Cumanya amalan (kerajaan negeri) sebelum ini hanya sebahagian peruntukan tersebut diberikan kepada PBT. Peruntukan Marris perlu diserahkan kepada PBT,” katanya dalam majlis tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan, Mohamed Azmin memberitahu, moralnya peruntukan Marris harus disalurkan terus kepada PBT untuk tujuan penyelenggaraan jalan raya termasuk parit dan saliran.

“Mulai tahun depan, kerajaan negeri akan menyalurkan terus peruntukan itu secara terus kepada semua PBT di Selangor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin enggan melayan kritikan Pegawai Khas kepada Abdul Khalid, Faekah Husin yang dilaporkan membidas Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak melaporkan salah laku bekas Menteri Besar itu yang sebelum ini dituduh membelakangkan parti susulan isu perjanjian penstrukturan industri air Selangor dan pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).

“Saya tidak kenal dia (Faekah),” katanya.

Persoalannya disini adalah benarkah Azmin tidak mengenali Faekah?

Juragan Malawati...

Selasa, 4 November 2014

UMNO Selangor digesa tingkat usaha tarik sokongan rakyat?


Badan Perhubungan UMNO Selangor diingatkan supaya tidak terus berada di zon selesa dengan segera menjalankan perubahan serta berusaha lebih keras bagi menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Aidit Ghazali berkata, UMNO Selangor perlu mempunyai mentaliti untuk pergi berperang dengan melaksanakan pelbagai strategi bagi memastikan mereka dapat merampas semula negeri itu dari pakatan pembangkang.

“UMNO Selangor tidak boleh ada sindrom bahawa kita masih mempunyai masa lagi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Mereka mesti mempunyai mentaliti ‘perang’ bermula dari sekarang.

“Jika mereka masih mempunyai mentaliti seperti berada di zon selesa, kita bimbang UMNO Selangor tidak sempat untuk melakukan sebarang strategi bagi menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya umum nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menggesa UMNO Selangor meneliti tiga semakan realiti politik semasa dengan jiwa yang besar dan minda terbuka, sebelum menyusun langkah serta strategi tepat untuk menawan kembali negeri terkaya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO Selangor perlu sedar bahawa parti itu kini cuma tinggal 12 kerusi daripada keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun asalnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum 2004.

Mengulas lanjut, Aidit berkata, UMNO Selangor juga perlu menjalankan perubahan kepimpinan dengan memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Pemimpin yang merasakan diri menjadi penyebab atau faktor kepada kekalahan UMNO di Selangor dalam pilihan raya lalu perlu melepaskan ‘baton’ kepada orang lain.

“Mereka perlu memberi peluang kepada orang lain dengan semangat dan jiwa baru untuk memimpin UMNO Selangor. Jika mereka tidak mahu berundur maka kita bimbang budaya-budaya lama dalam UMNO Selangor masih tidak akan berubah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, UMNO Selangor perlu mengambil positif perkara tersebut dengan menjalankan pembaharuan dalam gerak kerja mereka.

Beliau berkata, peringatan tersebut bukan sahaja perlu diambil iktibar kepada kepimpinan UMNO Selangor tetapi juga kepada ahli-ahli UMNO di negeri tersebut.

“Peringatan tersebut merupakan ‘wake up call’ bukan sahaja kepada pimpinan tetapi juga kepada semua. Ini merupakan tugas masing-masing dan bukan kepada individu untuk menguatkan semula parti.

“Jadi, bermula sekarang UMNO Selangor perlu terus bergerak dan ‘menyerang’ kerajaan negeri bagi memberi persepsi kepada rakyat bahawa dalam banyak kes, UMNO lebih banyak mengutamakan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Juragan Malawati..

Sabtu, 1 November 2014

Janji Noh Omar selepas di tegur oleh Najib?


Badan Perhubungan UMNO Selangor memberi jaminan bahawa kegagalan memberi maklumat tepat kepada Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana berlaku pada pilihan raya umum lalu tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau boleh merasai betapa kecewanya Najib kerana Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu diberi taklimat mengenai jaminan bahawa parti tersebut boleh menang tetapi akhirnya keputusan lebih buruk dicapai.

“Ini satu cabaran kepada saya. Dalam pilihan raya umum lalu mungkin beliau diberikan taklimat dan keyakinan BN boleh menang tetapi kalah lebih teruk, jadi tentunya satu perasaan yang saya boleh rasa, beliau cukup kecewa dengan apa berlaku.

“Insya-Allah saya akan pikul dengan kawan-kawan, saya seorang pun tak mampu buat. Saya perlu sokongan bahagian dan cawangan baru kita boleh tunaikan harapan Presiden,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen UMNO Selangor 2014 di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teguran keras Perdana Menteri terhadap kemelut politik yang melanda UMNO Selangor sebelum ini, sehingga menyebabkan parti itu hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menyentuh transformasi politik yang akan dijayakan beliau selepas mengambil alih kepimpinan UMNO Selangor, Noh berkata, badan perhubungan negeri akan mengurangkan program parti sebaliknya memberi tumpuan kepada gerak kerja bagi mendekati pengundi.

“Kita beri penekanan kepada gerak kerja dengan terus kepada pengundi. Kita akan kurangkan program besar-besar tetapi tumpuan diberi kepada program bersifat akar umbi dengan gerak kerja kita seolah-oleh esok pilihan raya, bukan lagi seperti sebelum ini,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada konvensyen tersebut, Noh berkata, masalah dalaman UMNO Selangor seperti soal kepimpinan, organisasi, keberkesanan program dan usaha menarik minat masyarakat menjadi anggota parti perlu diberi perhatian utama oleh seluruh kepimpinan negeri.

Ke arah itu katanya, Badan Perhubungan UMNO Selangor telah menghasilkan lima gerak kerja iaitu memperkasa dan merancang strategi, memperkasa jentera parti, memasyarakatkan parti, memikat pengundi dan memenangi kembali negeri tersebut.

Harap janji jangan tinggal janji sudahlah...!!!

Juragan Malawati..

Rabu, 1 Oktober 2014

Azmin batal kenaikan kadar elaun?


Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mula menunjukkan belang dalam pentadbirannya apabila dilihat seperti mencari kesalahan menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan membatalkan beberapa keputusan yang diambil kerajaan negeri sebelum ini.

Sebaik sahaja mempengerusi menyuarat mingguan exconya yang pertama hari ini, Mohamed Azmin mengumumkan pembatalan kenaikan kadar elaun empat jawatan utama yang akan dikaji semula di samping melantik semula Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor yang dipecat Abdul Khalid.

Beliau berkata, pembatalan kadar kenaikan melibatkan kajian semula tersebut melibatkan jawatan Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), yang mana keputusan itu akan dibentangkan dalam sidang DUN pada November ini.

"Bagaimanapun kajian semula ini tidak termasuk kenaikan elaun yang dinikmati oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika ini yang membabitkan kadar 87.5 peratus iaitu daripada RM6,000 kepada RM11,250.

"Kadar elaun ini dikaji supaya sesuai dengan perkhidmatan dan tanggungjawab mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada November lalu, sidang DUN meluluskan kenaikan gaji dan elaun bagi Menteri Besar, Speaker dan Timbalan Speaker, Exco serta 56 ADUN antara 80 dan 300 peratus, berkuat kuasa pada 1 Januari tahun ini.


Kenaikan itu menyaksikan gaji dan elaun Menteri Besar naik pada kadar 106 peratus iaitu daripada RM14,175.15 kepada RM29,250 sebulan, manakala gaji dan elaun Speaker DUN naik daripada RM6,109.29 kepada RM22,500 sebulan iaitu pada kadar 268 peratus.

Timbalan Speaker DUN pula mendapat kenaikan gaji dan elaun sebanyak RM15,750 daripada RM3,327.50 sebelum ini, manakala anggota Exco menikmati kenaikan gaji dan elaun sebanyak RM20,250 sebulan iaitu kenaikan 231 peratus daripada RM6,109.29 sebelum ini.

Mohamed Azmin juga dilihat seolah-olah mula menuruti arahan Anwar yang sebelum ini meminta beliau mengkaji semula elaun tersebut di samping memintanya mendedahkan pihak-pihak yang dikatakan mendapat keuntungan daripada perjanjian-perjanjian yang pernah ditandatangani oleh Abdul Khalid sebelum ini.

Seperti diduga, Mohamed Azmin berkata, beliau juga akan melihat semula perjanjian-perjanjian yang dilakukan semasa pentadbiran Abdul Khalid seperti projek pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan projek penstrukturan semula industri air yang dikatakan menjadi punca utama kenapa Selangor memerlukan menteri besar baharu.

"Kita akan lihat semula perjanjian yang dibuat bagi memastikan segala keputusan mengambil kira kepentingan awam. Buat masa ini kita masih belum membuat penelitian mengenai perkara itu," ujarnya.

Juragan Malawati..

Selasa, 30 September 2014

Pas tolak jawatan Timbalan Speaker DUN?


Seolah-olah kecewa dengan keputusan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengurangkan jumlah kerusi Exco kerajaan ne­geri kalangan pemimpin Pas, sehingga kini parti itu masih belum membuat keputusan untuk menerima jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, pendirian tersebut dibuat dalam pertemuannya dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam semalam.

Menurutnya, turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah barisan Exco Pas dan dua bekas Exco parti itu yang digugurkan, Dr. Halimah Ali serta Sallehen Mukhyi.

"Pada (dalam) pertemuan dengan Presiden malam tadi belum diputuskan sama ada Pas akan terima timbalan speaker," katanya dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Jumaat lalu, Mohamed Azmin mengumumkan barisan Exco kerajaan ne­geri baharu yang menyaksikan kerusi untuk Pas bagi jawatan itu dikurangkan daripada empat kepada tiga.

Selain Iskandar, seorang lagi yang dilantik semula ialah Dr. Ahmad Yunus Hairi sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talid merupakan muka baharu.

Pas turut diberikan jawatan Timbalan Speaker DUN.

Sementara itu, Iskandar gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Juragan Malawati..

Sabtu, 27 September 2014

Langkah Kajang punca krisis - Sultan Selangor?


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur sikap pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkan baginda sebagai pencetus kepada krisis pentadbiran di negeri ini.

Teguran keras baginda itu dizahirkan menerusi titahnya dalam majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji barisan Exco kerajaan negeri yang baharu di Istana Alam Shah di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Baginda bertitah, majlis istiadat tersebut mungkin tidak akan berlangsung sekiranya PKR dan sekutunya, DAP masih mengekalkan keyakinan mereka terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sebelum ini.


Sebaliknya kedua-dua parti itu, menurut baginda. telah memilih untuk tidak memberikan kepercayaan kepada Abdul Khalid sehingga memerlukan Menteri Besar serta barisan Exco yang baharu dilantik bagi mentadbir kerajaan negeri.

"Pelantikan Exco yang baharu ini adalah disebabkan PKR dan DAP tidak mempunyai keyakinan kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Oleh itu, seorang Menteri Besar yang baharu dan Exco yang baharu juga perlu dilantik untuk mentadbir kerajaan negeri ini," titah baginda.

Pada masa sama, baginda secara terbuka menyifatkan kemelut pentadbiran di negeri ini berpunca daripada tindakan pakatan pembangkang melaksanakan Langkah Kajang yang menyaksikan usaha-usaha untuk menyingkirkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.


Di sebalik Langkah Kajang menurut baginda, paling mendukacitakan apabila timbulnya pelbagai hasutan dan tohmahan yang dilakukan oleh PKR untuk memburuk-burukkan Abdul Khalid termasuk pada saat-saat umat Islam menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan lalu.

"Umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredai oleh Allah SWT untuk membersihkan dosa dan maksiat.

"Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali rakyat Melayu beragama Islam di Selangor supaya dalam bulan Ramadan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah SWT tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat untuk menjatuhkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar," titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berterima kasih kepada Abdul Khalid kerana menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar dengan baik.

Dalam pada itu, Sultan Selangor bertitah, krisis pentadbiran melibatkan jawatan Menteri Besar telah banyak membuka mata dan hati baginda terhadap politik di negeri ini.


"Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama lima tahun dan mungkin akan diganti pada pilihan raya umum akan datang tetapi kedudukan beta sebagai sultan yang memerintah Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat beta," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan semua pihak khususnya ahli politik berhubung kedudukannya sebagai Sultan Selangor bukan hanya terhad dalam istiadat atau majlis rasmi semata-mata tetapi melangkaui kepada usaha untuk memastikan negeri dan rakyat hidup dalam suasana aman serta maju.

"Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar sultan, rakyat beranggapan institusi beraja adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

"Beta dapati ada ahli politik tidak faham akan peranan dan kuasa institusi raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana beta yakin mereka mempunyai agenda lain.

"Beta, sultan yang memerintah Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dimeterai pada 1959," titah baginda.

Juragan Malawati..

Rabu, 24 September 2014

Azmin dilantik hasil penelitian Sultan!


Keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar baharu dibuat berdasarkan beberapa faktor penting yang menjadi pertimbangan baginda.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda telah mengambil kira kerajaan negeri dibentuk melalui kesepakatan tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP.

Selain itu, katanya, baginda mengambil kira kesefahaman ketiga-tiga parti terbabit bahawa Menteri Besar perlu dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR untuk mendapat kepercayaan majoriti dan sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Azmin juga merupakan Timbalan Presiden PKR dan oleh itu baginda mempunyai keyakinan bahawa sebagai seorang timbalan presiden yang dipilih, pastinya mempunyai sokongan padu bukan sahaja daripada parti sendiri malah Pas dan DAP yang membentuk kerajaan gabungan untuk mentadbir kerajaan negeri sekarang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Munir turut menegaskan, Sultan Sharafuddin tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri melainkan menasihati Menteri Besar.

Jelasnya, dalam urusan pelantikan Menteri Besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Beliau menambah, adalah menjadi amalan Sultan Selangor untuk tidak melengahkan pelantikan seorang Menteri Besar yang merupakan satu jawatan amat penting dalam kerajaan negeri.

"Bagaimanapun kelewatan pelantikan Menteri Besar pada kali ini adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR serta tiada kesefahaman parti-parti dalam pakatan pembangkang berhubung isu pencalonan nama Menteri Besar.

"Di samping itu, keengganan DAP dan PKR mematuhi surat daripada istana bertarikh 27 Ogos 2014 menyulitkan lagi tindakan Sultan Selangor yang terpaksa meneliti calon lain dalam PKR yang tidak disenaraikan," ujarnya.

Katanya, dengan pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar, Sultan Sharafuddin berharap ADUN Bukit Antarabangsa itu dapat menjalankan tugas secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas dengan integriti yang tinggi dan akan sentiasa mendahului kepentingan rakyat serta pentadbiran kerajaan negeri.

Juragan Malawati..

Sabtu, 20 September 2014

Isu Kalimah Allah: Gereja Katolik fail permohonan?


Gereja Katolik memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak kebenaran merayu berkaitan larangan penggunaan kalimah Allah oleh Menteri Dalam Negeri dalam penerbitan mingguannya, The Herald versi Bahasa Malaysia.

Peguam Benjamin Dawson mengesahkan permohonan itu difail pada kira-kira 3 petang hari ini di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, permohonan itu mengemukakan tiga alasan, antaranya, terdapat beberapa isu perundangan penting yang tidak dipertimbang dalam keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan seperti peruntukan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.


Pada 23 Jun lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, mencapai keputusan majoriti 4-3 ketika menolak permohonan Gereja Katolik itu.

Gereja Katolik mengemukakan permohonan itu untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu yang membenarkan rayuan kerajaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah.

Juragan Malawati..

Khamis, 18 September 2014

Istana Selangor Tegur Anwar Ibrahim?


Istana Selangor hari ini menafikan kenyataan Anwar Ibrahim yang menyatakan amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan merupakan amalan negara sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini berkata maklumat yang dikeluarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah tidak tepat dan dilihat sebagai mengelirukan rakyat.

Beliau menjelaskan semasa pentadbiran kerajaan negeri oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini, pemilihan calon menteri besar yang layak akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dalam Majlis Menghadap untuk diberi perkenan.

Katanya, menerusi senarai calon tersebut, Sultan Selangor akan memilih hanya satu calon untuk dilantik bagi jawatan berkenaan.

“Namun pada (pilihan raya umum) 2008, keputusan pilihan raya di Selangor tidak menyebelahi BN sementara parti pembangkang iaitu PAS, DAP dan PKR pula bergabung untuk membentuk sebuah Pakatan Rakyat bagi mendapat majoriti untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor.

“Pada ketika itu, Sultan Selangor menitahkan ketua-ketua parti dalam pakatan tersebut membincangkan calon menteri besar dan dalam majlis perbincangan itu, terdapat beberapa nama calon disyorkan,” kata Mohamad Munir.





Justeru, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua parti dalam pakatan pembangkang untuk mencadangkan dua nama bagi calon menteri besar dan mereka kemudiannya sebulat suara mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk jawatan tersebut, katanya.

Mohamad Munir berkata disebabkan Abdul Khalid memenuhi kriteria dan menepati syarat yang diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, Sultan Selangor berkenan melantik beliau sebagai menteri besar.

Katanya, keadaan sedikit berbeza pada pilihan raya umum 2013 apabila pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyebabkan calon menteri besar mesti dipilih dalam kalangan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang tersebut.

Namun demikian katanya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyatakan Abdul Khalid tidak semestinya dikekalkan sebagai menteri besar Selangor dalam kempennya semasa pilihan raya tersebut.

“Sehubungan itu, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua dalam pakatan pembangkang untuk mencadangkan empat nama sebagai calon menteri besar.

“Walau bagaimanapun, mereka menulis surat kepada baginda untuk mengesyorkan Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor walaupun baginda ada juga menerima penamaan calon lain.

“Namun, berikutan Abdul Khalid adalah penyandang jawatan tersebut sebelum ini dan mempunyai hubungan baik dengan pihak istana dan juga rakyat Selangor, Sultan berkenan melantik semula Abdul Khalid sebagai menteri besar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Munir menegaskan bahawa polisi pihak istana adalah untuk tidak mendedahkan nama atau maklumat mengenai calon menteri besar yang dikemukakan serta prosesnya namun keadaan yang memuncak memaksa istana mengeluarkan kenyataan untuk memberi penjelasan.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menasihatkan Anwar supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan imej Sultan Selangor jika tidak mempunyai fakta tepat- BERNAMA

Juragan Malawati..